Pelakon dan penerbit drama Wendy Wong terkejut apabila ada pihak menceroboh e-melnya bagi memperdayakan orang ramai untuk menuntut wang berjumlah Euro$2,850 (RM11,000).
Wendy atau nama Islamnya Wani Wendy Wong Abdullah pada Selasa berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ramai kenalan yang mahu menolong selepas mereka menerima e-mel kononnya dia mengalami masalah di Sepanyol.
“Pagi ini (Selasa) saya dihujani berpuluh-puluh panggilan telefon daripada kenalan saya selepas mereka menerima e-mel kononnya saya memerlukan bantuan apabila dompet dan kad kredit saya tercicir di Sepanyol. Sebenarnya, itu adalah helah individu yang berjaya menceroboh akaun e-mel saya untuk memperdayakan orang ramai. Saya berada di Malaysia dan tidak ke luar negara seperti yang dicatat dalam e-mel berkenaan.”
mStar Online yang turut menerima e-mel itu yang menggunakan alamat [email protected] mendapati, penggodam akaun tersebut telah mengirim pesanan dengan mengatakan Wendy memerlukan wang bagi membayar bil hotel serta tambang untuk pulang ke tanah air.
Inilah mesej palsu yang dikirimkan individu tidak bertanggungjawab selepas berjaya menceroboh akaun e-mel Wendy Wong.
Wendy dikatakan menghadapi masalah ketika mengikuti satu program di Sepanyol apabila dompet yang mengandungi wang dan kad kreditnya telah tercicir menyebabkan pasportnya ditahan oleh pihak hotel kerana gagal membuat pembayaran.
Malah mesej dalam e-mel palsu itu turut menyatakan pihak kedutaan Malaysia di Sepanyol tidak dapat mengendalikan kes berkenaan dengan efisien sehinggalah dia memerlukan bantuan rakan-rakan bagi meminjamkannya wang.
Bercerita mengenai hal berkenaan Wendy berkata, kira-kira dua minggu lalu dia telah menghantar komputer ribanya ke sebuah pusat servis di Mid Valley dekat sini.
Katanya, pemilik kedai berkenaan memberitahu komputer tersebut harus diformatkan semula yang antara lain akan menyebabkan data yang disimpan musnah.
“Saya bersetuju untuk format semula dan tinggalkan komputer saya itu selama dua minggu. Apabila saya mahu menuntutnya, saya membawa data yang saya simpan menerusi “external hard disc” untuk dimasukkan dalam komputer itu,” katanya.
Menurut Wendy, sebaik pulang ke rumah dan mahu menggunakan komputer berkenaan, dia mendapati akaun e-mel Yahoo miliknya tidak dapat digunakan apabila kata laluan sudah bertukar.
Berikutan itu Wendy akan membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab menggunakan namanya bagi memperdayakan orang lain.
Pelakon ini juga meminta orang ramai dan mana-mana pihak yang mendapat e-mel berkenaan agar tidak terpedaya kerana ia merupakan taktik pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai seorang artis.
“Saya malu jika orang percaya saya mahu meminta wang. Saya harap semua pihak tidak terpedaya selepas penjelasan saya ini,” ujarnya. via Mstar Online