KAMELIA KATRINA
Konflik Adik- Beradik Rebut Cinta Di Astro RIA!
Di bawah payung penjenamaan Astro Megadrama, destinasi utama bagi drama-drama Melayu hebat yang cukup sinonim dalam membariskan variasi drama mantap menerusi salurannya yang pelbagai, Astro dengan bangganya mempertaruhkan drama terbaru berjudul Kamelia Katrina yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Khamis bermula 5 November 2009, jam 9.05 malam menerusi Astro RIA (saluran 104).
Elyana
Nabil
Drama menarik 26 episod arahan Samby Dinesh dan Jamiludin Jabar ini turut menggabungkan barisan pelakon popular baru dan lama seperti Elyana yang membawa watak Katrina, Miera Leyana sebagai Kamelia, Nabil Mentor sebagai Ari, Syed Ali sebagai Azhar, Ain Mohd Satar sebagai Yaya, Norman Hakim sebagai Jehan, Shaharudin Thamby sebagai Kahar, Liza Shadan sebagai Puan Mariam, Zarina Zainuddin sebagai Linda dan Fetty Dzul sebagai Nek Mun.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Encik Khairul Mizan, ”Astro sentiasa peka dengan kehendak penonton yang dahagakan program-program bermutu yang menghiburkan. Oleh hal yang sedemikian, kami amat mengambil berat dalam proses pemilihan program-program atau drama-drama dan memastikan ianya dilakukan dengan teliti bagi menjamin mutu dan kualiti kandungan yang terbaik.
”Pemilihan drama Kamelia Katrina ini dilihat tepat kerana ia mempunyai jalan cerita yang padat dan turut diselitkan dengan elemen pengajaran menerusi konflik yang dipaparkan mengenai dua beradik. Kami percaya drama ini mampu menarik perhatian para penonton untuk terus melekat di kaca televisyen setiap minggu untuk mengetahui apakah yang akan terjadi seterusnya.”
Drama Kamelia Katrina mengisahkan pertelagahan di antara dua orang adik beradik jelita yang mempunyai personaliti berbeza. Katrina ialah seorang kakak yang sombong, pemarah dan pendengki. Manakala Kamelia pula ialah seorang adik yang lembut, pemurah dan baik hati. Kamelia dan Katrina telah kehilangan ibu sejak kecil dan mereka dibesarkan oleh nenek mereka, Nek Mun.
Kenakalan Katrina terserlah dari kecil lagi. Kamelia sering dibuli oleh Katrina menyebabkan bapanya, Jehan, selalu menyebelahi Kamelia. Sejak dari itulah perasaan iri hati terbit di hati Katrina dan menjadi pemangkin semangatnya untuk mendahului Kamelia dalam apa jua cabaran yang dilalui.
Perasan benci Nek Mun terhadap menantunya pula terbawa-bawa hingga kini kerana wajah Kamelia mirip wajah menantunya. Kerana itu, Kamelia sering dilayan dengan buruk sekali. Segala kasih sayangnya dicurahkan kepada cucu kesayangannya, Katrina.
Konflik dan drama menjadi-jadi apabila Katrina ingin mencuri hati Ari yang telah diberikan ke Kamelia. Motif Katrina hanyalah untuk mewarisi segala hartanya. Tidak ada apa yang akan menghalang Katrina daripada memiliki hati Ari walaupun dengan membunuh!
Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Berjayakah Katrina memiliki hati Ari? Adakah Kamelia terus dibenci keluarganya?
Saksikan drama hebat penuh konflik ini yang akan bersiaran menerusi Astro RIA (saluran 104) pada setiap hari Khamis bermula 5 November 2009 jam 9.05 malam.