Elyana Bertudung Dalam Drama Bersiri “Masyitah” di TV2
[dropcap]K[/dropcap]epada peminat yang merindui kemunculan pelantun lagu Kalis Rindu dan Tak Tercapai Akalmu, saksikan watak dibawakan Elyana menerusi sebuah drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 5 Disember lalu, setiap Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran TV2.
Menariknya sepanjang 13 episod drama yang turut menggandingkannya dengan pelakon Amanda Misbun, Liza Abdullah, Heryanto Hassan, Afida ES, Beego dan Abu Bakar Juah ini, Elyana bakal menghidupkan watak “Masyitah” yang juga menjadi tajuk drama ini dengan penampilannya manis bertudung.
[dropcap]I[/dropcap]a berlegar sekitar kisah Mashitah yang ditinggalkan oleh ayah dan ibu di bawah jagaan neneknya sejak kecil lagi setelah berlaku pertelingkahan besar dalam keluarga mereka. Di sebabkan pertelingkahan itu, kedua ibubapa tidak pernah pulang menjenguk malah bertanya khabar kepada Masitah.
[pullquote align=”right”]Drama Masyitah disiarkan setiap Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran TV2.[/pullquote]
Masitah dididik oleh neneknya sebaik-baiknya. Di kampung, Masyitah berkawan rapat dengan Azman yang bekerja di Kuala Lumpur dan ‘cerita-cerita’ Azman tentang keindahan ibu kota membuatkan Masyitah teringin menjejakkan kaki ke Bandar besar itu.
Satu hari neneknya jatuh sakit dan meluahkan hasrat mahu bertemu anak kandung yang begitu dirinduinya. Masyitah serba salah mahu memenuhi hasrat neneknya itu. Namun berbekalkan wang simpanan yang ada, Masyitah nekad untuk mencari kedua ibubapanya di Kuala Lumpur.
Ujian demi ujian mula dihadapi Masyitah sebaik tiba di ibukota. Bermula dengan beg pakaiannya dilarikan pencuri, Masyitah tiada pilihan lain selain tinggal untuk beberapa hari di masjid. Mujur masih ada orang yang baik hati seperti Ustaz Amin mahu menghulurkan bantuan kepadanya.
Ustaz Amin telah meminta bantuan dar seorang rakannya yang juga pemilik sebuah restoran untuk memberikan pekerjaan kepada Masyitah. Masitah di terima bekerja di restoran itu dan tinggal di bilik yang di sediakan. Tetapi dia tidak lama di situ bila menyedari anak majikannya mempunyai niat jahat terhadap dirinya.
Ketika itulah, dia berkenalan dengan Nani yang bersikap kasar dan bebas tetapi mempunyai hati yang baik. Masyitah kemudiannya tinggal dengan Nani dan juga temannya Narimah. Dia mula bekerja sebagai pelayan di sebuah restoren atas bantuan Nani. Sekian lama Masitah berada di ibu kota dia mula mengenali setiap sudut ibu kota dengan warganya sekali. Namun dia tetap teguh dengan pegangan agama kerana dia di asuh oleh neneknya supaya taat pada agama walaupun gejala buruk berlaku di depan matanya. Masyitah simpati dengan Nani yang terjebak dengan gejala sosial remaja manakala Narimah pula bekerja sebagai GRO di sebuah kelab dangdut. Dia berhasrat mahu membimbing kedua-duanya ke arah yang lebih baik.
Hubungan Masyitah dengan Azman masih terjalin hingga satu hari dia dibawa bertemu dengan keluarga angkat lelaki itu. Berlaku perkara tidak terduga apabila Pak Karem dan isterinya Mak Bedah seolah sudah lama mengenali Masyitah namun segalanya hanya dipendamkan dalam hati.
Mungkin jodoh tidak berpihak kepada mereka apabila berlaku kejadian yang memaksa Masyitah melarikan diri daripada keluarga lelaki itu. Kepada Ustaz Amin yang banyak membantu dia cuba bergantung harap kerana Azman membuang terus dirinya kerana lebih percayakan hasutan keluarganya. Yakin Masyitah gadis terbaik untuk dijadikan isteri membuatkan Ustaz Amin nekad melamar Masyitah.
Situasi itu membuatkan Masyitah semakin berusaha kuat menjejak semula ayah kandung untuk mewalikan pernikahannya. Di penghujung cerita baru terbongkar kisah rupanya orang yang dicari-cari mereka rupanya ada di depan mata selama ini. Bagaimanakah Masyitah berdepan dengan situasi mendebarkan itu?