Sebaliknya tarikh dipilih untuk melangsungkan majlis pernikahan yang persiapannya sedang mula dijalankan, kata penyanyi yang kini bergelar pelakon dan pengacara itu sudah disusun sebaik mungkin. Tahun ini buat pertama kalinya, Elly atau turut dikenali dengan panggilan manja Kak Lina Pom Pom, dipilih mengacarakan ABPBH 32 bergandingan dengan pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi sebelum ini dikatakan merancang untuk mengadakan majlis pernikahan dalam waktu terdekat dengan seorang guru berasal dari Kelantan, namun penyanyi yang popular dengan lagu Bungaku Bakawali itu masih berahsia mengenai tarikh sebenar.
Bagaimanapun ramai yang membuat andaian bahawa majlis pernikahannya akan berlangsung dalam waktu terdekat ini memandangkan, pengacara program Mentor Otai itu sudah mula memuat naik beberapa gambar membabitkan persiapan majlis pernikahan di laman sosial miliknya.
Ditemui di majlis Pengumuman Pra-Kemuncak ABPBH 32, di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini, kata Elly mengendalikan ABPBH 32 langsung tidak mengganggu persiapan majlis perkahwinan yang sedang berlangsung, malah dia turut dibantu beberapa pihak untuk mengendalikan segala perancangan dibuat.
“Sebenarnya dalam waktu terdekat ini bukan saya buat persiapan majlis pernikahan tetapi majlis merisik. Keluarga kekasih yang meminta supaya kami adakan majlis merisik ini.
“Saya sendiri tidak pernah merasainya, jadi kali ini setiap adat akan diadakan majlisnya,”
– Elly Mazlein
Katanya, dia dan kekasihnya merancang untuk mengadakan lima majlis dan satu sidang akhbar khas mengenainya akan dibuat.
“Untuk majlis merisik ini, ia hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak saja dan ia akan diadakan sebaik saja ABPBH 32 selesai.
“Selepas itu ia akan diteruskan dengan majlis pertunangan. Waktu itu satu sidang akhbar mengenai majlis pernikahan akan dibuat,”
– Elly Mazlein
Elly bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus tarikh pernikahannya yang dikatakan akan berlangsung pada Februari depan.
“Nanti saya perjelaskan semuanya pada majlis sidang akhbar yang akan diadakan nanti,” katanya.
Beralih kepada pemilihannya sebagai pengacara ABPBH 32 bergandingan dengan AC Mizal kata Elly, dia berasa sangat teruja kerana diberikan peluang untuk mengendalikan acara berprestij itu dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik.
Majlis anugerah berprestij ABPBH 32 akan berlangsung pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung di TV3.
Sumber: Harian Metro