in

Ella Bersedia Untuk Konsert Ella Istana Budaya

SETELAH konsert terakhirnya di Esplanade, Singapura pada 2007 lalu, Ella kini sudah bersedia untuk beraksi semula di pentas prestij Istana Budaya (IB) pada 1 dan 2 Julai akan datang.

Pengajuran konsert berskala besar itu adalah sempena ulang tahun ke-25 penglibatan Ella dalam industri hiburan tanah air.

Bagi Ella, konsert tersebut adalah satu penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sejak 1985 lagi ketika dia bersama The Boys.

Dalam pada itu, bagi melengkapkan persembahan, Ella bakal menyanyikan 25 buah lagu selama dua jam pada dua malam konsert tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Canon.

Antara koleksi lagu hits yang bakal didendangkan adalah Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta, Sembilu, Permata Pemotong Permata, Layar Impian, Kitalah Bintang, Dua Insan Bercinta, Simbiosis dan Rama-Rama.

Konsert kali ini juga akan menonjolkan elemen muzik tradisional apabila penyanyi yang dilabel sebagai ikon muzik genre rock wanita ini tampil dengan lagu-lagu irama tradisional seperti Ulik Mayang, Jauh Di Mata dan sebuah lagu duet Budi Setahun Segunung Intan yang julung kali dinyanyikan bersama Datuk Ahmad Jais.

Selain diiringi barisan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan dan The Love Beggars, persembahan tersebut bakal dimantapkan dengan petikan gitar daripada Joe Wings dan paduan suara Awie untuk 2 buah lagu, iaitu Baldu Biru dan Mana Menghilang.

Sebuah lagi lagu baru, iaitu Engkau, Aku dan Mereka a kan dinyanyikan buat pertama kali di hadapan khalayak.

Sementara itu, JKKN menasihatkan penonton agar membeli tiket lebih awal dari tarikh persembahan untuk mengelakkan fenomena kehabisan tiket di saat-saat akhir. JKKN turut memaklumkan bahawa persembahan ini tidak akan dilanjutkan.

Tiket-tiket berharga RM50, RM80, RM180, RM200 dan RM250 boleh dibeli terus di kaunter Box Office, Istana Budaya.

Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.ticket2u.biz. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-41498600 dan 03-40265558 (waktu pejabat: 9 pagi – 6 petang), atau layari www.klfestival.org.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dokumentari Sungai Batu, Lembah Bujang Tamadun Terawal Asia Tenggara

Konsert Kemuncak Suria FM 2010