Elizabeth, 28, atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei berkata, keputusan dibuat sesuatu yang sukar apatah lagi dia sudah bersama syarikat rakaman itu sejak tiga tahun lalu.
Malah, Elizabeth yang mesra disapa Lizzy mengakui segala yang dirancang selepas ini adalah dengan memberi fokus kepada minatnya yang lain.
“Saya ingin berkongsi yang mana saya sudah meninggalkan syarikat rakaman Warner Music Malaysia iaitu selepas tiga tahun bersama mereka. Sejujurnya, keputusan dibuat ini bukan sesuatu yang mudah. Tapi, saya perlu teruskan kerana ingin beralih ke fasa baru dalam hidup.
“Selepas ini saya mahu memberi tumpuan pula kepada minat yang lain dan tidak tertumpu kepada muzik semata-mata. Dalam erti kata lain, saya mahu melangkah keluar dari zon selesa selama ini iaitu selepas tujuh tahun menjadi penyanyi,” katanya.
Menurut Lizzy, sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tempatan, dia sentiasa melihat dan ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Sepanjang tempoh iaitu perjalanan sebagai penyanyi, malah bukan sahaja selepas berkahwin, saya sudah melihat perkara yang lebih jauh ke depan. Ia lebih berbeza daripada sebelumnya.
“Dari situ, saya menyedari terdapat banyak lagi perkara yang ingin dicuba selain daripada muzik sahaja. Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang yang ada depan mata,” katanya.
Biarpun keputusan dibuat mengejutkan ramai pihak, tidak bermakna Lizzy yang turut popular menerusi lagu Setia, Police Entry, Semua Sudah dan banyak lagi akan meninggalkan terus dunia muzik.
“Saya masih akan mengeluarkan muzik, tapi keutamaan dan arah tuju selepas ini sedikit berubah. Seperti semua tahu, saya juga terbabit dalam bidang lakonan. Dalam masa sama, saya masih belajar untuk menguruskan perniagaan sendiri.
“Sebenarnya, saya juga masih dalam proses menghasilkan beberapa lagu nyanyian semula (cover). Saya tidak sabar untuk berkongsi kepada semua,” katanya.
Menerusi lagu Knock Knock, Lizzy pernah dinobatkan Artis Baru Terbaik Wanita pada Anugerah Planet Muzik ke-14 pada 2015.
Menerusi lagu itu juga, Lizzy menjadi finalis pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30.
Malah, lagu sama dipilih Top 10 Karaoke Melayu Popular pada Anugerah Red Box Media Appreciation & K-20 Night.
Begitu juga lagu Setia duet bersama Faizal Tahir yang melayakkan Lizzy tercalon dalam beberapa acara anugerah besar tanah air seperti APM ke-15, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22, AJL-31 dan banyak lagi.