RATU THE MOVIE: ELEMEN PROGRAM REALITI KE DALAM FILEM, SATU KEMAJUAN PADA SUDUT KONSEP PENCERITAAN.
Tahun 2011, tahun baru yang semakin mematangkan penggiat seni industri perfileman di Malaysia.
Setiap pengarah bertambah kreatif dengan penghasilan idea masing-masing supaya kerja seni mereka tampak setaraf dengan peredaran waktu yang sentiasa membawa kepada perubahan.
Budiey lihat ini satu persaingan yang sihat. Tahun 2011 juga akan menyaksikan beberapa kejutan untuk penggemar filem ini di mana beberapa eleman baru akan disuntik untuk memberikan kelainan pada corak filem Melayu.
Menggunakan populariti memuncak program-program realiti yang seperti satu amukan tsunami yang melanda Malaysia di kala ini, Wayang Studio International (WSI) dengan kerjasama Line Clear Motion Pictures telah mengambil peluang itu untuk dijadikan sebagai tunjang penceritaan melalui filem terbaru mereka, Ratu The Movie.
Bersandarkan kepercayaan kepada Prof. Madya A. Razak Mohaideen bagi menggalas tanggungjawab dalam menggabungkan elemen program realiti dan filem, Ratu The Movie menjanjikan satu langkah ke hadapan dalam penghasilan konsep penceritaan yang pasti mengujakan penonton nanti.
Menjadikan program realiti sebagai latar belakang utama penceritaan, filem ini bakal membawa penonton melayari satu bentuk program realiti baru dari awal sehingga ke pengakhiran cerita.
Seperti menonton program realiti di televisyen, penonton akan dihidangkan dengan pelbagai situasi di mana ia akan membuatkan penonton berasa ingin senyum, ketawa, sedih, meluat, marah, kecewa, gembira dan banyak lagi dengan ragam setiap seorang peserta program realiti tersebut.
Cuma bezanya, program realiti yang difilemkan ini mengambil tempoh tidak sampai 2 jam untuk mendapatkan pemenangnya.
Menurut Produser filem Ratu The Movie, Encik A. Latiff Mohaideen dalam pendapatnya mengenai elemen program realiti dalam filem ini, beliau berkata, “Kita cuba untuk menghasilkan kelainan pada setiap filem yang akan kita buat.
Encik A. Latiff Mohaideen
Kelainan itu mestilah sesuatu yang penggemar filem inginkan. Kita dapati setiap program realiti yang dihasilkan di Malaysia diterima dengan baik oleh masyarakat kita. Jadi, kita serapkan elemen itu ke dalam filem untuk menghasilkan satu konsep penceritaan yang segar buat tatapan peminat filem Melayu.
Beliau menambah lagi bahawa filem ini betul-betul mengikut konsep program realiti yang sebenarnya. Penampilan 10 pelakon baru dalam filem ini adalah peserta-peserta program realiti di dalam Ratu The Movie.
Penonton bakal mengenali setiap seorang mereka menerusi babak demi babak sepertimana penonton mengenali peserta-peserta program realiti di luarsana dari episod ke episod yang lain. Dari situ ‘mood’ mengikuti program realiti dapat dikekalkan.
SINOPSIS FILEM RATU THE MOVIE
Filem Ratu The Movie memaparkan sebuah program realiti yang diberi nama ‘Pesona Ratu’. Mencari gadis-gadis berkelayakan untuk diiktiraf sebagai ratu, akhirnya seramai 10 peserta berlatar belakangkan profesion yang berlainan dipilih untuk keperingkat akhir. Mereka akan dibawa belayar ke satu tempat untuk penilaian seterusnya.
Dua peserta terkeluar awal kerana gagal tiba ke lokasi perjumpaan seperti yang telah ditetapkan. Berlayarlah 8 peserta bersama tenaga kerja ‘PesonaRatu’ ke lokasi rahsia. Setiap seorang peserta mempunyai misi masing-masing dalam merebut takhta ratu yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, kapal mereka tersadai di sebuah pulau terpencil. Ini memaksa mereka tinggal sementara di pulau tersebut sementara menanti kapal mereka diperbaiki.
Bermulalah detik hitam yang melanda peserta-peserta yang memburu gelaran ratu ini. Kesukaran mengharungi hidup di pulau itu dengan ribut yang melanda, bekalan makanan yang semakin kehabisan dan kemunculan makhluk yang tidak diundang mula menampakkan sikap sebenar setiap seorang daripada mereka. Seorang demi seorang mula hilang dan mereka semakin cemas mencari jalan keluar.
Hanya yang bertahan mampu meneruskan hidup mereka di pulau itu. Seramai 10 pelakon baru (Bkay Nair, NurEina, Elya, Miera, Farah, Farahin, Sue, Shazlin, Jazzy, Tasha) diperkenalkan menerusi Ratu The Movie. Mereka ini dicungkil bakatnya menerusi ujibakat yang telah dilakukan oleh Line Clear Motion Pictures sebelum penggambaran filem ini dibuat.
Mereka diuji sama seperti mana program realiti lain mencari peserta yang benar-benar layak. Filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon terkenal seperti Eizlan Yusof, Fouziah Gous, Yasmin Hani selain penampilan khas Yusry KRU dan 2 pelakon muda yang semakin menjadi kegilaan remaja, Khairi Azlee dan Farid Wari.
Akan menjengah ke pawagam pada 17 Mac 2011, Ratu The Movie telah pun memulakan kempen promosinya dengan jelajahan 10 Ratu ini ke seluruh pelusuk Malaysia termasuk perancangan ke Sabah dan Sarawak.
Kunjungan mereka ke pusat membeli belah dan pawagam terpilih selain dapat membantu memperkenalkan mereka kepada umum, mereka turut memperlihatkan bakat mereka dengan persembahan tarian yang telah dilatih oleh kareografer profesional dan sesi soal jawab kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah tajaan kepada orang ramai.
Tayangan amal juga telah dibuat di beberapa kolej dan universiti terpilih dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Filem yang bergenre realiti penggambaran ini pastinya dapat memberikan pengalaman baru kepada pengemar filem melayu yang sentiasa mengharapkan kelainan pada setiap filem baru yang ditayangkan di pawagam.
Berbekalkan elemen program realiti ini, filem Ratu The Movie bukan saja menarik dari segi konsep penceritaan yang digarap kemas oleh pengarahnya tetapi mampu memberikan satu lagi kemajuan dalam penghasilan sebuah filem yang berkualiti dalam industri perfileman di Malaysia.
GAMBAR PELAKON RATU THE MOVIE
Budiey: Budiey ada dengar, filem Nur Kasih The Movie yg akan ditayanglan pada 19 Mei ini akan bersaing dgn filem Pirates of The Caribbean 3D.