Pelakon Azlee Khairi mengesahkan dirinya bukan lagi suami orang. Azlee berkata, dia perlu tampil menyatakan status diri bagi mengelak fitnah dan salah sangka. Bagaimanapun, Azlee yang pernah dikaitkan dengan teman gandingan dalam drama Seadanya Aku, Zara Zya, enggan memperincikan punca perceraian dengan bekas isteri.
“Saya fikir soal status diri perlu dijelaskan kerana tidak mahu mengundang fitnah dan salah sangka.
“Cuma saya tidak mahu mengulas lanjut persoalan bila saya berpisah dengan bekas isteri,”
– Azlee Khairi
Awal tahun ini, ketika sama-sama membintangi drama Seadanya Aku yang disiarkan melalui slot Akasia TV3, Azlee dikaitkan dengan Zara.
Azlee kemudian dikaitkan pula dengan ahli perniagaan dan pengasas produk kosmetik dikenali sebagai Aniss.
Mengulas mengenai wanita itu, Azlee mengaku mengenalinya sejak hampir setahun lalu.
“Kami masih dalam fasa awal perkenalan iaitu mengenali hati budi. Masih terlalu awal untuk meneka pengakhirannya.
“Saya tidak selesa berkongsi lebih-lebih lagi hal peribadi. Tetapi tidaklah bermaksud hendak berselindung. Aniss faham cara saya. Itu membuatkan saya selesa dengannya,”
– Azlee Khairi
Azlee mencipta nama melalui drama adaptasi novel Love You Mr Arrogant pada 2013 yang dibintangi bersama Zara.
Ketika namanya di puncak populariti, Azlee bertemu jodoh dengan wanita pilihan kelahiran Brunei, Dayang Norlelawati Puteh, 36.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2014 dan Azlee kemudian menetap di Brunei. November lalu, Azlee kembali aktif dengan membintangi drama Seadanya Aku.
Sumber: BH Online