Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 kembali lagi buat kali ketiga! Kali ini, acara hebat ini akan berlangsung pada 4 hingga 6 Oktober di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam. SELBIZ 2024 dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terbuka kepada semua usahawan yang ingin memanfaatkan peluang perniagaan yang disediakan.
Matlamat utama ekspo ini adalah untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS, serta mereka yang lain, ke peringkat lebih tinggi, termasuk pasaran antarabangsa. Menggunakan tema “Melangkah Lebih Jauh”, SELBIZ 2024 berusaha memastikan para usahawan terus maju dengan sokongan serta pelbagai kemudahan yang disediakan.
Himpunan 200 Usahawan dan Pelbagai Sektor Perniagaan
Tahun ini, SELBIZ 2024 dijangka lebih besar dan meriah dengan kehadiran lebih ramai pengunjung serta lebih 200 reruai usahawan dari pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, kecantikan, pakaian, peralatan sukan, perkhidmatan, dan lain-lain. Usahawan ini akan mempamerkan produk-produk terbaik mereka untuk menarik minat para pengunjung dan pelanggan.
Bagi peminat kopi, Fiesta Coffee turut disediakan dengan 9 reruai usahawan kopi yang sedia menawarkan pelbagai pilihan minuman istimewa. Selain itu, terdapat juga 20 reruai makanan dan minuman viral yang pastinya menggamit selera.
Ruang Perkongsian dan Bimbingan untuk Usahawan
SELBIZ 2024 bukan sahaja tempat untuk membeli-belah dan berseronok, tetapi juga platform untuk para usahawan mendapatkan maklumat keusahawanan dan menjalin hubungan dengan pelbagai agensi. Segmen pemadanan perniagaan akan disediakan, di mana usahawan boleh bertemu dengan syarikat-syarikat utama bagi mencari peluang kolaborasi.
Perkhidmatan Klinik Usahawan Selangor juga akan tersedia sepanjang acara ini berlangsung, memberi peluang kepada usahawan dan orang ramai untuk mendapatkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan secara percuma. Ini adalah satu usaha PKNS untuk membantu usahawan menambah pengetahuan dan menambah baik perniagaan mereka.
Aktiviti Menarik untuk Semua Pengunjung
Selain aspek keusahawanan, SELBIZ 2024 turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Aktiviti seperti SELBIZ Obstacle Run, Magic Show, Petting Zoo, dan Family Mini Game disediakan bagi memastikan keseronokan setiap pengunjung yang hadir, tidak kira usia.
Bagi pencinta kereta, pameran kereta daripada jenama terkenal BYD juga akan diadakan, di mana tiga jenis kereta keluaran baharu akan dipamerkan. Pengunjung berpeluang untuk mencuba sesi pandu uji secara percuma dan melihat sendiri kecanggihan model-model terbaru BYD.
Selawat @SELBIZ dan Konsert Gempak
Ekspo ini juga bakal memberikan pengalaman rohani melalui acara Selawat @SELBIZ, yang menampilkan beberapa tokoh agama serta persembahan istimewa daripada Kumpulan Hijjaz dan Selawat Taranum Voices. Ia juga turut menampilkan perkongsian mengenai konsep perniagaan dalam Islam.
Untuk melengkapkan acara, SELBIZ 2024 bakal menampilkan Konsert Gempak yang dijayakan oleh barisan selebriti popular tanah air seperti Akim & The Majistret, Sarah Suhairi, Hael Husaini, 6ixth Sense, dan Syamel. Tidak ketinggalan, busking daripada kumpulan Karyara akan turut menghiburkan pengunjung.
Jangan Ketinggalan!
Ekspo Usahawan Selangor SELBIZ 2024 ini pastinya menjadi acara yang menarik untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain pelbagai produk menarik, pelbagai informasi perniagaan dan hiburan menanti anda. Datanglah beramai-ramai dan merasai sendiri kemeriahan ekspo ini, atau dapatkan maklumat lanjut di selbiz.my. Pendaftaran awal juga boleh dilakukan di pautan ticket.selbiz.my.