EKSPLORASI MAK YONG SIRI JELAJAH KIJANG MAS 2012
MENDEKATKAN MAK YONG KEPADA MASYARAKAT
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), YBhg. Dato’ Norliza Rofli hari ini mengumumkan konsep penjelajahan yang diketengahkan dalam Eksplorasi Mak Yong ini akan membawa Kumpulan Mak Yong yang bergaji yang pertama seumpamanya di dunia untuk menjelajah ke seluruh Negara bagi menjayakan misi ini.
Tegas beliau lagi, Mak Yong merupakan satu-satu kesenian rakyat Malaysia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai “Intangible Heritage” mewakili negara Malaysia pada 25 November 2005. Justeru sejak tarikh pengistiharan tersebut, sehingga ke hari ini, Kumpulan Mak Yong Kijang Emas di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan telah menjadi kumpulan perantis dan merupakan kumpulan yang berjaya dihidupkan dan aktif mengadakan persembahan secara profesional di dalam dan di luar negara.
Memandangkan Mak Yong merupakan satu bentuk kesenian tradisional yang hampir dilupakan di daerah asalnya maka JKKN bercadang untuk meneruskan kesinambungan hayat Mak Yong menjadi genre kesenian kebanggaan rakyat Malaysia. Oleh itu satu program Siri Persembahan Jelajah Kijang Emas dan Bengkel Makyong telah dicadang ke negeri-negeri yang dipilih untuk melestarikan warisan tradisional ini supaya terus terpelihara dan dihayati oleh generasi pelapis penggiat seni, pelajar IPT serta khususnya artis tari KKJKKN.
Sesuai dengan objektif Siri Jelajah Kijang Emas ini bertujuan untuk mengangkat dan mengiktiraf Kumpulan Mak Yong Kijang Emas dari JKKN Kelantan terhadap bakat kebolehan artis Budaya dalam mempersembahkan teater tradisional di samping memartabatkan kembali kesenian tradisional dalam bentuk dan konsepnya yang asal.
Selain itu juga, usaha pemupukan dan pemuliharaan kesenian tradisional Mak Yong terus giat dilaksanakan supaya diminati oleh generasi muda tanah air. Tambahan pula, JKKN ingin mendekatkan kesenian tradisional Mak Yong kepada masyarakat yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan khalayak seni yang tidak pernah berpeluang menonton tersebut dari dekat khususnya pelajar IPT, sekolah dan peminat teater tradisional untuk menonton persembahan ini secara dekat.
Menurut beliau lagi, pengisian aktiviti bagi Siri Jelajah Kijang Mas ini merangkumi Bengkel Mak Yong selama tiga (3) hari dan persembahan Mak Yong bertajuk ’Puteri Jerijit Emas’ ini selama dua (2) hari. Bengkel ini akan mendedahkan pelajar sekolah dan IPTA/S, Badan Bukan Kerajaan dan artis budaya (KKJKKN) kepada asas tarian Mak Yong dan struktur persembahan Mak Yong. Di akhir bengkel, semua peserta akan berpeluang terlibat dengan persembahan makyong bersama Kumpulan Mak Yong Kijang Emas.
Persembahan Mak Yong ini akan mementaskan beberapa cerita Mak Yong yang menarik dan popular seperti Anak Raja Gondang, Raja Besar Nyiur Gading dan Dewa Muda. Persembahan ini akan menampilkan bakat dan kebolehan artis budaya dan Pemuzik Kijang Mas dalam kesenian Mak Yong. Mereka mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dan pembimbing Mak Yong iaitu Puan Rohani Mohd. Zain dan Encik Rosnan Rahman yang juga merupakan tokoh dan pembimbing Mak Yong di Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara, Kelantan. Kedua-dua tenaga pengajar ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini.
Siri Jelajah ini terbahagi kepada tiga (3) zon utama merangkumi Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang), Zon Tengah (Selangor dan Pahang) serta Zon Selatan/Borneo (Johor dan Sabah).
Bagi Zon Utara, delegasi Mak Yong Kijang Mas akan bertandang pada 13 – 15 Mac 2012 (Bengkel) dan 16 & 17 Mac 2012 (Persembahan Mak Yong ‘Puteri Jerijit Emas’) di Auditorium JKKN Kedah, Taman Budaya Negeri, Lot Ptd 400, 05250 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Memandangkan tempat duduk adalah terhad, para penonton yang berminat boleh menghubungi talian 04 – 731 5930 (Waktu pejabat) untuk tempahan dan maklumat lanjut.
Selain itu juga, bagi peminat di Pulau Pinang pula, delegasi Mak Yong Kijang Mas akan bertandang pada 18 – 20 Mac 2012 (Bengkel) dan 22 & 23 Mac 2012 (Persembahan Mak Yong ‘Puteri Jerijit Emas’) di Auditorium JKKN Pulau Pinang, Taman Budaya Pulau Pinang, kompleks Pusaka Warisan Seni, Lot No. 2180 Jalan Rawang Off Jalan P. Ramlee, 10460 Pulau Pinang atau menghubungi talian 04 – 281 7791/ 7792 (Waktu pejabat) untuk tempahan dan maklumat lanjut.
Bagi penjelajahan di negeri-negeri lain pula, Selangor pada 9- 11 Mei 2012 (Bengkel) dan 12 & 13 Mei 2012 (Persembahan) di UiTM Shah Alam. Manakala Pahang pada 15 & 17 Mei 2012 (Bengkel) dan 18 & 19 Mei 2012 (Persembahan) di Auditorium Kompleks JKKN Pahang, Taman Budaya Negeri Pahang, Lot 57100, Jalan Tok Sisek, Kuantan, Pahang Darul Makmur. Tel : 09 – 517 8466. Sementara itu bagi Zon Selatan-Johor pula akan diadakan pada 13 – 15 Jun 2012 (Bengkel) dan 16 & 17 Jun 2012 (Persembahan) di Sekolah Seni Johor sementara di negeri Sabah pada 19 – 21 Jun 2012 (Bengkel ) dan 22 & 23 Jun 2012( Persembahan) di Kompleks JKKN Sabah.
JKKN ialah sebuah agensi di bawah KPKK yang menjalankan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia. Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Mas 2012 ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Siri Jelajah Mak Yong melalui laman sesawang rasmi, www.jkkn.gov.my dan rangkaian media sosial facebook Sahabat Budaya JKKN.