in ,

EJEN ALI THE MOVIE Bertanding di Festival Filem Berprestij Antarabangsa

EJEN ALI THE MOVIE Membuka Tirai di Persada Antarabangsa – Bertanding di Cartoons On The Bay, Itali dan Mewakili Negara di ASEAN Film Week 2020, Vietnam

Primeworks Studios dan WAU Animation hari ini mengumumkan penyertaan sulung EJEN ALI THE MOVIE di dua festival filem berprestij antarabangsa tahun ini. Filem EJEN ALI THE MOVIE yang diterbitkan susulan dari kejayaan siri animasi TV Ejen Ali yang mula bersiaran pada tahun 2016, telah berjaya meraih keuntungan lebih dari RM30.8 juta di carta pecah panggung Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, sekaligus menjadi filem pilihan #1 Malaysia pada tahun lalu.

EJEN ALI THE MOVIE telah terpilih di dalam barisan pencalonan akhir 16 filem yang bakal bertanding untuk kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik pada edisi ke-24 Cartoons on the Bay – Pulcinella Awards yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2020 di Pescara, Itali. Filem ini berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan lebih 350 karya animasi hebat dari 20 buah negara serata dunia di dalam acara berprestij ini.

EATM - PULCINELLA AWARD

Festival Cartoons on The Bay  yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 bertujuan untuk mendedahkan himpunan karya animasi Itali, mula mendapat perhatian dan menjadi antara acara terpenting di dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa. Panel juri antarabangsa yang terpilih untuk menilai kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (Wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (Wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan Wartawan, CIAK).

Filem animasi pecah panggung EJEN ALI THE MOVIE  ini juga mendapat pengiktirafan  di peringkat Asia Tenggara apabila diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Film Week 2020 yang akan berlangsung di tiga buah bandar besar Vietnam iaitu di Hanoi, Da Nang dan Bandar Ho Chi Minh. Acara gilang-gemilang ini dianjurkan sempena pelantikan negara Vietnam selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara  Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2020, dengan tujuan memelihara nilai-nilai teras negara ASEAN melalui karya-karya kreatif. 

EATM - Asean Film Week 2020

Sepuluh negara ASEAN telah diundang untuk mencalonkan filem terbaik mereka melalui pemilihan persatuan filem negara masing-masing selaras dengan tema “ASEAN Cohesion and Proactive Adaptation”. Selaku wakil rasmi negara Malaysia, EJEN ALI THE MOVIE  akan dipertontonkan dalam siri tayangan awam percuma yang dijadualkan seperti berikut:

  • 20 Julai 2020: National Cinema Centre, Hanoi, 8.00 malam
  • 23 Julai 2020: Le Do Cinema, Da Nang, 7.30 malam
  • 24 Julai 2020: Cinestar Hai Bà Trưng, ​​Bandar Ho Chi Minh, 8.00 malam

“Ia adalah satu penghormatan besar buat Malaysia dan kepada kami bagi memulakan fasa kedua tahun 2020 dengan menyaksikan pencapaian EJEN ALI THE MOVIE di persada festival filem antarabangsa. Ianya menjadi titik tolak kejayaan yang membanggakan filem ini kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa yang lain. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada rakan karya kami di WAU Animation di atas pencapaian mereka dalam menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini,” kata Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios.

“Penyertaan filem animasi kami di festival antarabangsa ini merupakan sebuah berita yang sangat mengujakan.  Ia menjadi pendorong untuk kami terus berkarya dan mencipta animasi yang lebih baik dan bermutu, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang sedang pulih dari pandemik COVID-19. Kami sangat berbesar hati diiktiraf dan  diberi peluang mewakili Malaysia dan sangat teruja untuk melihat reaksi penonton di Itali dan juga Vietnam,”

– Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan juga pengarah filem EJEN ALI THE MOVIE.
EATM @ Vietnam (Schedule)

EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet  istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain.

Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji. 

Untuk maklumat lanjut tentang EJEN ALI THE MOVIE, sila ikuti: 

#EjenAliTheMovie  #EjenAli #AniMY

Mengenai Primeworks Studios 

Primeworks Studios adalah syarikat produksi terkemuka di Asia Tenggara yang bergiat dengan pelbagai pengolahan kandungan kreatif seperti penerbitan TV dan filem, jualan kandungan syarikat, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, serta perlesenan dan perdagangan. Ia merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang telah menghasilkan lebih 3,000 jam isi kandungan hebat untuk pelbagai platform televisyen, pawagam dan digital setiap tahun. Juga, sebagai rumah produksi, Primeworks Studios adalah lambang mutu kreatif disamping pelbagai genre kandungan termasuklah hiburan, majalah, dokumentari, sukan dan drama. 

Mengenai Wau Animation

WAU Animation merupakan studio animasi kesan khas (CG) yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan anak muda yang berbakat besar dan kreatif yang mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman dalam menghasilkan pelbagai siri animasi dan filem kesan khas yang pernah merangkul pelbagai anugerah tempatan. Misi utama WAU Animation adalah berazam dalam menghasilkan animasi yang mampu memberikan impak kepada para penonton di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa. WAU Animation juga bermatlamat menghasilkan siri dan rangkaian cerita yang menghiburkan sekaligus dapat memberi inspirasi dan juga menerapkan intipati tempatan dalam mengetengahkan identiti Malaysia yang unik.

Mengenai ASEAN Film Week 2020

Minggu Filem ASEAN 2020 diadakan bagi tujuan untuk menghormati filem-filem khas dari pawagam negara anggota ASEAN; memperkenalkan budaya, kehidupan, masyarakat, dan masyarakat negara-negara ASEAN kepada khalayak Vietnam dan antarabangsa; menyumbang untuk memperkukuhkan persefahaman antara negara-negara ASEAN dan mengembangkan kerjasama ekonomi, budaya dan seni. Minggu Filem adalah percuma untuk semua penonton di Vietnam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Youtuber Dedah 15 Kesilapan Dalam Dokumentari Kontroversi Al-Jazeera

SAJAT

Sajat Beli Kereta Mewah Harga Setengah Juta… Kau Mampu?