Kolaborasi pertama Ejen Ali dan Air Asia pada tahun 2017 menerusi kempen #MisiAspirasiAirAsia membawa mesej untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menjadi pemimpin dunia pada masa hadapan.
Hari ini, kedua-dua syarikat gergasi komersial Malaysia ini sekali lagi mengukuhkan kerjasama mereka dengan satu tujuan yang sama iaitu membawa jenama tempatan ke peringkat antarabangsa melalui platform e-dagang yang baru dilancarkan oleh Air Asia iaitu OURSHOP.
Platform ini memberi peluang kepada peminat-peminat Ejen Ali yang berada luar dari Malaysia untuk membeli produk-produk Ejen Ali secara online.
OURSHOP yang terletak di pusat membeli belah LOT10, Bukit Bintang merupakan kedai pop-up pertama yang dilancarkan dan telah pun mula beroperasi dari 12 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020.
Pelbagai produk Ejen Ali boleh didapati termasuk produk-produk yang mendapat permintaan tinggi dari peminat seperti skuter, walkie-talkie serta barangan kembali ke sekolah boleh didapati di sini.
Manakala komik edisi terhad filem EJEN ALI THE MOVIE yang akan mula dipasarkan di kedai-kedai buku seluruh negara pada tahun 2020, juga dijual seawal 31 Disember 2019 di kedai pop-up.
Bercakap di majlis pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata,
“Rentetan dari kejayaan #MisiAspirasiAirAsia pada tahun 2017 dan 2018 serta kehebatan filem EJEN ALI THE MOVIE yang masih kekal mengungguli carta filem tempatan, kami rasa amat teruja untuk meneruskan misi terbaharu bersama kumpulan AirAsia.
Kolaborasi dengan OURSHOP ini amat kami alu-alukan kerana ianya bertepatan dengan misi kami iaitu untuk membawa jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa dan seterusnya ke hati peminat Ejen Ali di seluruh dunia.”
– Datuk Ahmad Izham Omar
Majlis pelancaran ini dihangatkan lagi dengan penampilan istimewa maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia di sesi ramah mesra bersama peminat-peminat sempena penutup tirai tahun 2019.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti kuiz untuk memenangi barangan eksklusif Ejen Ali, dan mereka juga dihiburkan dengan persembahan tarian lagu ‘Mamak Maju’ yang masih tular di laman sosial.
Promosi serta diskaun membeli-belah yang istimewa turut ditawarkan kepada peminat-peminta Ejen Ali dan pelanggan OURSHOP yang hadir yang mana mereka berpeluang menikmati diskaun sehingga 30% serta kupon tambahan bernilai RM 20 untuk setiap pembelian atas talian yang dibuat bagi produk jenama Ejen Ali (tawaran adalah terhad, sementara stok masih ada).
Lalitha Sivanaser, Ketua Pegawai Eksekutif OURSHOP berkata,
“Kami teruja dan sangat berbesar hati membawa jenama dan produk Ejen Ali di platform e-dagang OURSHOP yang dibawakan oleh AirAsia.com, dengan kerjasama serta penyertaan Media Prima selaku rakan kolaborasi rasmi kami.
Ejen Ali bukan sahaja merupakan satu jenama yang besar dan berpengaruh malah mempunyai jumlah pengikut yang ramai yang kebanyakannya adalah dikalangan pelanggan AirAsia di dalam segmen yang berkeluarga.
Pelbagai manfaat dan tawaran istimewa akan dapat mereka perolehi sewaktu membeli-belah secara atas talian di platform OURSHOP.
Adalah matlamat utama kami untuk mengenengahkan jenama tempatan ke pentas global melalui OURSHOP agar peminat-peminat Ejen Ali dari serata pelusuk dunia dapat memiliki barangan kegemaran mereka walau di mana mereka berada.”
– Lalitha Sivanaser, Ketua Pegawai Eksekutif OURSHOP
Filem EJEN ALI THE MOVIE sekali lagi melakar kejayaan yang membanggakan apabila berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak RM28.5 juta di pawagam sejak ia mula ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura, dan Brunei pada 28 November 2019.
Bakal menerjah pawagam-pawagam di Indonesia bermula 1 Januari 2020, filem EJEN ALI THE MOVIE dijangka akan membuat kejutan dan bakal mengulangi kejayaannya sekali lagi di sana.
“Kejayaan ini merupakan penutup yang bagus bagi tahun 2019!
Segala penat-lelah dan usaha pasukan produksi filem EJEN ALI THE MOVIE ternyata berjaya membuahkan hasil yang luar biasa apabila kami bukan sahaja menerima pelbagai ulasan serta respon yang positif dari peminat-peminat Ejen Ali bahkan dapat berkolaborasi bersama syarikat yang telah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti kumpulan AirAsia ini.
Kami berharap menerusi kolaborasi bersama OURSHOP ini dapat membuktikan yang bukan sahaja Ejen Ali bahkan negara Malaysia serta produk-produk tempatan juga mampu menembusi pasaran antarabangsa”.
– Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation
EJEN ALI THE MOVIE, dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, dengan kerjasama PediaSure, sedang ditayangkan di 125 lokasi di Malaysia. Animasi ini mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.
Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain.
Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.
Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
Untuk maklumat lanjut tentang EJEN ALI THE MOVIE, layari:
- YouTube : www.youtube.com/ejenali
- Facebook : www.facebook.com/ejenali
- Instagram : www.instagram.com/ejen_ali
- Twitter : www.twitter.com/ejen_ali
#EjenAliTheMovie #EjenAli #AniMY