SENYUMAN TERAKHIR : SLOT PERMATA MULAI 03 SEPTEMBER 2008, SETIAP ISNIN HINGGA KHAMIS, JAM 3.30 PETANG DI RTM1
Di sebalik senyuman terakhir dapat memahatkan dua tafsiran berbeza yang kemungkinan didorong oleh niat yang ikhlas atau tersembunyi maksud jahat pada senyum yang diukirkan. Latar maksud yang tersembunyi di sebalik kenyataan ini dapat dikongsi penonton menerusi drama bersiri terbaharu Senyuman Terakhir mengisi slot Permata mulai 03 September 2008, setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.30 petang di RTM1.
Senyuman Terakhir terbitan Gama Taktik Sdn Bhd ini mengetengahkan watak utama iaitu Eizlan Yusof, Noniswara, Ziela Bakarin dan Aman Graseka yang pastinya memberikan pengajaran kepada penonton di samping memberikan pengisian berguna supaya tidak menilai orang daripada luaran semata-mata.
Menerusi 13 episod siarannya, drama Senyuman Terakhir mengajak penonton berkongsi konflik hidup dihadapi janda kaya bernama Nadia setelah kematian suami dan anak perempuannya, Suraya. Sebagai mengisi kekosongan hidupnya, Nadia mengambil seorang anak yatim piatu, Suraya dijadikan sebagai anak angkat.
Pada masa sama Nadia diburu ramai lelaki yang cuba mengambil kesempatan membolot hartanya terutama oleh lelaki dikenali sebagai Fatah. Fatah bertindak ganas cuba menculik Suraya namun berjaya dihalang oleh Rizal yang kemudian dilantik oleh Nadia menjadi pengawal peribadinya.
Kebaikan Rizal telah membuatkan Nadia mula jatuh cinta terhadapnya sehingga mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Mereka cukup bahagia sehinggalah Suraya diculik sewaktu keluar membeli-belah. Ketika itu sekali lagi Rizal bertindak sebagai penyelamat.
Kejadian itu menjadikan Suraya trauma dan dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor mengesahkan Suraya menghidap “acute leukemia” dan Rizal menjadi penderma untuk menyelamatkan nyawanya. Situasi itu menyebabkan kasih Nadia semakin menebal untuk Rizal.
Kehadiran gadis cantik bernama Sabrina telah jatuh hati kepada Rizal lalu cuba memikatnya. Dia menawarkan diri menjadi madu Nadia tetapi Rizal enggan berbuat begitu apabila diminta oleh Nadia.
Penyakit Suraya bertambah kritikal dan akhirnya dia meninggal. Nadia tidak dapat menerima kenyataan itu. Rizal membawa Nadia bercuti untuk menghilangkan tekanan tersebut, dia membawa Nadia ke tasik. Nadia ternampak Suraya di tebing tasik melambai-lambai ke arahnya. Nadia cuba ke tepi tasik lalu terjatuh.
Rizal tidak menyelamatkan malah meninggalkannya. Polis gagal menjejaki mayat Nadia. Nadia diselamatkan oleh Iskandar dan bertekad ingin membalas dendam kerana percaya itu adalah angkara Rizal.
Polis menemui cebisan pakaian Nadia dan Rizal yakin Nadia telah meninggal. Rizal mula berfoya-foya. Arina cuba menyiasat kes tersebut dengan menyamar sebagai model. Nadia mula menakutkan Rizal dengan munculkan diri. Rizal menjadi bingung.
Adakah Rizal sebenarnya dalang di sebalik kejadian itu? Atau segala yang berlaku dirancang oleh pihak lain yang memusuhinya? Jangan ketinggalan menyaksikan drama suspen Senyuman Terakhir mengisi slot Permata mulai 03 September 2008, setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.30 petang di RTM1 yang pastinya membuatkan anda turut meneka siapakah penjahat yang sebenarnya.