Konflik Rumahtangga Bila Suami Curang dalam Air Mata Buaya Pada 29 Mei 2011 Di TV1
Dalam diam pelakon Abby Abadi bermusuh dengan pelakon drama yang telah pun menginjak dalam bidang nyanyian, Eira Syazira. Dendam pelakon popular itu terhadap Eira dilaporkan gara-gara berebutkan seorang lelaki yang juga dikenali dalam bidang lakonan, Eizlan Yusof.
Namun segalanya bukanlah berlaku dalam realiti yang sebenar. Ianya berlaku ketika mereka menghayati watak masing-masing dalam drama yang memaparkan isu kekeluargaan dan pergolakan suami isteri bila si suami suka bermain kayu tiga. Daripada sekadar suka-suka menjadi hobi untuk bersuka-ria bersama wanita lain di luar rumah.
Drama Air Mata Buaya mengisi slot Panggung Ahad yang bakal disiarkan pada 29 Mei 2011, jam 10.00 pagi di TV1 ini yang turut dibantu oleh Fadzilah Mansor dan Mubarak Majid ini mengisahkan Jai yang selalu jatuh cinta walaupun telah beristeri dengan seorang wanita yang jelita. Itulah yang memeningkan ibunya, Puan Ainon. Sekalipun Jal telah berkahwin dan mempunyai isteri yang cantik seperti Angelina Jolie, tapi dia pantang nampak perempuan cantik. Hatinya mudah cair dan mudah jatuh cinta.
Banyak kali isterinya, Shira makan hati dengan sikap Jal. Shira juga selalu merajuk dan memarahinya. Tapi setiap kali Jal tertangkap dan berjaya membuktikan Jal punya hubungan dengan perempuan lain, setiap kali itu jugak Jal akan menangis dan minta maaf dari Shira. Jal janji tak akan buat lagi dan setia kepada isterinya seorang.
Tapi setiap kali itu jugalah Jal akan mungkir janji. Jal tahu dia bersalah dan Jal tak pernah menyalahkan Shira. Malah kesalahan tidak pernah diletakkan di bahu orang lain. Dia mengakui kesalahan datang daripada dirinya juga.Begitu pun Jal akur. Dia tak boleh buat apa-apa kerana perasaan cinta dalam dirinya datang umpama datangnya bulan.
Sementara itu kesabaran Shira sebagai isteri tiba di kemuncaknya. 11 tahun usia perkahwinan mereka dengan lebih 20 kes cinta gelap Jal, rasanya Shira tidak lagi mampu bertahan. Airmatanya sudah kering, hatinya sudah beku, cintanya mati. Shira mengambil keputusan meniggalkan Jal bagi menyejukkan hatinya. Ibu Jal berpakat untuk mengenakan Jal.
Lalu apakah yang terjadi seterusnya? Dapatkah mereka mempertahankan hubungan yang dibina atas dasar cinta demi anak-anak yang tersayang? Saksikan kesudahannya menerusi drama menarik Air Mata Buaya pada 29 Mei 2011, jam 10.00 pagi di TV1.