EIRA SYAZIRA BINTANGI DRAMA MENARIK, MELUKUT DI TEPIAN GANTANG, SLOT GALERI FAMILI DI RTM2
Wajah dan penampilan pelakon remaja yang sedang meningkat naik pemilik nama Eira Syazira seringkali menghiasi drama-drama tontonan ramai dengan membawakan watak gadis remaja seusianya. Namun terbaharu, pelakon ini muncul dengan membawakan watak seorang wanita bertudung yang teraniaya akibat perbuatan suami sendiri menerusi drama menarik Melukut Tepian Gantang yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 1.30 petang mengisi slot Galeri Famili di RTM2.
Melukut Tepian Gantang terbitan Televisyen Airtime Services ini selain dibintangi pelakon popular Eira Syazira malah turut dibantu Esma Danial, Aznah Hamid, Raja Azrey, Fetty Dzul, Kamarool Hj Yusof, Dian P. Ramlee dan Kuswadinata.
Melukut Tepian Gantang dalam 26 episod siarannya mengisahkan seorang gadis bernama Nabila yang telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya. Farid yang menyukai Nabila merasa kecewa kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran bersama-sama Nabila kerana gagal dalam peperiksaannya.
Kejayaan Nabila menyambung pelajaran ke universiti tidak langsung menggembirakan hati Farid kerana dia merasakan hubungan percintaan dia dan Nabila semakin renggang. Farid cuba ditenterami ibunya, Azizah yang menasihatkan Farid agar tidak terus mengharap kasih pada yang tidak pasti.
Dalam masa yang sama, Hisham, seorang penuntut sering bermimpikan wajah Nabila meskipun dia tidak pernah mengenali atau melihatnya. Walupun telah dinafikan Kamal dan mengatakan itu hanyalah mainan tidur, Hisham tetap percaya yang mimpinya itu akan menjadi kenyataan dan berusaha menjejaki Nabila melalui sekeping gambar yang dilukisnya. Dalam diam, rakan Hisham, Kamal mula menaruh hati pada lukisan potret tersebut.
Sementara itu, hubungan yang terjalin di antara ibu Farid, Azizah dengan Kassim menimbulkan kecurigaan kepadanya. Kassim dengan niat jahat telah menceroboh rumah Azizah sewaktu ketiadaan Farid menyebabkan Farid nekad untuk memukul Kassim di kebun getah. Pergaduhan ini menyebabkan Farid dipenjarakan membuatkan Azizah terpaksa memberitahu Nabila yang Farid telah mendapat tawaran kursus bagi menutup kejadian sebenar. Kehilangan Farid telah membuatkan Nabila berasa terkilan kerana kepulangannya ke kampung tidak di sambut Farid.
Akhirnya, Hisham dan Nabila membuat keputusan untuk berkahwin walaupun ia mendapat tentangan hebat daripada Datin Anum. Pelbagai cara dilakukan Datin Anum untuk memisahkan Hisham dan Nabila. Kepulangan Natasha dari luar negeri telah merobek hati Nabila apabila Hisham sering menghabiskan masanya dengan Natasha. Lebih teruk lagi apabila Datin Anum sering memperkecilkan Nabila didepan Natasha dan mengarahkan Nabila melakukan kerja rumah apabila mendapati Nabila hamil.
Dalam pada itu, Nabila dikejutkan dengan pemergiaan ibunya. Bagi Datin Anum, inilah peluang terbaik untuk dia memisahkan Hisham dan Nabila dengan menabur fitnah ke atas Nabila.
Pelbagai halangan serta suka duka yang terpaksa diiharungi Nabila dalam menjalani kehidupan seorang isteri kepada Hisham. Hasrat Datin Anum untuk menjodohkan Hisham dan Natasha telah meluluhkan lagi hati Nabila sehingga dia diusir keluar oleh Hisham sendiri.
Kematian Azizah membuatkan hidup Nabila terumbang ambing sehingga menyebabkan dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Nabila dirawat di hospital di bawah jagaan Hakimi sehingga sihat. Farid dibebaskan awal kerana berkelakuan baik semasa di dalam tahanan telah menyebabkan Kassim bimbang kerana takut pada bayang-bayang sendiri.
Nabila pulang semula ke kampung setelah pulih dari penyakitnya dan secara tidak sengaja telah bertemu dengan Suzana, seorang mualaf yang telah memeluk Islam setelah berkahwin dengan Farid. Datin Anum terkejut dengan kemunculan Nabila yang ditugaskan untuk merawatnya,begitu juga Hisham yang bagaikan tidak percaya dengan kewujudan Nabila yang telah lama menyepi.
Kemesraan di antara Hakimi dan Nabila menyebabkan Hisham tertekan dan tidak berputus asa untuk cuba memujuk Nabila kembali padanya. Dalam masa yang sama, keratan gambar yang dijumpai Hakimi menimbulkan seribu tanda tanya menyebabkan Hakimi terus mengorek rahsia mengenai hubungannya dengan Hisham.
Rahsia yang disimpan selama ini akhirnya terbongkar apabila Hisham sebenarnya adalah anak angkat Datin Anum dan gambar yang di jumpai disatukan dan terbukti Hakimi dan Nabila adalah satu ibu. Lantaran itu, Hakimi cuba menyatukan Hisham dengan Nabila semula.
Adakah Nabila akan menerima Hisham semula? Bagaimanakah Hisham menerima berita mengenai hubungannya dengan Datin Anum? Jangan lupa menonton Melukut Tepian Gantang, setiap Isnin hingga Khamis, jam 1.30 petang mengisi slot Galeri Famili di RTM2.
EIRA SYAZIRA & MAHYON ISMAIL