in , ,

Dari Artis Underground, Kini Eemrun Bangkit Berjuang dengan EMOSI

Seawal di bangku sekolah lagi, dia sudah mula belajar dan mengenal pelbagai genre muzik antarabangsa termasuk muzik underground. Sekali gus mendorong penyanyi remaja berusia 17 tahun ini mengikut jejak langkah itu.

Seawal di bangku sekolah lagi, dia sudah mula belajar dan mengenal pelbagai genre muzik antarabangsa termasuk muzik underground. Sekali gus mendorong penyanyi remaja berusia 17 tahun ini mengikut jejak langkah itu.

Ketika berusia 13 tahun pula, penyanyi yang ingin dikenali sebagai Eemrun ini mula mencipta lagu dan menulis lirik. Walaupun bergerak secara underground, Eemrun atau nama sebenarnya Muhammad Imran Daniel Mohammad Salahuddin tetap berasa puas.

Pada usia 15 tahun, Eemrun melangkah setapak lagi apabila mula menerbitkan lagu yang dihasilkan. Bermula dengan memperdengarkan kepada rakan-rakan seterusnya muat naik di saluran YouTube.

Eemrun

Sejak itu, Eemrun yakin untuk terus memperjuangkan apa yang sudah dimulakan. Sebagai permulaan, Eemrun memberanikan diri melangkah ke pasaran muzik tempatan secara komersial dengan mempertaruhkan lagu Emosi.

Dari pemuzik underground, Eemrun kini mampu mengukir senyuman apabila lagu Emosi dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Eemrun dengan sentuhan bersama penerbit Efry Arwis, lagu Emosi yang bergenre balada itu dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, idea dan melodi lagu itu datang secara tiba-tiba pada jam 3 pagi tatkala dirinya bergelut dengan emosi selepas kematian nenek tercinta.

“Lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam. Ketika itu saya berasakan diri kosong dan tidak mempunyai emosi selepas kematian nenek. Saya hilang tempat mengadu. Apa saya lalui dan rasa, saya terjemahkan dalam lagu ini.

“Apabila pendengar mendengar lagu ini, mungkin mereka boleh kaitkan dengan cinta atau ketika kehilangan seseorang. Apa yang penting, saya mahu pendengar faham maksud tersirat pada setiap bait lirik lagu ini.

“Bagi saya, lagu Emosi kena dengan cita rasa orang kita yang mana mereka boleh terima melodi yang dipersembahkan dalam lagu ini. Kalau mereka mendengar pasti dapat rasa dan boleh dijadikan terapi,” katanya.

Berkongsi mengenai langkahnya terjun dalam pasaran muzik komersial, Eemrun berkata ia satu lagi percubaan baharu dalam hidupnya seperti mana ketika terbabit dalam muzik underground.

“Sebelum ini saya artis underground saja. Saya buat lagu dan muat naik di YouTube. Selepas menghasilkan 20 lagu, kiranya lagu Emosi ini adalah yang pertama menjengah pasaran komersial. Semua lagu dihasil dan disiapkan sendiri di rumah.

“Apabila melangkah secara rasmi dalam pasaran muzik komersia, saya anggap ini adalah perkara baharu yang saya perlu cuba. Sama seperti underground dulu. Cuma, apa boleh dikatakan kali ini saya nak ‘upgrade’ diri. Dalam masa sama, saya percaya dengan hasil kerja, sebab itu nak masuk secara komersial,” katanya.

Eemrun

Menjadikan pemuzik underground di Amerika Syarikat, Linkin Park dan ramai lagi sebagai rujukan muziknya, Eemrun berkata dia tetap tidak melupakan pemuzik tempatan.

Malah, lagu-lagu daripada kumpulan Hujan, Bunkface dan YonnyBoi antara yang menjadi perhatiannya.

Lagu Emosi kini sudah tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox dan video muzik akan ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 19 FEBRUARI jam 9 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Radio ERA Perkenal ‘JoHaRaRy Pagi ERA’, Kini Sherry Alhadad Jadi Penyampai Radio

TAKDIR YANG TERTULIS & MELASTIK KE HATIMU Berjaya Memaku 19 Juta Penonton di Sofa