in

Earth Hour 2009

Undi selamatkan bumi atau jadi mangsa pemanasan global

TIDAK perlu jeritan, laungan atau perarakan untuk memperjuangkan sesuatu agenda. Tahukah anda, satu langkah mudah mampu memberi perubahan besar dan mungkin boleh dianggap paling efektif? Inilah keunikan kempen Earth Hour yang giat dipromosikan ketika ini.

Seruan kempen Earth Hour amat mudah. Pada 28 Mac ini, mulai jam 8.30 malam, anda cuma perlu memadamkan suis lampu untuk tempoh sejam. Apa yang penting, ialah simbolik perbuatan ini serta mesej yang ingin disampaikan kepada pihak berkepentingan di seluruh dunia.    

Bagi individu yang menganggap perjuangan memelihara alam sekitar bukan tanggungjawab mereka, mungkin tidak terasa impak kempen ini. Namun, bagi insan prihatin dengan isu alam sekitar, Earth Hour pasti disambut baik.

Earth Hour adalah program tahunan sedunia yang dianjurkan Tabung Alam Sedunia (WWF) pada setiap Sabtu ketiga bulan Mac. Melalui kempen ini, orang ramai diminta memadamkan suis lampu atau kelengkapan elektrik yang lain bagi tempoh sejam. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran perlunya tindakan segera diambil dalam menghadapi perubahan iklim dunia.

Kempen ini dipelopori WWF Australia dan akhbar Sydney Morning Herald pada 2007. Sejak itu, kempen ini semakin mendapat sokongan dunia hingga pada tahun lalu, sejumlah 50 juta penduduk dunia menyertainya.

Paling menarik, mercu tanda popular dunia seperti Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat (AS); Colosseum di Rome; Sydney Opera House di Sydney, Australia dan papan tanda Coca Cola di Times Square di New York bergelap selama sejam.

Pada penganjurannya tahun lalu, lebih 400 bandar dari tujuh benua mengambil bahagian. Dilaporkan, laman web rasmi Earth Hour menerima kunjungan lebih 6.7 juta pelawat kira-kira seminggu menghampiri Earth Hour. Enjin pencarian popular, Google juga menggelapkan laman webnya sebagai tanda sokongan.

Di Malaysia, kempen Earth Hour dilancarkan pada 16 Februari lalu. Ini adalah penyertaan pertama negara dalam misi membawa perubahan peringkat global ini.

Rakyat Malaysia, baik individu, perusahaan, pemilik premis bangunan dan personaliti popular sama-sama berganding bahu bertindak mengatasi perubahan iklim dunia. Antara pihak yang turut terbabit dalam penganjuran kempen pertama di Malaysia ialah Menara Kuala Lumpur, World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia dan agensi pengiklanan, Leo Burnett.

Seiring isu pemanasan global yang kerap diperkatakan, Earth Hour 2009 bakal mencatat sejarah kerana membabitkan proses pengundian pada skala besar penduduk dunia. Inilah julung kali, penduduk dunia tanpa mengira usia, keturunan, etnik dan agama berpeluang mengundi dengan hanya memadamkan suis lampu yang berfungsi bagai kertas undi.

Melalui kempen ini, pengundi bebas memilih untuk memadamkan lampu jika mahu menyelamatkan bumi atau membiarkan ia bernyala jika memilih bumi terus menjadi mangsa pemanasan global. Semua ini perlu dilakukan dalam tempoh sejam.

WWF mengajak penduduk dunia mengundi bumi bagi mencapai sasaran satu bilion undi yang akan dibentangkan kepada pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Global (Global Climate Change Conference), di Copenhagen, Denmark, tidak lama lagi.

Persidangan itu bakal menentukan polisi kerajaan untuk bertindak terhadap ancaman pemanasan global menggantikan Protokol Kyoto. Inilah peluang bagi penduduk dunia menyatakan suara hati mereka.

Penganjur Earth Hour 2009 mensasarkan satu bilion penyertaan penduduk dunia. Undi yang diberi kepada bumi adalah seruan kepada penduduk dunia melakukan sesuatu demi menjamin masa depan planet ini. Mengikut laporan yang dikeluarkan WWF tahun lalu, kesan pemanasan global sekarang lebih cepat berkembang daripada apa yang diramal kumpulan saintis terkemuka dunia.

Sebagai penghuni bumi yang prihatin, apa kata padamkan lampu anda bagi tempoh sejam mulai jam 8.30 malam 28 Mac ini.

Sebaik memulakan langkah pertama, banyak lagi perkara lain yang anda boleh lakukan. Antaranya, mendaftar dengan penganjur Earth Hour. Anda akan menerima tip dan panduan berguna dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam kehidupan seharian. Maklumat ini kemudian boleh disebarkan kepada keluarga dan kenalan.

Selain itu, individu yang mendaftarkan diri boleh berkongsi cerita mengenai kesan perubahan iklim kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta bagaimana setiap orang boleh menyumbang.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk jejaka macho yang masih memiliki rasa sayang terhadap bumi, boleh menyokong kempen Earth Hour dengan melayari laman web www.earthhour.org/malaysia. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai penduduk dunia yang prihatin!

INFO:

  1. Menurut WWF Thailand, bandaraya Bangkok dapat mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 73.34 megawatt bersamaan 41.6 tan karbon dioksida pada Earth Hour tahun lalu.
  2. Toronto, Kanada menjimatkan 900 megawatt elektrik dalam sejam.
  3. Ireland berjaya mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 1.5 peratus pada malam itu.
  4. Di Dubai, lampu yang menerangi kebanyakan kawasan dipadamkan manakala lampu jalan dimalapkan hingga 50 peratus. Hasilnya, 100 megawatt sejam elektrik dijimatkan.

Layari: http://www.earthhour.org

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Synopsis Trailer Film 12 Rounds

Senarai Finalis Anugerah Industri Muzik ke 16