in ,

Dynas Mokhtar Pengacara Si Kecilku Chakk

Dalam kesibukan untuk memulakan rutin seharian pada waktu pagi, apa kata merehatkan minda anda seketika dengan menonton program-program menarik di slot Senda Pagi oleh TV3.

Selain drama komedi yang mencuit hati iaitu Tipah Vavavom, program Apa Apa Aje yang sering mencetuskan perdebatan antara kaum Adam dan Hawa, gameshow Ewah Ewah yang menjanjikan keseronokan secara maksimum, pastikan anda juga tidak ketinggalan untuk menonton dua buah program lifestyle yang terbaru, SI KECILKU… CHAKK!! bermula pada 5 Oktober 2010, setiap Selasa jam 11.00 pagi manakala CERITA CINTA pula mula disiarkan pada 6 Oktober 2010, setiap Rabu jam 11.30 pagi.

Ikatan perkahwinan sesuatu yang suci. Dua hati yang disatukan berikrar untuk setia dalam mengharungi suka duka, manis dan pahit, senang dan susah dalam hidup hingga ke dunia akhirat.

Dynas

CERITA CINTA yang akan bersiaran selama 13 episod ini berkongsi kisah cinta pasangan selebriti di Malaysia dari saat mereka berkenalan hingga ke alam perkahwinan! Selebriti popular yang juga merupakan figura masyarakat tidak dapat menyembunyikan gerak geri mereka di mata umum terutamanya kisah cinta yang menjadi buruan media dan para peminat.

Tidak pernah lekang dari kontroversi dan gosip, namun mereka tidak mudah terpengaruh dan berjaya menjalin hubungan sehingga ke jinjang pelamin.

Antara pasangan selebriti yang mendapat perhatian umum dari saat mereka berkenalan, bercinta sehingga berkahwin termasuk Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Haji Khalid Mohd Jiwa (Datuk K), Datin Paduka Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Hunny Madu dan Khairul Azhar Wahid, Jasmine Abu Bakar dan Zan Azlee, Siti Hasfizza Aswaty dan Afief Farhan Fauzi, Belinda Chee dan Joe Eng Yeow, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin serta Serina Redzuawan dan Salahuddin Ghafar.

Tidak ketinggalan juga pasangan Rashidi Ishak dan Vanida Imran yang baru menyambut ulang tahun mereka yang ke 10 serta Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, angkasawan negara yang akan melangsungkan perkahwinan beliau bersama Dr. Harlina Yunos pada 10 Oktober 2010 berkonsepkan “Istana Kayangan” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Antara paparan yang menarik di CERITA CINTA termasuk pasangan Serina Redzuawan bersama suaminya pula mengenakan busana yang berkonsepkan jawa dan mereka memilih rona hijau yang sesuai dengan konsep bersanding dalam taman yang diadakan di Hotel Royale Chulan. Selain itu, kru produksi juga menemuramah pereka busana pengantin Jovian Mandagie dan juga juru tatarias Saidatulsina dalam episod pertamanya.

Daripada fasa perkahwinan, pasangan suami isteri akan melangkah ke fasa ibu bapa yang lebih mencabar dan menyeronokkan! Hadiah daripada ibu kepada ibu, “SI KECILKU… CHAKK!!” pasti menjadi teman setia anda dalam mengharungi tugasan dan cabaran sebagai seorang ibu dalam penjagaan permata hati anda selama 13 episod.

Pengorbanan seorang ibu bermula dari saat mengandung, melahirkan anak, menjalani tempoh pantang dan juga detik bermulanya menjaga seorang bayi. Pada zaman moden ini, kebanyakkan ibu adalah wanita berkerjaya dan pastinya titik pengimbangan antara keluarga dan kerjaya menjadi faktor pertimbangan mereka dalam menjalankan rutin seharian.

SI KECILKU… CHAKK!! yang bersiaran pada setiap hari Selasa, jam 11.00 pagi dihoskan oleh seorang selebriti yang anggun, jelita dan juga seorang ibu kepada bayi perempuan comel, Dynas Mokhtar.

Dalam memaparkan isu-isu yang berkaitan dengan ibu dan anak, episod pertama yang disiarkan pada 5 Oktober 2010 telah berkongsi tips seperti “Kembali langsing selepas bersalin” bersama tetamu undangan Daphne Iking dan Koh Pei Ling (Pakar Dietetik), “Penjagaan bayi” bersama Rita Rahayu (Perunding Laktasi) dan juga “Makanan Berkhasiat” yang berkongsi resipi ayam panggang skewer bersama Anis.

Selain itu, paparan menarik dalam 13 episod ini merangkumi isu-isu berkaitan wanita mengandung, trauma keguguran anak, masalah dyslexia kanak-kanak, perkembangan minda, hamil di usia 40 tahun, panduan penyusuan ibu-ibu berkerjaya, fesyen semasa mengandung dan selepas bersalin, masalah anak lambat bercakap dan juga menu-menu makanan berkhasiat yang mudah disediakan. Program ini bermatlamat untuk berkongsi segala maklumat yang anda perlu tahu sebagai seorang ibu.

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “TV3 sering menerima maklum balas daripada para penonton kami yang mencadangkan program lifestyle yang memberi informasi kepada golongan ibu dan juga tips penjagaan anak khususnya. Selain itu, kami juga mendapati isu perkahwinan selebriti antara topik yang paling digemari oleh penonton-penonton wanita yang tidak pernah bosan tentang persediaan majlis perkahwinan, kisah cinta pasangan selebriti dan juga fesyen busana pengantin.”

“CERITA CINTA bukan sahaja fokus kepada majlis perkahwinan yang gilang gemilang, ia juga mengisahkan perjalanan cinta dan kisah rumahtangga pasangan selebriti yang penuh dengan pancaroba hidup serta kontroversi.

Manakala di SI KECILKU… CHAKK!!, pendekatan program secara santai dan merangkumi segala yang anda perlu tahu sebagai seorang ibu. Mereka perlu sentiasa melengkapkan diri dengan informasi terkini dalam penjagaan kesihatan diri, si manja dan kesejahteraan keluarga.” Tambah Puan Nurul.

Maka, jangan ketinggalan untuk menonton SI KECILKU CHAKK!! pada hari Selasa jam 11.00pagi dan ikuti jurnal cinta pasangan selebriti kesayangan anda di CERITA CINTA, setiap hari Rabu jam 11.30 pagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzika Ekstravaganza Satukan Malaysia Singapura

Menangi iPad dalam Peraduan Cornetto Show Your Love