Bagi kebanyakan manusia, kematian mungkin bererti hentian terakhir dan terputuslah hubungan dengan dunia ini. Namun, tidak pula dengan etnik Batak Karo di Sumatera, Indonesia. Hubungan si mati dengan waris yang masih hidup masih kekal menerusi tradisi Ngampaikan Tulan Tulan, atau Mengumpul Tulang. Tradisi ini diibaratkan sebagai melunaskan janji kepada si mati.
Dipercayai, ia mula diamalkan sejak ratusan tahun bagi memberkati setiap rezeki yang diberikan ke atas keluarga si mati. Malah mengikut kepercayaan mereka, rezeki mereka akan berlipat kali ganda sekiranya adat ini diteruskan. Oleh itu, keluarga yang masih hidup harus laksanakannya sebagai tanda kesyukuran atau terima kasih kepada si mati ibarat sebuah janji yang harus dipenuhi. Justeru, tempoh untuk merancang dan melaksanakannya memakan masa yang agak lama.
Upacara ini begitu unik kerana tulang temulang si mati perlu digali semula dan dicucikan dengan air bancuhan khas dan dikuburkan bersama keranda yang baru. Pengamalnya pula hendaklah terdiri daripada menantu lelaki keluarga itu.
Setelah selesai pengebumian semula itu, tatacara yang terakhir yang harus dipatuhi adalah pengamal tradisi ini hendaklah mencuci muka mereka dengan air cucian tulang temulang si mati itu di atas kubur baru itu. Tatacara terakhir ini dipercayai adalah untuk mengelakkan dari sebarang gangguan misteri setelah selesai adat ini dilaksanakan.
Menurut Penulis dan Penerbit Dunia Tersembunyi, Encik Mohd Raziff Zulkafli,
“Saya dan kru Dunia Tersembunyi hampir putus harapan untuk mencari tradisi ini setelah mengetahui ia kini sukar ditemui. Malah, pengamalnya juga memerlukan tempoh sehingga 10 tahun untuk setiap kali perlaksanaannya. Tidak cukup dengan sifat mistiknya, Kru Dunia Tersembunyi juga berhadapan situasi misteri. Sepanjang melakukan rakaman ini, kami tidak berhadapan masalah. Pun begitu, segalanya bermula apabila sebahagian visual rakaman yang telah disimpan rapi di dalam hardisk hilang tanpa diketahui apa puncanya meskipun hardisk dalam keadaan sempurna.”
Untuk menyaksikan keunikan adat penuh mistik ini, saksikannya secara eksklusif di TV3, saluran 103 kerana segalanya bakal dipertontonkan kepada anda menerusi episod Tradisi Mengumpul Tulang dalam Dunia Tersembunyi, pada Sabtu ini, 24 Januari 2015, jam 11.00 malam.