in

Dunia Tersembunyi

MENYINGKAP NORMA MANUSIA DALAM DUNIA TERSEMBUNYI

Dunia Tersembunyi, sebuah program baru berbentuk majalah dokumentari yang menyingkap kepelbagaian kehidupan manusia dari gaya hidup yang luar biasa, sosio-ekonomi, destinasi pelancongan hingga keunikan budaya seluruh dunia yang dipanggil sebagai norma. Dunia Tersembunyi telah mula bersiaran sejak 4 Januari lalu menggantikan 360 dan bakal menghimpunkan kisah-kisah misteri dan pelik buat penonton sebanyak 13 episod.

Dunia Tersembunyi berkonsepkan pengembaraan di mana setiap episod akan memaparkan pengalaman peribadi yang dilalui sendiri oleh krew produksi, menerokai demografi lokasi dan masyarakat dalaman untuk menyingkap lebih lanjut lagi tentang setiap keunikan. Antara tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan krew produksi Dunia Tersembunyi seperti Tana Toraja, Pulau Lanjukang (Indonesia), Zhangjiajie, Lijiang (China), Bijapur & Solapur (India), Ha Giang (Vietnam) dan Manila (Filipina).

Tana Toraja (Indoensia)

Menerusi episod pertama Dunia Tersembunyi yang disiarkan pada minggu lalu, penonton didedahkan maksud sebenar ‘Rambu Solok’. Krew produksi telah pergi ke Tana Toraja, sebuah kawasan pelancongan tercantik di Indonesia dan menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai alam kubur Bukit Lemo dan Makam Gua Londa. Rambu Solok, sebuah upacara adat yang wajib dijalankan keluarga si mati. Melalui upacara ini, mayat akan dirai selama seminggu dengan pelbagai acara, antaranya, penyembelihan kerbau. Malah, mayat akan diusung dan digoncang sebagai tanda kenangan terakhir sebelum disimpan di dalam rumah khas. Rambu Solok diiktiraf sebagai upacara adat paling mahal di Indonesia kerana menelan belanja ratusan juta rupiah.

Selain di Indonesia yang kaya dengan tradisi dan adat resam, penonton berpeluang menyaksikan sesuatu yang menarik di Bijapur & Solapur, India. Terkenal sebagai ‘Agra India Selatan’ dan ‘Bandar Tekstil Cadar’, Bijapur & Solapur menyimpan satu tradisi iaitu melambung bayi. Walaupun amalan ini diharamkan oleh kerajaan, ia masih diamalkan oleh segelintir komuniti yang terikat dengan kepercayaan adat dan agama sejak 400 tahun dahulu. Setiap tahun, hampir 1000 bayi akan dilambung dari ketinggian 20 kaki rumah ibadat terpilih dan disambung menggunakan cadar dipegang sekumpulan lelaki.

Siapa sangka di kota metropolitan terbesar Filipina terdapat komuniti yang hidup di atas tanah perkuburan. Taraf hidup yang melambung tinggi dan tawaran pekerjaan yang sukar menghimpit sebilangan warga. Tanpa menghiraukan stigma masyarakat dan suasana seram dikelilingi kubur, mereka tinggal bersama keluarga dan ada antara mereka bekerja sebagai penjaga kubur bagi menyara hidup. Malah, kanak-kanak kecil sudah dididik untuk berjiwa cekal dan tidak menghiraukan suasana seram kubur-kubur usang yang menjadi tempat tinggal mereka.

Krew produksi yang menjalani penggambaran selama 6 bulan berjaya merakam kisah-kisah lain yang boleh dianggap ‘gila’ dan asing dari dunia realiti kita di zaman serba moden ini, contohnya, ‘Tangisan Pengantin’, ‘Nasib Si Kerdil’, ‘Dunia Wanita’, ‘Pasar Cinta’, ‘Jantina Ketiga’, ‘Isteriku Isterimu’, ‘Waris Sabung’, ‘Korban Jiwa Sati’ dan banyak lagi bersama pengacara Mohd Raziff Zulkafli yang turut bertindak sebagai penerbit.

Dunia Tersembunyi diterajui oleh Noraini Mat Tahir selaku Penerbit Eksekutif, Mohd Raziff Zulkafli selaku Penerbit dan Muhamad Azlan Mohamed Nor selaku Penolong Penerbit dari Primeworks Studios. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Dunia Tersembunyi pada setiap hari Rabu selama 30 minit bermula jam 9.00 malam di TV3. Ia juga boleh disaksikan melalui www.tonton.com.my.

Komuniti Tanah Kubur (Filipina) (01)

Komuniti Tanah Kubur (Filipina)

Waris Sabung (Filipina) (01)

Waris Sabung (Filipina)

Melambung Bayi (India)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tayangan BUNOHAN di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam

Zaquan Minta Rita Rudaini Tidak Sebar Fitnah