Meskipun mereka berdua putus tunang, Hafreez mendedahkan setakat ini, dia sudah menerima tiga tawaran berlakon daripada produksi berlainan yang mahu menggandingkannya dengan Zara Zya.
Namun, disebabkan oleh kekangan jadual sebelum ini, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana produksi penerbitan setakat ini.
Hafreez berkata dia tidak kisah untuk bekerjasama dengan Zara meskipun telah putus kasih sejak dua tahun yang lalu.
“Selepas putus tunang, hubungan kami masih baik walaupun tidaklah kami lepak bersama macam dulu-dulu. Saya siap boleh bekerjasama kalau diberi peluang digandingkan bersama dengan Zara tapi disebabkan jadual clash, perkara itu masih tidak lagi kesampaian sehingga sekarang.”
– Hafreez Adam
Dia dalam pada itu turut menjelaskan bahawa pelakon wanita itu juga tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bergandingan dengan dirinya meskipun tidak lagi berkomunikasi sejak memutuskan pertunangan pada tahun 2019 yang lalu.
Sementara itu, Hafreez turut mengakui dirinya kini sedang dalam fasa berkenalan dengan seseorang namun enggan mendedahkan siapakah empunya diri.
“Saya ambil pengajaran daripada pengalaman lalu. Lepas ni kalau betul saya bercinta, saya akan lebih tertutup dan hanya akan umumkan bila kami jadi berkahwin.”
– Hafreez Adam
Terdahulu, Hafreez dan Zara mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober 2019 sebelum ikatan tersebut terlerai sebulan kemudian.