Berkongsi foto terkini di Instagram (IG), Ibnor memberitahu, biarpun tampak kecil, beliau beroleh semangat luar biasa daripada doa peminat
“Saya sangat mengharapkan doa peminat walaupun secara maya. Itulah tujuan saya membuat kemas kini gambar terbaharu dalam media sosial.
“Apabila membaca titipan doa dan kata-kata semangat yang ditinggalkan di ruang komen, sedikit sebanyak, membakar semangat saya.
“Selain rawatan kimoterapi, ubat terbaik untuk pesakit seperti kami adalah doa dan kata-kata semangat,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Ibnor sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan berkata, beliau sudah menjalani dua proses rawatan kimoterapi dengan berbaki enam sesi lagi.
“Doktor beritahu selain ubat, kata-kata semangat sangat penting saat berdepan penyakit ini. Semangat kena kuat, barulah mudah melawan penyakit.
“Saya bersyukur ramai rakan, baik jauh mahu pun dekat rajin bertanya khabar sama ada di Facebook (FB) mahupun membuat panggilan peribadi.
“Ada ketikanya, kami berhubung melalui WhatsApp kerana sebelum ini, saya pernah menghadapi masalah suara. Cuma ada masanya, hendak menaip pun agak sukar kerana ada ketika, tangan saya menggigil,” katanya.
Ibnor yang berulang alik dari Port Dickson ke HTJ untuk menjalani rawatan kimoterapi berkata, ada masa keadaannya baik, namun, ada ketika, lemah.
Malah, berat badannya turun mendadak selepas rawatan. Daripada 136 kilogram (kg), kini berat badannya menyusut lebih 30 kilogram.
“Ada masanya kuat dan ada hari, saya lemah. Kalau kurang tidur, maka, esoknya saya akan letih.
“Saya menghadapi kesukaran untuk tidur, biasanya selepas selesai solat malam. Sedar-sedar sudah subuh dan apabila siang, walaupun mengantuk, saya sukar melelapkan mata.
“Sejak menjalani kimoterapi, pola pemikiran saya jadi lambat. Jadi, saya kena pastikan makan ubat tepat pada masanya. Doktor juga minta supaya saya tidak biarkan diri terawang-awangan.
“Jadi, saya perlu tanamkan fikiran positif supaya dapat segera sembuh dan kembali mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.
Sejak sakit, Ibnor terpaksa menolak sehingga 15 tawaran nyanyian dan bergantung hidup kepada wang simpanan serta bantuan dihulurkan persatuan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM).
Ibnor bersyukur dikurniakan dua isteri yang sangat bertanggungjawab kerana menjaganya dengan baik serta tidak mengabaikan dirinya.
“Alhamdulillah, Allah aturkan dengan baik sekali. Saya bersyukur dan beruntung kerana dikurniakan isteri-isteri yang baik.
“Komunikasi mereka sangat bagus. Buat masa sekarang, saya dijaga isteri kedua dan hari ini isteri pertama baru tiba dari Brunei.
“Selepas ini, isteri pertama akan bawa saya pulang untuk berehat di rumah kami di ibu negara sebelum pusingan ketiga kimoterapi, tiga minggu dari sekarang.
“Isteri pertama tidak dapat selalu bersama kerana dia perlu menjaga bapanya yang sedang sakit, namun saya reda,” katanya.
Mac lalu, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu mengesahkan menghidap kanser limfoma.
Ibnor berkongsi khabar duka itu melalui hantaran berbentuk video yang dimuat naik rakan seperjuangan, Datin Salwa Abdul Rahman di IG.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson (HPD), Negeri Sembilan selepas pengsan di kediamannya.
Sebelum itu, Ibnor dilapor mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk.
Berikutan itu, Ibnor tidak dapat meneruskan karier sebagai penyanyi hingga sumber pendapatan terjejas.