Siri Terbaharu TVB Hits : Drive Of Life di TV2 Kongsi Kisah Perniagaan Automobil di China
Di Malaysia nama Kumpulan Naza sememangnya terkenal menguasai pasaran automobil negara. Jatuh bangun perniagaan keluarga yang dijalankan mereka pastinya menjadi titik tolak usah menjana pencapaian mereka yang sememangnya bolah dibanggakan kini.
Kisah sama diangkat menerusi drama Bersiri Kantonis TVB Hits terbaharu yang bakal disiarkan TV2 bertajuk Drive of Life mulai 24 November 2011, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang. Drama rantaian ini mengambil latar kisah pergolakkan yang berlaku dalam industri automobil yang berlaku di negara China dan menariknya ia kembali memaparkan kisah jatuh bangun berlaku sekitar perusahaan automobil yang pertama di sana.
Meletakkan gandingan pelakon-pelakon hebat Damian Lau, Gigi Wong, Jessica Hsuan, Raymond Lam, Liao Jingsheng, Feng Shaofeng dan Micheal Miu, Drive of Life sarat dengan konflik kekeluargaan, kasih sayang, persaingan dalam perniagaan dan cubaan bangkit daripada kegagalan yang mengisi 60 episod siarannya.
Drama ini berkisar kepada industri automobil di China yang membawa kepada watak utama tiga adik-beradik bernama Wah Man-Hon, Wah Man-Hung dan Wah Man-Shek yang dilahirkan di Beijing, China. Oleh kerana ketidaksefahaman antara mereka, tiga beradik ini mengambil keputusan berpisah dan meneruskan kehidupan masing-masing di Hong Kong, Beijing dan Vancouver.
Wah Man-Hon selaku abang yang sulong memiliki perdagangan syarikat keluli, yang kedua miliki sebuah kilang yang mengeluarkan komponen kereta dan yang paling muda pada mulanya membantu abangnya yang sulung tetapi berhijrah ke Kanada untuk memulakan kehidupan baru bersama isteri dan anak perempuannya.
Mereka cuba berdikari dengan menjalankan perniagaan sendiri dan segalanya berjalan dengan lancar. Namun ianya tidak lama kerana setelah masing-masing memikirkan masa depan empayar perniagaan keluarga mereka, tercetus idea untuk bergabung semula menjalankan industri automobil di China.
Setelah 10 tahun bergelut menghadapi kepayahan membangunkan perniagaan, mereka akhirnya berjaya membina jenama mereka sendiri sekaligus membanggakan negara China. Namun adakah empayar keluarga itu mampu dipertahankan? Bagaimana pula mereka berdepan dengan pesaing perniagaan yang lain?