in

Drama Wak Lakonan Julia Ziegler & Faizal Yusof

DRAMA WAK PERKENAL WATAK ANAK JAWA YANG BERJAYA DI TV2

Panggilan Wak sinonim dengan masyarakat Jawa yang merujuk kepada seorang pak cik. Begitu pun ramai kalangan kita tidak mengetahui selain mereka yang memang dilahirkan berketurunan Jawa. Menariknya pada 8 Januari 2010 mengisi slot Pilihan Jumaat, jam 2.30 petang di TV2, disiarkan drama bertajuk Wak menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dijayakan oleh pelakon hitam manis Faizal Yusof bergandingan dengan Julia Ziegler, Acong Sweetchild, Baby Farah, Jalil Hamid, Ruminah Sidek dan Redzuan Hashim. Turut di ketengahkan budaya serta latar kehidupan masyarakat Jawa selain bahasanya disampaikan secara santai menerusi drama terbitan Media Movie Pictures Sdn Bhd ini.

Wak berkongsi kisah Wak mengisahkan seorang pemuda Jawa berasal dari Kuala Selangor bernama Radin Khairul Nizam (Wak Ijam). Oleh kerana sikap bendul, jujur dan kelakar semulajadinya menyebabkan semua orang kampung memanggilnya Wak, dan dia sangat senang dengan panggilan itu. Wak yang sebatang kara tinggal di kampung Parit Senget bersama neneknya (embah Som) lantaran ibu bapanya telah lama meninggal dunia. Wak sering menjadi bahan gurauan di kampungnya kerana sifat semulajadinya yang lurus bendul.

Hobinya membaca suratkhabar secara tidak langsung menjadikannya seorang yang luas pengetahuannya tentang dunia luar dan sering memasang cita-cita menjadi orang kaya walaupun dianggap pemalas oleh orang kampung.

Wak menyukai Lijah, anak Tok Siak kampung tetapi Lijah bencikan Wak malah selalu menghinanya. Namun Wak tidak berputus asa sehinggalah dia mendapat berita Lijah menerima pinangan Kang Ran yang telah menduda sejak kematian isteri. Pertunangan Lijah dengan Wak Ran benar-benar menghancurkan hati Wak.

Pada satu hari, bapa saudara Wak (Parjo@Wak Joe) yang tinggal di bandar pulang ke kampung setelah sekian lama tidak pulang menziarahi ibunya (embah som) kerana merantau dan pernah berselisih faham. Wak Joe telah menjadi kaya dan memiliki syarikat pembinaan sendiri di bandar. Wak Joe mempelawa Wak bekerja di syarikatnya. Setelah berfikir panjang dan kecewa, Wak mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur dan menceritakan tujuannya pada Goding pekerja kebun Embah Som bahawa dia akan menjadi pengurus disyarikat pak cik nya. Embah Som agak keberatan melepaskan Wak.

Wak meninggalkan kampung untuk ke Kuala Lumpur dengan bas. Keindahan Kuala Lumpur benar-benar membuat Wak teruja untuk terus menetap di Bandar. Apatah lagi melihat lebih ramai gadis-gadis cantik berbanding semasa di kampung dulu, hanya Lijah sahaja yang paling cantik baginya. Dalam satu insiden, Wak terpandang seorang gadis cantik yang benar-benar memikat hatinya sehingga berangan untuk berkenalan dengannya.
 
Keesokkannya Wak melangkah datang ke pejabat Wak Joe untuk memulakan kerjanya. Dia yang sebelum ini menganggap akan mendapat jawatan yang baik di tempat bapa saudaranya kecewa kerana hanya diberikan jawatan pembantu pejabat.

Di pejabat, Wak mula disenangi oleh rakan-rakan sekerja terutama sekali rakan barunya, Tuan Jeb yang bekerja sebagai pelukis plan. Namun demikian, kehadiran Wak sebagai budak kampung yang bendul tidak disenangi Khaty, setiausaha Wak Joe yang selama ini menaruh hati pada Wak Joe. Sifat bendul Wak Ijam juga menyebabkan dia selalu dibuli oleh Khaty, namun Wak tetap dengan sifat periang dan bendulnya itu.
 
Khaty semakin membenci Wak Ijam kerana dia sering mendapat perhatian pekerja lain.
Satu hari pejabat Wak Joe didatangi dua wanita cantik bernama Mellisa, anak Tan Sri Kamal dan rakan kerjanya Suzy untuk berjumpa Wak Joe atas urusan perniagaan. Wak yang kebetulan berada di situ terpegun melihat kecantikan Mellisa yang pernah satu ketika dilihatnya sewaktu berjalan-jalan di bandar.

Wak mula memasang angan-angan untuk berkenalan dengan Mellisa. Pada masa yang sama Wak juga berangan menjadikan Mellisa teman wanitanya. Hasrat Wak Ijam ditertawakan rakan-rakan dan Harry pemandu Wak Joe.
 
Sementara itu Mellisa adalah usahawan wanita yang berjaya dan sering mendapat dorongan dan sokongan ayahnya Tan Sri Kamal, kawan lama Wak Joe. Rakan kerjanya Suzy banyak membantu Mellisa mengurus dan menjayakan perniagaannya. Sebagai gadis anak usahawan ternama, Mellisa mempunyai teman lelaki bernama Badri. Badri sebenarnya bukanlah mencintai Mellisa tetapi mencintai harta kekayaan Mellisa dan keluarganya. Namun peristiwa melihat Badri berpoya-poya bersama wanita lain menyebabkan Mellisa patah hati lalu memutuskan hubungan dengan Badri.

Sewaktu Wak Joe ke luar negara atas urusan perniagaan, Khaty terus membuli Wak. Waktu makan tengah hari Wak curi masuk ke bilik Wak Joe, telepon di meja Wak Joe berdering dan menjawab panggilan dari Suzy untuk berbincang projet Taman Impian. Menyedari panggilan dari pejabat Mellisa, Wak terus kepejabat Melisa memperkenalkan dirinya sebagai anak saudara Wak Joe yang baru bekerja di Syarikat tersebut.

Kehadiran Wak disambut Mellisa dan Suzy. Perilaku Wak dan cakap jujurnya mengundang rasa pelik Mellisa dan Suzy. Dalam perbincangan berkaitan dengan perniagaan, Wak hanya banyak mendengar dan ketika itu ia berangan dan setelah penerangan diberitau Suzy, Mellisa bertanya kan cadangannya tanpa disedari, Wak telah memberikan satu idea yang bernas tanpa dia sendiri menduga iaitu untuk membina sebuah taman.

Walaupun Mellisa dan Suzy melihat idea itu agak pelik tapi mengarahkan Wak membuat kertas kerja lengkap berhubung cadangannya. Walaupun takut dan menyedari kelemahanya, namun kerana Mellisa Wak sanggup menerima cadangan tersebut. Wak yang menemui jalan buntu cuba meminta bantuan dari Tuan Jeb. Wak telah dikenalkankan kepada Pandi sahabat Tuan Jeb. Akhirnya bersama-sama merancang strategi dengan di bantu oleh Kang Harry. Mereka bertungkus lumus untuk menyiapkan kertas kerja.

Tiba hari yang dijanjikan, Wak dengan bantuan Pandi membentangkan kertas cadangan kepada Tan Sri Kamal di pejabatnya. Adakah kertas kerjanya diterima? Justeru jangan lupa janji temu anda menyaksikan drama yang sarat dengan pengajaran dan komedi ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Show Hunny Madu di Parti Nona 2010

Abby Abadi dan Norman Hakim Hantar Anak Sekolah