“Minta maaf Encik Umayr Harris Tan Sri Hakim. Saya bukan lagi isteri sesiapa,†Itulah kata-kata Aisy yang pernah dihalau bagai seekor kucing kurap oleh suaminya sendiri. Setelah empat tahun membawa diri, Aisy kembali menuntut janji yang pernah dilafazkan oleh suaminya demi membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan. Namun, apabila bertemu, lain pula yang terjadi.
Ujian dan dugaan dalam perkahwinan merupakan perkara yang normal, terutamanya bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Begitulah nasib Zul Ariffin dan Farah Nabilah yang berlakon sebagai pasangan suami isteri bernama Harris dan Aisy dalam drama terbaharu slot Akasia, iaitu Titian Cinta. Mempunyai 28 episod, drama adaptasi novel karya Ridhya Iman ini merupakan arahan saudara Heykal Hanifah dibawah terbitan Zamriez Golden Pictures.
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “Drama Titian Cinta ini sarat dengan pengajaran yang boleh menjadi teladan kepada orang ramai. Ia mengisahkan tentang dugaan yang harus ditempuhi oleh pasangan suami isteri demi mencapai kebahagiaan. Ia juga menitikberatkan tentang kepentingan bersabar ketika mengatasi masalah rumahtangga.â€
“Selain itu, ini juga merupakan kali pertama Zul Ariffin dan Farah Nabilah berganding dalam sebuah drama. Kami berharap para penonton setia drama slot Akasia akan menikmati dan memberi sokongan kepada drama ini, seperti mana mereka telah memberi sokongan hebat kepada drama-drama yang telah ditayangkan di TV3 sebelum ini,†ujarnya lagi.
Bakal ditayangkan di TV3 bermula 11 September 2017 ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 malam, drama Titian Cinta turut dijayakan oleh gandingan barisan pelakon kegemaran ramai seperti Zul Ariffin, Farah Nabilah, Daler Yusuf, Tisha Shamsir, Dian P. Ramlee dan Marisa Yasmin.
Titian Cinta berkisar tentang percintaan antara Aisy (Farah Nabilah) dan Harris (Zul Ariffin). Kepulangan Aisy memang ditunggu-tunggu oleh Harris. Disebabkan hatinya dikaburi oleh perasaan cemburu, Harris sanggup menghina dan menghalau isterinya sendiri pada empat tahun yang lalu. Dia menyesal dengan tindakannya akibat mempercayai fitnah serta hasutan Sofea (Tisha Shamsir), dan ingin menebus segala kesalahannya.
Aisy yang menyangkakan dirinya sudah dicerai, terkejut dengan perubahan suaminya yang dahulu bersifat panas baran, kini sangat penyayang. Harris sabar dengan karenah dan sikap Aisy terhadapnya. Dia juga langsung tidak berputus asa untuk memikat semula hati isterinya yang telah dilukai. Pelbagai perkara telah dilakukan oleh Harris untuk melembutkan hati isterinya itu.
Lama-kelamaan, hubungan antara Harris dan Aisy bertambah pulih. Aisy juga dapat menerima kembali suaminya itu. Dia menganggap jodohnya bersama Harris masih kuat lagi. Namun, apa yang tidak diketahui Aisy ialah sifat cemburu Harris sebenarnya masih belum hilang.
Tatkala saat bahagia muncul kembali, dugaan baru melanda rumahtangga pasangan ini sekali lagi. Kemunculan Rayyan (Daler Yusuf) iaitu bekas tunang Aisy yang pernah ditangkap khalwat dengan Sofea, mengubah kembali perangai Harris kepada asal. Sifat cemburunya juga semakin menjadi-jadi. Sofea pula berdendam dengan Aisy kerana mengahwini bekas tunangnya iaitu Harris. Dia ingin memporak-perandakan rumahtangga Aisy dan Harris agar mereka berdua bercerai.
Adakah kebahagiaan akan menjadi milik Aisy dan Harris? Mampukah titian cinta antara dua insan yang hampir retak ini boleh dicantum semula? Jangan lupa untuk menonton drama terbaharu slot Akasia gandingan Zul Ariffin dan Farah Nabilah dalam Titian Cinta, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 malam hanya di TV3!
Drama bersiri ini juga dapat disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.