in

Drama Terbaik Hayati Maal Hijrah di TV2

Pengajaran Kisah Pengampunan Isteri, Mualaf Yang DiPulaukan dan Penghijrahan Ke Arah Kebaikan Melatari 3 Drama Terbaik Hayati Maal Hijrah Pada 15 November Ini di TV2

Drama-drama bertemakan sambutan Maal Hijrah menjadi pilihan stesen-stesen TV untuk dikongsi sama dengan penonton. Selain membawakan jalan cerita mengajak seseorang melakukan penghijrahan ke arah kebaikan, drama-drama dipilih juga menampilkan pelakon-pelakon terkenal tanah air dalam drama disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

babak sedih Cinta Sai'dah

Justeru tiga telemovie terbaik dipilih RTM untuk tontonan sepanjang hari pada 15 November ini bermula drama Maghfirah (jam 10.00 pagi), Cinta Sai’dah (jam 1.30 petang) dan Akhirnya Kisah Perempuan (jam 10.00 malam) yang antaranya mengangkat kisah pengampunan seorang isteri terhadap suaminya yang curang, mualaf yang berdepan cabaran bila dipulaukan dan cabaran dihadapi golongan yang cuba melakukan penghijrahan ke arah kebaikan.

Mengajak penonton menghayati maksud Maghfirah iaitu pengampunan, kongsikan jalan cerita drama dengan tajuk sama, kisah dihadapi Alia yang bergelut dengan perasaan sendiri bila terpaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya, Kamarul. Dia yang masih mengikuti pengajian di universiti hanya menurut kemahuan keluarganya tanpa menyedari Kamarul sebenarnya masih lagi mengenang gadis yang mengkhianatinya. Meskipun teruk dipukul dipersiakan oleh suaminya, Alia nekad meneruskan hidup bergelar isteri. Tetapi kesabarannya sampai di kemuncak bila anak yang dilahirkannya disahkan mengidap HIV angkara kecurangan Kamarul. Masih adakah peluang Kamarul memohon ampun daripada Alia? Drama ini dilakonkan oleh Almy Nadia, Syed Ali, Ryzal Jaafar dan Rozie Othman.

Cinta Sai’dah pula menyaksikan lakonan berkesan Shaarnaz Ahmad, Corrine Adrienne, Linda Hashim, Alex Yanz, Ezany Nizarif, Pekin Ibrahim, Bikay Nair dan Norisz Ismail menghidupkan plot kisah pergolakan dalam diri Joanne yang mencari dirinya sebenar setelah berdepan konflik dengan suaminya. Dia menuntut cerai meskipun tidak dipersetujui oleh bekas suaminya, Gerald Chia yang kemudiannya tidak henti-henti mengganggu kehidupan Joanne. Bagi Joanne pula pertemuannya dengan Iskandar umpama satu rahmat. Apatahlagi kerana angkara ditimbulkan bekas suaminya, Iskandar mengambil Joanne yang dikenali sebagai Sai’dah menjadi isterinya yang sah.

Namun kebahagiaan mereka dirampas oleh hinaan orang kampung yeng menyelar tindakan Iskandar berkahwin dengan mualaf. Malah mereka menfitnah anak dikandung oleh Sai’dah anak haram. Mujur ketika itu ada Jasmin, adik iparnya yang terus-terusan membela nasib Sai’dah. Meskipun diceraikan oleh suaminya, Uthman kerana menyebelahi Sai’dah, namun Jasmin tekad dengan pegangannya bahawa seorang mualaf itu perlu dibimbing sepenuhnya.

Ikuti sekuel Akhirnya Kisah Perempuan dilihamkan daripada plot cerita telemovie Perempuan yang telah memenangi Skrip TV Terbaik dan Drama TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2010. Kali ini kisah Perempuan muncul semula setelah 12 tahun perjalanan hidup watak-watak utama Perempuan iaitu Maisarah, Lina, June, Mona dan Christina di mana dahulunya mereka mempunyai perkaitan kisah hidup dalam dan luar sedar mereka. Akhirnya Kisah Perempuan akan memfokuskan proses hijrah watak-watak ini dalam kehidupan mereka kini. Ia dibintangi oleh Dira Abu Zahar, Zila Bakarin, Khatijah Tan, Corinne Adrienne, Rozie Rashid, Tania Zainal, Ika Farhana, Ruby Ooi dan Mohamad Izzam Syafiq.

babak dalam Cinta Sai'dah

Dira Abu Zahar dan Ika Farhana dalam Akhirnya Kisah Perempuan

babak dalam Akhirnya Kisah Perempuan-001

babak airmata oleh Almy Nadia dalam Drama Maghfirah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Shila Amzah di Pelancaran Trio Safi Balqis

Siaran Langsung Konsert Amarkala Deepavali Di TV2