KEMUNCAK ‘SETIA HUJUNG NYAWA’
CIPTA SEJARAH LEBIH 4 JUTA PENONTON
[dropcap]S[/dropcap]elepas NORA ELENA, TENTANG DHIA dan JULIA, slot Akasia terus menjadi perhatian dan meninggalkan kesan apabila lakonan Amar Asyraf, Nelydia Senrose, Hairul Azreen, Talha Harith, Zila Bakarin, Raja Ema, Chacha Maembong, Sura Sojangi dan ramai lagi berjaya mencetuskan satu lagi fenomena menerusi drama siri SETIA HUJUNG NYAWA.
Episod terakhir yang ditayangkan semalam di TV3 berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.5 juta (16 TVR) atau 58% (sumber: Nielsen Audience Measurement).
Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan SETIA HUJUNG NYAWA telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah sebanyak 4 juta.
Lebih 2 juta tontonan video secara ‘catch-up’ telah direkodkan sepanjang 6 minggu siaran drama ini berlangsung di TV3 dan Tonton. Menerusi capaian TV Everywhere di portal Tonton sahaja, sejumlah 326,000 tontonan telah dicatatkan. Manakala sejumlah 700,000 unit paparan halaman (page views) turut dilihat menerusi laman SETIA HUJUNG NYAWA yang diwujudkan khas untuk meraikan para peminat drama popular ini.
[pullquote align=”right”]Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan SETIA HUJUNG NYAWA telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah sebanyak 4 juta.[/pullquote]
SETIA HUJUNG NYAWA, sebuah kisah tentang kehidupan Zain yang berubah sekelip mata setelah ditinggalkan kekasihnya, Sofea, seminggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Demi menjaga maruah keluarga dari dicaci orang, ibu Zain iaitu Datin Adibah mengambil keputusan drastik untuk menyatukan Zain dengan Ersalina yang merupakan anak gadis kepada rakannya, Puan Haliza.
Setelah dua bulan berkahwin barulah Zain dan Ersalina mencapai persefahaman dan cinta mula berputik di antara mereka berdua. Tetapi, belum sempat menikmati kemanisan berumahtangga, rahsia kehamilan Ersalina terbongkar apabila dia mengalami keguguran. Zain amat kecewa dan mula melayan Ersalina seperti sampah. Maka, bermulalah babak baru kesengsaraan hidup Ersalina.
Episod akhir semalam menyaksikan Datin Adibah mengakui anaknya, Zain juga pernah melakukan kesilapan seperti Ersalina. Pada waktu yang sama, rakan baik Zain iaitu Hady tidak dapat menerima hambatan tersebut dan terus berusaha untuk merosakkan hubungan Zain dan Ersalina sehingga sanggup membunuh pasangan tersebut. Namun, rencana Hady gagal. Zain dan Ersalina hidup bahagia. Iqram pula yang selama ini mendambakan cinta Ersalina membawa diri ke Tanah Arab setelah redha dengan pilihan Ersalina.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin, “Sejak mula bersiaran pada 24 Disember 2012 hinggalah ke episod terakhir semalam, drama rantaian 28-episod ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan bukan sahaja di kaca televisyen dengan purata 2.8 juta setiap episod. Malah, pengaruh SETIA HUJUNG NYAWA terus hangat diperkatakan saban hari rata-rata menerusi media komunikasi alam maya seperti Facebook, laman twitter dan juga blog-blog tempatan.”
Sesi ‘Live Chat’ yang menampilkan pelakon utama SETIA HUJUNG NYAWA iaitu Nelydia Senrose dan Amar Asyraf telah diadakan menerusi portal TV3 turut mencatatkan kejayaan luar biasa dengan jumlah kunjungan sebanyak 25,462 pelawat (visits) dan jumlah paparan halaman (page views) yang dilihat menjangkau 63,570 unit mengatasi drama NORA ELENA sebelumnya dengan peningkatan jumlah kunjungan sebanyak 31% berbanding 19,435 dan sebanyak 102% berbanding 31,458 unit pelawat. (Sumber: Omniture)
Bagi semua peminat drama TV3, jangan lupa temujanji anda untuk menonton drama terbaru di slot Akasia iaitu RINDU BERTAMU DI ABU DHABI yang membariskan pelakon terkenal tanahair seperti Fahrin Ahmad, Dato’ Rahim Razali, Tasha Shila, Fouziah Gous, Shahrizal Jaszle, Aiman Hakim Ridza, Lydiawati, Syatila Melvin, Elyssa Murni Johari dan ramai lagi bermula 11 Februari 2013. Mengorak langkah pada tahun 2013 ini, TV3 akan terus menyajikan rancangan-rancangan yang terbaik dan bersesuaian dengan citarasa penonton tidak kira usia ataupun bangsa.