in

Drama Sempena Sambutan Maulidur Rasul

Drama-Drama Khas Papar Akhlak Mulia Rasullullah Mengisi Slot Kasih, Sinema Sabtu dan Citra di TV2

Kesempurnaan dan kemuliaan akhlak Rasullullah sewajarnya menjadi ikutan semua umat Islam tanpa mengira usia. Ia terbukti menerusi sifat baginda yang berani, pemurah, adil, memelihara diri daripada yang haram, sifat benar, amanah, sabar, lapang hati, pemaaf, pengasih dan penyayang.

Lalu dalam meraikan dan menghayati sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 cuba menyuntik kesedaran di kalangan penonton ciri-ciri baginda yang patut dicontohi oleh generasi kini dan masa depan dalam tiga buah drama khas siarannya. Bukan itu sahaja, penonton turut berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang pernikahan Misyar yang diamalkan di Timur Tengah tentang apakah kelebihan dan kekurangannya bila memilih cara pernikahan ini.

Mas Muharni dan Jalaluddin Hassan dalam Telemovie Sujudku di Sejadah

Membariskan pelakon berpengalaman termasuklah Fauziah Nawi, Rosnah Johari, Dato Ahmad Tamimi Siregar dan Datuk Jalaluddin Hassan, tiga buah drama dimaksudkan bermula dengan tayangan Luhur Cinta Ezumin mengisi slot Kasih pada 4 Februari 2012 (Sabtu), jam 10.00 pagi, Pelangi Ada Tujuh Warna dalam slot Sinema Sabtu pada 4 Februari 2012 (Sabtu), jam 2.00 petang dan Sujudku di Sejadah pada 7 Februari 2012 (Selasa), jam 10.00 malam mengisi slot popular Citra.

Drama Luhur Cinta Ezumin memaparkan plot cinta Ezumin terhadap Ayed, rakan sekelasnya. Namun cintanya mendapat halangan ibunya, Zaleha yang tidak sukakan karektor Ayed yang disamakan seperti kutu rayau. Ayed lelaki yang sangat sosial dan mempunyai kumpulan muzik punk. Namun sebenarnya Ayed seorang anak yang manja dan baik. Ayed sudah mempunyai kekasih bernama Mia tetapi Ezumin tetap menaruh hati terhadap Ayed dan sentiasa mengambil tahu aktiviti Ayed.

Semuanya berubah apabila Ayed mengetahui hubungan Mia dengan John. Ayed mula mendekatkan dirinya dengan Allah dan Ezumin dapat merasakan dirinya semakin dekat dengan Ayed. Di hujung drama ini berlaku konflik siapakah yang menjadi pilihan hati Ayed. Antara pelakon yang mendukung watak dalam drama penuh pengajaran ini termasuklah Fauziah Nawi, Ammar Alfian Aziz, Emelda Rosmila, Memey Suhaiza, Joey Daud, Zaidi Omar dan Hamidah Wahab.

Pelangi Ada Tujuh Warna

Membawakan mesej berat yang dapat menjelaskan lagi maksud perkahwinan secara poligami dan atas dasar nikah Misyar yang hanya diamalkan di negara-negara Arab dan timur tengah, saksikan drama Pelangi Ada Tujuh Warna lakonan Lydiawati, Rosnah Johari, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Jessie Lim, Aida Othman, Hisham Ahmad Tajuddin dan Zulkifli Ismail.

Cerita ini mengisahkan Fahda, wanita berusia awal 40an yang sangat berjaya didalam kerjaya E- dagangnya dan telah pun menjadi seorang jutawan. Namun dia masih belum berkahwin. Sahabat baiknya, Manisah berusaha mencarikan jodoh untuk Fahda namun Fahda menolak atas alasan tidak bersedia lagi.

Tidak lama selepas itu, Fahda dipertemukan jodoh dengan seorang ilmuan ekonomi bernama Dr Mahadi. Dr Mahadi sangat terkenal di dalam jurusan ekonomi dan sering keluar negara mengadakan persidangan. Fahda berkahwin dengan Dr Mahadi secara poligami dan atas dasar nikah Misyar yang hanya diamalkan di negara-negara Arab dan timur tengah.

Perkahwinan Fahda secara Misyar ini sebenarnya tidak dapat membahagiakan Fahda kerana dia hanya diberikan nafkah batin sahaja ditambah pula dengan keadaan Dr Mahadi yang sering berurusan keluar negara dan memang senantiasa tiada di sisi Faha apabila diperlukan. Pelbagai konflik timbul dan akhirnya atas desakan keluarga dan sahabat, Fahda akhirnya bercerai dengan Dr Mahadi dan berkahwin pula dengan suami sahabat baiknya sendiri, Manisah.

Seterusnya saksikan Sujudku di Sejadah mengisahkan watak Khatijah atau dipanggil Khaty lakonan Mas Muharni yang berpewatakan baik dan bertudung pada mulanya. Namun malangnya dia ditipu dan akhirnya menjadi seorang pelacur. Dia banyak menangis mengenangkan terpaksa berdepan dengan ibunya yang bongkak. Istimewanya, telefilem menarik ini turut membariskan pelakon berpengalaman Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Razali Hussain.

Luhur-cinta-ezumin

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Erra Fazira di Pameran Best of Bridal Lifestyle Singapura

Drama Tarikh Kematian Lakonan Norish Karman