in ,

Drama Sempena Maulidur Rasul di TV2

TIGA TELEMOVIE BERTURUT-TURUT TAYANGAN 15 FEBRUARI INI HAYATI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DI TV2

Menghayati sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari 2011 ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan tiga telemovie berturut-turut khas untuk penonton-penonton setia salurannya. Bermula dengan tayangan drama Nahi Mungkar dan Nur Hidayah sebelum diakhiri dengan drama Luhur Cinta Ezumin yang kesemuanya sarat dengan pengajaran berguna dikongsi seisi keluarga.

Penonton-penonton diajak berkongsi kisah watak yang berjaya mengubah nasib keluarga berkat kesabarannya. Namun dia mula khayal pada duniawi dan alpa pada perintah Allah. Dugaan demi dugaan yang diturunkan menyebabkan dirinya mula sedar dan berubah sikap. Plot kisah ini melatari drama Nahi Mungkar, jam 10.00 pagi lakonan Zamarul Hisham, Fizz Fairuzz, Watie Sadali, Kismah Johar, Hisham Ahmad Tajuddin, Shera Hazali dan Addy Ashraff. Ia mengisahkan kehidupan Shauki yang serba kemiskinan. Dia tinggal di kampung dan disebabkan mempunyai latar pendidikan yang rendah, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja berat dan bertugas sebagai tukang kebun di rumah Tuan Haji Musa demi menyara keluarganya. Dia sangat rajin, berdedikasi, jujur dan beriman. Meskipun sibuk dengan tugas dan pelbagai tugas harian, dia sentiasa ke masjid untuk menunaikan solat fardhu berjemaah.

Pun begitu, Shauki dipandang rendah dan hina oleh ibu mertuanya, Mak Jam, ibu tunggal yang tinggal bersama anak bongsu kesayangannya, Aliff yang saling tidak tumpah perangainya dengan Mak Jam. Mak Jam yang memandang harta dan pangkat membenci Shauki kerana dialah satu-satunya menantu keluarganya yang miskin dan tidak berpangkat. Shauki berazam satu hari nanti, dia mahu membuktikan kepada ibu mertuanya dia akan berjaya dan menjadi kaya-raya. Peluang terbaik akhirnya datang apabila dia ditawarkan oleh Tuan Haji Musa untuk mengembala kambing peliharaannya melihatkan keazaman dan kegigihan usaha Shauki.

Tuhan menurunkan ujian kepada Shauki untuk menguji keutuhan imannya. Anaknya, Nabil telah diserang sejenis penyakit kulit misteri yang menyebabkannya tidak senang duduk dan asyik mengaduh sakit akibat rasa kepijaran. Maka, ke sana ke sinilah Shauki dan Suhana berubat sehinggakan wang simpanan menyusut. Baha, kawannya muncul dengan cadangan jahatnya supaya mengaut semua hasil keuntungan penjualan kambing.

Drama Nur Hidayah disiarkan jam 1.30 petang pula berkongsi kisah watak Nur Hidayah dan teman lelakinya Fahmi Reza yang menjalinkan hubungan cinta ketika melanjutkan pengajian di university. Cinta yang mekar membawa mereka ke jinjang pelamin walaupun tidak mendapat restu daripada ibu Fahmi. Konflik berlaku apabila Nur Hidayah tidak dapat memberikan zuriat kepada Fahmi. Fahmi sering dipengaruhi ibunya agar membenci isterinya itu.

Tekanan diberikan ibunya membuatkan Fahmi tergerak hati untuk mengahwini gadis pilihan ibunya, Roziana dan memadukan Nur Hidayah. Sejak itu bermula episod lara dalam hidup Nur Hidayah apabila diperlakukan sesuka hati oleh ibu mertua, suami dan madunya. Apakah yang berlaku seterusnya…saksikan drama menarik lakonan penuh penghayatan oleh Jue Aziz, Azri Iskandar, Mariam Rahman, Harisma Syahira, Nurul Marliyana, Iris Sofea Halim dan Aznah Hamid.

Mengisi slot Kosandra pula drama Luhur Cinta Ezumin pada jam 10.00 malam yang memaparkan plot cinta Ezumin terhadap Ayed, rakan sekelasnya. Namun cintanya mendapat halangan ibunya, Zaleha yang tidak sukakan karektor Ayed yang disamakan seperti kutu rayau. Ayed lelaki yang sangat sosial dan mempunyai kumpulan muzik punk.

Namun sebenarnya Ayed seorang anak yang manja dan baik. Ayed sudah mempunyai kekasih bernama Mia tetapi Ezumin tetap menaruh hati terhadap Ayed dan sentiasa mengambil tahu aktiviti Ayed. Semuanya berubah apabila Ayed mengetahui hubungan Mia dengan John. Ayed mula mendekatkan dirinya dengan Allah dan Ezumin dapat merasakan dirinya semakin dekat dengan Ayed. Di hujung drama ini berlaku konflik siapakah yang menjadi pilihan hati Ayed.

Antara pelakon yang mendukung watak dalam drama penuh pengajaran ini termasuklah Fauziah Nawi, Ammar Alfian Aziz, Emelda Rosmila, Memey Suhaiza, Zoey Daud, Zaidi Omar dan Hamidah Wahab.

Luangkan masa ada menyaksikan tiga telemovie menarik ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nikon Coolpix S1100pj Siap Dengan Projector

Photos Lady Gaga Inside An Egg 53rd Annual Grammy Awards