Tahun ini mengangkat tema “Memartabat Hak Warga Emas: Merentas Generasi”, yang dipilih bagi menghargai segala sumbangan warga emas dalam kemajuan dan kemakmuran negara dan membina masyarakat penyayang di segenap lapisan masyarakat.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berbesar hati dapat berkongsi menyiarkan drama khas mengisi slot Panggung RTM yang mengangkat kisah dilalui warga emas yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita hari ini.
Menerusi drama arahan Paly Ishak diberi tajuk “Jangan Panjat Pagar Itu”, ikuti siarannya pada 14 Oktober ini, pukul 9.00 malam di TV1 yang menampilkan kemunculan pelakon Jalil Hamid, Kenji Sawahi, Sathiya, Hafizee Hatta, Dboy Hamdan dan Putera Qamarul.
Saksikan perjalanan kisah tiga orang sahabat baik yang tinggal di rumah warga emas iaitu Rahmat, Boon dan Jaya. Sempena hari lahir Rahmat, Jaya dan Boon berhasrat akan menunaikan apa saja permintaan sahabat mereka itu.
Rupa-rupanya Rahmat menyimpan keinginan mahu bebas dan lari dari rumah warga emas tempat mereka tinggal. Meskipun ragu-ragu dan bimbang dengan tindakan yang diambil, mereka bertiga memutuskan untuk melarikan diri dari situ. Mereka lari tanpa membawa sebarang pengenalan diri.
Kehilangan mereka akhirnya disedari warden rumah warga emas itu. Warden tersebut telah meminta bantuan Inspektor Betul untuk mencari mereka bertiga. Pelbagai insiden berlaku sepanjang pencarian menjejak tiga sahabat itu. Akhirnya mereka dijumpai di rumah Che Yah. Namun siapakah Che Yah? Apakah hubungan mereka dengan wanita tersebut?