PANGGUNG 1 : SLOT DRAMA TERBAIK DI TV1 SIAR DRAMA SELAMAT TINGGAL SAYANG 10 JULAI INI
Drama-drama terbaik mengisi Slot Panggung 1 yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV1 bukan asing lagi di kalangan peminat setia drama di negara kita. Menampilkan drama yang sarat dengan pengajaran berguna di samping watak-watak disampaikan pelakon dengan berkesan, slot ini menjadi pilihan penonton setianya saban minggu.
Dibintangi pelakon Aizat Jazmin, Yusmal Ghazali, Azzarima, Fadhil Dani dan Syukri Samsuddin, drama yang mengetengahkan kisah pergolakan rumah tangga yang saban hari berlaku di kalangan masyarakat kita yang dapat dijadikan teladan ini mewarnai plot drama bertajuk Selamat Tinggal Sayang disiarkan pada 10 Julai 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang di TV1.
Kisahnya bermula dengan watak utama, Reduan, seorang peniaga kecil yang sering berangan-angan mahu menjadi jutawan. Dia dibantu oleh Norman. Kali pertama bertemu dengan Awin semasa dia menghantar barangan pesanan syarikat. Mereka bersahabat, Awin banyak mengajar Reduan terutama tentang M-O-D-A-L.
Pada masa yang sama Datuk Megat, ayah Awin pula mengalami masalah modal perniagaan. Dia meminta bantuan Amar yang kemudian mengikat Datuk Megat sehingga terpaksa menyerahkan Awin sebagai salah satu syarat perjanjian. Oleh kerana keadaan Datuk Megat begitu terdesak, maka Awin terpaksa berkahwin dengan Amar. Sikap penolakan Awin terhadap Amar sering mengakibatkan berlaku pertengkaran antara mereka. Sifat Amar yang garang ini adalah disebabkan dia sering menyembunyikan penyakit kroniknya.
Amar merancang untuk menyelamatkan Awin selepas kematiannya nanti dan mendapati Reduan adalah calon yang sesuai. Dia mengatur pertemuan antara Reduan dan Awin. Tetapi apabila dia mengetahui bahawa mereka adalah sepasang kekasih lama, Amar cemburu dan cuba memisahkannya pula dengan menuduh yang bukan-bukan terhadap Reduan. Malah dia mahu menyaman Reduan sehingga satu juta ringgit atas kesalahan yang diada-adakan oleh Amar.
Pertengkaran antara Amar dan Awin mengakibatkan Amar nazak di hospital. Dia perlukan penderma hati. Semasa itu, ibu Amar yang telah terpisah selama 20 tahun lalu diketemui. Dan, darinya juga diketahui bahawa Reduan adalah adik Amar sendiri.
Walaupun Reduan kecewa, tetapi dia tidak mahu kehilangan abangnya sekali lagi. Dia menderma setengah hatinya kepada Amar. Sungguhpun, penderma hati tersebut dirahsiakan, Awin mengetahui bahawa hati Amar sekarang adalah daripada sekeping hati Reduan.
Lalu adakah Awin akan meneruskan hubungan suami isteri yang dibinanya bersama Amar? Atau dia berubah fikiran untuk meninggalkan Amar untuk hidup bersama Reduan atas keikhlasan pemuda itu yang sudi berkorban demi kebahagiaan saudara kandungnya sendiri itu?
Usah ketinggalan menyaksikan kesudahan drama sarat pengajaran ini yang menemui penonton 10 Julai 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang di TV1.