SEMUA ORANG ADA SESUATU YANG DISEMBUNYIKAN SUNDANCE CHANNEL MELANCARKAN MUSIM KEDUA
DRAMA MAD MEN, YANG PERNAH MEMENANGI ANUGERAH PADA 25 OKTOBER
Mad Men, drama seksi, dengan gaya tersendiri serta provokatif yang telah meraih pelbagai anugerah, akan menayangkan episod sulung musim keduanya di Sundance Channel bermula 25 Oktober jam 10:00malam. Siri asal 13-episod ini yang merupakan hasil karya penerbit eksekutif yang pernah meraih anugerah Golden Globe® dan Emmy®, Matthew Weiner (“The Sopranos”), telah dinobatkan oleh para pengkritik sebagai salah satu siri TV terunggul yang pernah diterbitkan. Mad Men tersohor kerana kewibawaan karya dan persembahan dramatiknya, kejayaannya mempesona kritik dan penonton dengan penampilan gambaran masa lampau Amerika yang mampu memukau penonton hari ini.
Siaran perdana musim kedua Mad Men di Sundance Channel menegaskan komitmen rangkaian ini untuk menyampaikan program, filem dan paparan khas asal secara berani dan tanpa kompromi kepada khalayak penonton di Malaysia. Sundance Channel HD boleh dicapai melalui Astro b.yond di saluran 438.
“Mad Men telah berjaya menarik minat penonton di seluruh dunia yang terus menggemari kisah cabaran yang dihadapi di Madison Avenue sewaktu era Enam Puluhan,” jelas Weiner. “Saya amat bersyukur dan gembira bahawa siri ini mendapat tempat di hati penonton antarabangsa melalui Sundance Channel. Kami terus merasa berbesar hati dan bersyukur atas penerimaan para peminat di seluruh dunia.”
Weiner adalah penerbit eksekutif dan penulis siri ini, yang dibintangi oleh pemenang Anugerah Golden Globe, Jon Hamm (The Day the Earth Stood Still), Elisabeth Moss (“The West Wing”), Vincent Kartheiser (“Angel”), January Jones (Three Burials of Meliquiades Estrada), Christina Hendricks (“Kevin Hill”), dan John Slattery (Flags of Our Fathers), serta legenda pentas dan layar perak Robert Morse (How to Succeed in Business Without Really Trying), sebagai pelakun undangan. Mad Men turut dibintangi oleh Michael Gladis (“Third Watch”), Aaron Staton (August Rush), Rich Sommer (The Devil Wears Prada) dan Bryan Batt (Jeffrey).
Berlatarkan bandar raya New York pada awal 1960an, siri drama yang berani ini mengikuti perjalanan hidup lelaki dan wanita yang tidak kenal erti belas kasihan dalam dunia pengiklanan di Madison Avenue.
Pada akhir musim pertama, pengarah kreatif, Don Draper (Jon Hamm) telah diugut oleh Pete Campbell (Vincent Kartheiser), seorang akaun eksekutif muda yang bercita-cita tinggi, yang dengan ini telah membongkar identiti sebenar Don. Setelah membuat beberapa pembentangan yang hebat dengan menggunakan gambar keluarganya sendiri sewaktu mereka masih bahagia, Don kembali ke rumah yang sunyi sepi pada malam perayaan Thanksgiving pada tahun 1960. Setiausaha Don, Peggy (Elisabeth Moss), yang baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi pembantu penulis iklan (copywriter), berusaha sedaya upaya untuk membina masa depan yang cemerlang dalam firma ini.
Sementara itu dia mengabaikan perutnya yang semakin membuncit, sehinggalah dia mengalami kesakitan yang disangka senggugut biasa, namun sebenarnya ini merupakan petanda yang dia sendiri tidak duga, iaitu bahawa dia akan melahirkan anak. Masa depan agensi pengiklanan Sterling Cooper dan kakitangannya tidak menentu apabila calon presiden mereka, Richard Nixon, tewas dalam pilihan raya.
Dalam musim kedua, Mad Men akan terus menyamarkan lagi pemisah antara kebenaran dengan dusta, dan persepsi dengan realiti. Dunia mula mengorak langkah menuju arah yang baharu — bolehkah Sterling Cooper mengejarnya? Sementara itu, kehidupan Don Draper menjadi semakin rumit. Apa yang tergadai jika identiti rahsianya terbongkar?
Mad Men diterbitkan oleh Lionsgate. Scott Hornbacher (“The Sopranos”) menyertai Weiner sebagai penerbit eksekutif bersama, manakala Lisa Albert (“Becker”), Andre Jacquemetton dan Maria Jacquemetton sebagai penyelia penerbit. Marti Noxon (“Grey’s Anatomy”) dan David Isaacs (“Becker”) adalah penerbit rundingan. Dwayne Shattuck (“Hidden Palms”) dan Blake McCormick (“Swingtown”) adalah penerbit bersama, manakala Marcy Patterson (“Miss Guided”) pula sebagai penerbit bersekutu. Pemenang Anugerah Emmy, Chris Manley (“Prison Break”) adalah pengarah fotografi.
Pemenang Anugerah Emmy Dan Bishop (“Big Love”), yang telah memenangi anugerah Art Directors Guild untuk hasil kerjanya dalam Mad Men musim pertama, adalah pereka produksi, manakala pemenang Anugerah Emmy, Katherine Jane Bryant (“Deadwood”) adalah pereka kostum. Malcolm Jamieson adalah penyelia penyunting manakala Chris Nelson dan Cindy Mollo sebagai penyunting.
Perihal Sundance Channel
Saluran ini memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada misi pengasasnya Robert Redford untuk meraikan kreativiti. Sundance Channel merupakan destinasi televisyen bagi penonton yang berfikiran bebas yang mencari sesuatu kelainan. Berani, imaginatif dan tanpa kompromi, Sundance Channel menawarkan pilihan filem-filem, dokumentari dan program asal berkualiti tinggi yang pelbagai dan mampu menarik minat para penonton. Sundance Channel bukan sahaja tersebar luas di seluruh Amerika Utara, bahkan ia juga terdapat di seluruh Eropah dan Asia. Dimiliki oleh AMC Networks Inc., Sundance Channel adalah jenama yang amat mudah dikenali amat menarik minat dan disediakan dalam HD merentas berbilang platform.
Perihal AMC Networks Inc.
Sejak lebih 30 tahun yang lalu, usaha AMC tertumpu pada penerbitan kandungan program dan wayang. AMC Networks Inc. (NASDAQ: AMCX) memiliki dan mengendalikan beberapa jenama yang paling popular dan telah meraih anugerah dalam televisyen kabel. AMC, IFC, Sundance Channel, WE tv, dan IFC Films menerbitkan dan menyampaikan kandungan yang berbeza, menarik minat dan relevan dari sudut budaya, merentas berbilang platform, yang menarik perhatian penonton . Syarikat ini turut mengendalikan AMC/Sundance Channel Global, sebuah perniagaan pemprograman antarabangsa, dan AMC Networks Broadcasting & Technology, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penuh pengasalan pemprograman rangkaian dan pengedaran.