ANTARA PENGORBANAN SEORANG ANAK DAN KISAH TAUBAT & PENYESALAN…
Sejadah Kaabah & Utusan Illahi isi slot Cerekarama Mei ini
Selepas telemovie ”Dosa Siapa” yang ditayangkan pada 7 Mei lalu, nantikan pula giliran ”Sejadah Kaabah” dan ”Utusan Illahi” menemui penonton pada 14 & 21 Mei ini. Sarat dengan emosi dan teladan buat pengajaran untuk semua, pastinya dua telemovie ini bakal mengundang air mata para penggemar Cerekarama di TV3!
Mendapat sentuhan sutradara Bade Hj. Azmi terbitan Line Clear Production, “Sejadah Kaabah” mengisahkan tentang seorang ibu iaitu Lijah dan anaknya, Izah, yang berumur 10 tahun dalam mengharungi keperitan hidup apabila Lijah terpaksa menyara keluarga dengan hanya menjual nasi lemak di kaki lima dan mengambil upah menjahit di waktu malam. Cita-cita Lijah adalah untuk menunaikan umrah suatu hari nanti dan Izah cuba untuk menyempurnakan impian ibunya. Malangnya, gerai Lijah telah disita oleh DBKL kerana berniaga di kawasan larangan.
Walaupun tiada gerai sendiri, Izah tetap bersemangat menolong ibunya mencari rezeki dengan menjual nasi lemak menaiki basikal ke sekitar kawasan perumahan. Di sekolah, Cikgu Jamilah mengumumkan peraduan mengarang bertemakan ’Keluarga’ peringkat kebangsaan dan pemenangnya akan membawa pulang wang tunai lumayan iaitu RM5,000. Izah berhasrat untuk memasuki pertandingan tersebut. Di siang hari, Izah berbasikal menjual nasi lemak dan di malam hari pula, dia sibuk menyiapkan karangan, itulah rutin baru Izah.
Namun, malang tidak berbau apabila Izah ditimpa kemalangan dan terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Dapatkah Izah diselamatkan dan bagaimana dengan usaha menghantar ibunya ke Mekah? Bagaimana pula tentang pertandingan karangan yang disertai oleh Izah? Saksikan pengorbanan kanak-kanak berumur 10 tahun membantu ibunya di dalam ”Sejadah Kaabah” lakonan Sharifah Shahrizah, Eika Farhana, Esliza Loy, Hanis Kamal dan Noorkhiriah pada 14 Mei ini, jam 10.00malam.
Menyusul pada 21 Mei pula, di bawah arahan pengarah Haris Kadir terbitan A. Aida Production, ”Utusan Illahi” pula berkisar mengenai Iskandar yang dibesarkan dengan penuh kemewahan dan jauh tersasar dari landasan sebuah keluarga Islam. Ayahnya, Datuk Malek merupakan ahli perniagaan yang kaya raya. Iskandar dibesarkan bersama-sama ibu tirinya, Datin Haleeza dan adik tirinya, Daniel. Datin Haleeza sangat dengki kepada Iskandar dan sering menghasut Daniel agar membenci Iskandar. Iskandar pula hidup dalam dunianya sendiri. Dia berlagak baik di hadapan ayahnya tetapi tanpa pengetahuan ayahnya, Iskandar bersikap liar dan gemar berfoya-foya serta tanpa rasa bersalah meniduri pasangannya dan meninggalkan mereka begitu sahaja.
Dalam keadaan marah, Iskandar yang sedang bersama Kamelia memandu kereta dengan laju lalu hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan hinggakan meragut nyawa Kamelia manakala Iskandar koma. Ketika Iskandar tidak sedarkan diri, Iskandar seolah-olah merasa dirinya berdiri di antara dua garisan menuju alam kebaikan dan kejahatan. Pelbagai kejadian aneh dan mengerikan menimpa diri Iskandar membuatkan dia insaf. Sebaik sahaja Iskandar sedar dari koma, dia menunda pembedahannya dan mahu mengembara mencari semua wanita yang pernah dinodainya untuk memohon maaf.
Suatu hari, Iskandar berhenti di sebuah masjid di sebuah kampung dan di situ dia didatangi oleh Haji Fadzil dan cucunya, Sakinah. Siapakah mereka sebenarnya? Apa pula yang bakal berlaku kepada Iskandar? Saksikan lakonan hebat Nazim Othman, Fadhil Dani, Syukri Yahya, Che Kam, Aida Aris, Mak Jah, Abu Bakar Juah, Erin, Yasmin Hani dan Linda Hashim dalam “Utusan Illahi” pada 21 Mei ini, jam 10malam, hanya di TV3!