KHAS HARI IBU : SEHARUM AL-ZAHRA, DRAMA KISAH WANITA INGINKAN ANAK DI TV1
Kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi kini. Hilang sudah romansa kasih sayang antara si ibu terhadap anak yang telah dikandung selama sembilan bulan apabila si ibu sanggup merenggut nyawa bayi yang tidak berdosa. Sudahlah menanggung dosa melahirkan anak luar nikah, kemudian ditambah dengan dosa membunuh zuriat sendiri yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya.
Berbeza pula dengan wanita yang begitu menginginkan zuriat sendiri dalam perkahwinannya namun masih belum dikurniakan rezeki. Perasaan ingin menjadi seorang ibu begitu menebal apatahlagi setelah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga bersama pemuda pilihan hati tidak dikurniakan cahayamata sebagai pelengkap rumahtangga.
Cuba mendasari hati seorang wanita yang mengalami situasi sama, sempena Hari Ibu yang bakal diraikan 9 Mei ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengetengahkan drama menarik bertajuk Seharum Al-Zahra pada 7 Mei 2010 (Jumaat), jam 10.31 pagi dalam slot Nurani di TV1.
Dijayakan wataknya oleh pelakon-pelakon terkenal tanahair termasuklah Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Elly Mazlin, Maimon Mutalib, Ghazali Abu Noh, Ani Mahyuni dan Aripah Damanhuri, plot cerita bermula dengan watak Zahra, 27 tahun, seorang gadis Melayu berperwatakan lemah lembut, berbudi bahasa, kuat bekerja, penyayang dan mementingkan keterampilan dan penjagaan diri.
Zahra adalah seorang pengurus di “organisasi “non-profit” yang menawarkan bantuan kemanusiaan di pelbagai negara yang menghadapi masalah, terutama yang melibatkan wanita, warga tua dan kanak-kanak.
Dia telah berkahwin dengan Arman selama lebih enam tahun namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan cahaya mata, namun gagal kerana ianya berpunca dari Zahra. Habibah, ibu kepada Arman merasa tertekan kerana dia terlalu inginkan zuriatnya berkembang. Arman adalah anak tunggal.
Pada peringkat awal, Gunawan, ayah Arman tidak begitu hairan dengan desakan isterinya tentang cucu. Namun setelah mendengar beberapa kisah rakan seperjuangannya tentang perniagaan mereka yang terpaksa dijual kerana mereka tidak punya waris, Gunawan mula berfikir tentang masa depan syarikat perkapalannya, walau tidak besar, namun syarikat tersebut dibina atas titik peluhnya sendiri. Tentu ia punya nilai nostalgik yang perlu dipertahankan Arman.
Peluang mendatang, Rokiah yang baru melahirkan anak dan tidak mampu untuk menanggung anaknya setelah baru kematian suami kerana kemalangan jalanraya, begitu menggembirakan mereka. Rokiah yang menghadapi masalah “postportem psikosis” telah menyerahkan anaknya pada Zahra. Mereka gembira dengan “kurniaan” tanpa diduga itu. Mereka menamakan bayi lelaki tersebut dengan nama “Hadi”.
Arman juga tertekan dengan keadaan. Baginya tiada siapa yang lebih layak berada di sisinya selain Zahra. Zahra isteri mithali yang tiada bandingannya. Namun benar juga kata ibu dan ayah tentang zuriat, tentang masa depan waris syarikat.
Di tempat Zahra bekerja, ada seorang pembantu baru yang sungguh periang dan penyayang, bernama Jasmin. Zahra dan Jasmin punya keserasian kerana kedua mereka belajar di Universiti yang sama. Masing-masing hidup mewah kerana Zahra bersuami kaya, dan Jasmin mewarisi harta peninggalan datuknya. Namun ini tidak menghalang mereka untuk turun padang membantu mereka yang memerlukan.
Jasmin masih belum berpunya kerana dia tidak bersosial, masanya banyak di habiskan di organisasi mereka. Jasmin juga sering membantu menjaga Hadi. Malah Hadi lebih selesa di bawah jagaan Jasmin berbanding Habibah.
Namun rezki tidak menyebelahi mereka kerana setelah habis tempoh berpantang, Rokiah rasa bersalah kerana melepaskan anaknya pada orang lain lalu nekad membawa lari Hadi kembali ke pangkuannya. Zahra terpaksa reda dengan ketentuan Allah. Dia bertekad bersama Arman untuk meneruskan hidup sebaik mungkin.
Keadaan reda sebentar, namun akhirnya persoalan anak kembali menyelubungi keluarga ini. Zahra mempertemukan Jasmin pada Arman ketika mereka berkhemah di tepi sungai namun Jasmin menganggap Arman seperti abangnya, begitu juga sebaliknya. Zahra dapat merasakan dia jua bertanggungjawab untuk menyenangkan hati semua pihak. Dia mencadangkan Arman berkahwin dengan Jasmin.
Namun berlaku konflik dalam diri Zahra setelah Jasmin disahkan mengandung. Zahra semakin merasa terpinggir dengan layanan diterima madunya itu. Lalu bagaimanakah kesudahan konflik kekeluargaan ini? Saksikan babak penyudahnya dengan menyaksikan Seharum Al-Zahra pada 7 Mei 2010 (Jumaat), jam 10.31 pagi dalam slot Nurani di TV1.