Namun realitinya harta dan kemewahan bukanlah segala-galanya. Terutamanya bila sejak kecil jiwa si anak yang hidup serba sederhana tumbuh mekar dengan dibajai kasih sayang seorang digelar ibu. Si anak membawa bersama perasaan kasih sayang dan perhatian diberikan seorang ibu tidak mampu ditukar dengan wang.
Kisah menyayat hati ini melatari drama kekeluargaan bertajuk “Satu Hari Di Bulan Februari” arahan Khairul Anuar Mat Noor, terbitan produksi Cinta Kasih Production mengisi slot kegemaran ramai, Panggung RTM. Menampilkan lakonan mantap gandingan dua figura pelakon Sazzy Falak dan Aida Aris yang membawakan watak seorang ibu tertukar anak kandung mereka setelah dilahirkan.
Disiarkan pada 11 Februari ini, pukul 9.00 malam di TV1, ia turut menampilkan pelakon termasuklah Esma Daniel, Geof Andre Feyaets, Fifi Laura Olivia, Heidi Aleesya, dan Aidit Noh.
Perjalanan ceritanya tentang dua wanita iaitu Aminah dan Liz yang terpaksa berdepan dengan dilema berpisah dengan anak masing-masing, Kasih dan Mia. Kejadian yang tidak terduga itu disebabkan anak yang dibela sejak tujuh tahun yang lalu tertukar ketika dilahirkan.
Lalu kedua-dua dibesarkan tanpa mengetahui situasi sebenar yang hakikatnya mereka telah tertukar dengan ibu kandung masing-masing. Situasi persekitaran dan cara hidup mereka membesar cukup berbeza bagai langit dan bumi.
Liz merupakan seorang wanita bekerjaya manakala Aminah pula mengumpul pendapatan dengan menjual nasi lemak. Justeru Mia yang tinggal dibawah jagaan Liz hidup mewah dan serba cukup. Manakala Kasih pula membesar dengan sekadar cukup makan dan sekolah.
Takdir kemudiannya menentukan kebenaran terbongkar. Mereka dikembalikan kepada keluarga masing-masing. Namun konflik keduanya bermula apabila Liz tidak mahu anak jagaannya Mia hidup susah setelah diserahkan kepada Aminah. Dia berhasrat untuk menjaga Kasih dan Mia.
Perbalahan antara Aminah dan Liz berakhir dengan keputusan mahkamah bahawa anak-anak ini perlu diserahkan kepada ibu kandung masing-masing. Mia mula menerima Aminah sebagai ibu kandung akan tetapi Kasih sering menangis kerana kesibukan Liz dan suaminya, Henry. Lalu apakah kesudahan plot kisah hidup mereka?