in

Drama Rendang Ayang Pencen

DRAMA BERSIRI KOMEDI RAYA : RENDANG AYAM PENCEN DI TV2

Dalam kemeriahan Syawal tidak lengkap kiranya tanpa diceriakan dengan program-program yang mengajak penonton bergelak ketawa. Apatahlagi dengan kemunculan pelakon-pelakon yang sinonim dengan lapangan komedi yang mampu menghiburkan penonton dengan senda dan lawak mereka.

Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton bergelak ketawa menyaksikan drama rantai tiga episod berturut-turut sepanjang Aidilfitri ini bertajuk Rendang Ayam Pencen pada 10 hingga 12 September 2010, jam 5.30 petang di TV2.

Rendang Ayam Pencen lakonan lakonan Jalil Hamid, Rosnah Mat Aris, Mohamed Zulkefli (Kefli AF), Elliza Abd, Razak (Elliza AF), Chef Ismail Ahmad, Ramasundran dan Mandy Choong berlegar kisah berlaku pada pagi syawal disambut meriah oleh seluruh umat Islam tetapi tidak pada Mak Wani. Manakan tidak Jago ayam jantan kesayangan Pak Wan jiran sebelah rumahnya telah meranapkan rendang ayam turki yang merupakan resepi hebat Mak Wani setiap tahun.

Pagi itu Mak Wani hilang sabar,kecoh dibuatnya sehinggakan jiran-jiran terasa tempias bahang amukan Mak Wani. Pak Wan mula rasa tak sedap hati sementara jiran tetangga mula menyalahkannya. Hari itu ramai yang kecewa kerana tidak dapat merasa resepi istimewa Mak Wani.

Apa yang amat kecewa Mak Wani kerana pada hari raya ke 2 itu dia telah menjemput seseorang yang ‘istimewa’ dan rendang ayam turki itulah menjadi hidangan istimewanya. ’Nasi dah jadi bubur’ itulah ungkapan Nani anak gadisnya bagi memujuk radang hatinya itu. Mak Wani tertekan dan mula bertindak nekad, dia mengupah Bujal untuk menangkap Jago. Pak Wan diugut…Jago akan disembelih jika Pak Wan tak dapat mengantikannya dengan ayam turki. Pak Wan panik dimana pulak dia nak mencari ayam turki disaat semua pasaraya ditutup.

Mau tak mau terpaksa juga Pak Wan cuba mencari ayam turki demi menyelamatkan Jago. Pak Wan bersama Irman anak lelakinya memulakan misi pencarian. Hampir saja mereka berputus asa, Imran mencadangkan supaya ayam turki digantikan ayam daging biasa. Mereka mengejar lori Ah Seng penjual ayam.

Pada mulanya Ah Seng menyangka mereka berdua adalah penyamun yang hendak merompaknya maklumlah dimusim-musim raya selalu sangat dia mendengar kes rompakan dan ragut. Babak kejar mengejar berlaku dan ini menarik perhatian peronda polis. Mereka ditahan tapi akhirnya dilepaskan bila sedar berlaku salah faham. Ah Seng bersimpati dan kali ini dia pula membantu cuba mencari stok ayam dari kenalan-kenalannya.

Misi mereka gagal, mau tak mau Pak Wan terpaksa berbohong bahawa ayam pencen (ayam telur) dikatakannya ayam kampung. Mak Wani berkeras dengan keputusannya untuk menyembelih Jago demi memuaskan hatinya itu. Malangnya Jago telah terlebih dahulu dilepaskan Nani kerana rasa kesian.

Mak Wani merajuk dan terpaksa pula Nani memujuknya. Nani meminta bantuan Pak Wan dan Imran buat sesuatu untuk memulihkan resah ibunya itu bagi menyambut tetamu ‘istimewa’nya esok. Mak Wani terus berahsia siapakah tetamu istimewa yang dimaksudkannya itu.

Pak Wan mendapat idea namun ideanya diragui oleh Imran anaknya sendiri. Pak Wan mula mencari buku resepi masakan rahsia keluarganya. Malangnya buku tersebut telah dibuang Imran kerana menyangka buku hutang lapuk bapanya.

Pagi itu betul-betul membuat Mak Wani resah dan mula berharap supaya tetamu ‘istimewanya’ tidak dapat datang namun ianya berlaku di sebaliknya. Jiran tetangga terkedu, rupa-rupanya tetamu isitimewa yang dimaksudkan oleh Mak Wani ialah merupakan seorang chef masakan terkenal Malaysia. Sedarlah kini Nani betapa hati ibunya itu kecewa dan betapa penting hari itu kepada ibunya yang sememangnya meminati chef tersebut serta menjadikannya sebagai idola.

Mak Wani terpaksa berterus terang bahawa dia gagal untuk menyediakan hidangan istimewanya seperti yang telah dijanjikan itu. Dalam keadaan suram Pak Wan pula terketar-ketar menyuruh Imran menghantar rendang ayam pencennya kepada Mak Wani. Mak Wani menolak mentah-mentah pemberian Pak Wan. Kekecohan tersebut menarik perhatian chef tersebut, chef sudi merasa rendang tersebut bila diterangkan itu adalah rendang ayam kampong tambahan lagi lemang dan ketupat Mak Wani sememangnya tiada berlauk. Pak Wan kecut perut duduk didalam rumah, berdoa agar Mak Wani tak melenting marah.

Malam itu rumah Mak Wani dimasuki pencuri. Habis wang simpanan juga barang kemas milik Mak Wani di’kebas’. Mak Wani dan Nani telah diikat. Namun ketika pencuri cuba meloloskan diri, mereka telah terlanggar Jago. Jago buat kecoh dan pencuri mula panik (beberapa adegan lucu berlaku umpamanya pencuri yang panik turut sama berkokok dalam usaha mereka mendiamkan Jago). Kekecohan itu telah mengejutkan semua dan akhirnya pencuri berjaya diberkas oleh Pak Wan.

Diakhir cerita Mak Wani mendapat panggilan telefon daripada chef tersebut yang ingin meminta resepi rendang ayam turki bersama rendang ayam pencen Pak Wan untuk dimuatkan ke dalam buku masakannya yang terbaru.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Sosilawati Lawiya Dibunuh Kejam

Nash Terkejut Sosilawati Dibunuh