Drama bersiri ‘Ratu Ten Pin’ ialah sebuah naskhah asal yang mengetengahkan penceritaan bertemakan sukan boling terbitan syarikat produksi JS Pictures Sdn. Bhd. Drama 16 episod ini turut mendapat sentuhan Azman Yahya atau lebih sinonim dengan panggilan Jinggo selaku pengarah serta Rozse Faisal dan Chinta Adeesha selaku penulis skrip.
Drama ‘Ratu Ten Pin’ menampilkan Elisya Sandha, Syaidatul Afifah dan Fify Azmi selaku teraju utama. Antara nama-nama besar lain yang membintangi drama menarik ini termasuklah Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati.
Lebih istimewa lagi, ratu tenpin boling negara yang juga merupakan bekas juara dunia, Shalin Zulkifli turut dilantik sebagai penasihat teknikal untuk drama ini agar dapat berkongsi kepakaran sekaligus memberi informasi yang lebih tepat berkenaan teknik sukan boling.
Drama ‘Ratu Ten Pin’ akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 28 Jun 2021 secaraeksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria berkata,
“Selepas berakhirnya drama ‘Scammer’ yang baru sahaja tamat minggu lalu, kami sekali lagi cuba lari daripada kebiasaan dan memilih untuk mengangkat genre sukan kepada audiens kami sebagai subjek utama intipati penceritaan naskhah pada kali ini.
Walaupun genre sebegini mungkin jarang kami pertontonkan, namun ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dan dilihat mampu menarik minat peminat drama Melayu tempatan khususnya. Acara sukan dan program hiburan sebenarnya mempunyai elemen persamaan iaitu kedua-duanya bukan sekadar untuk dinikmati atau ditonton bersama tetapi ia juga bersifat sebagai ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat.
Penceritaan drama ‘Ratu Ten Pin’ banyak menyuntik nilai-nilai murni untuk memberi inspirasi kepada kita semua terutamanya berkenaan semangat kesukanan, perjuangan, persahabatan, kecekalan dan sebagainya dalam bentuk hiburan santai.
Tahniah saya ucapkan kepada Jinggo selaku pengarah dan keseluruhan team produksi kerana berjaya merealisasikan drama ini menerusi penceritaan yang kreatif dan di luar kotak. Semoga drama ini sekali lagi mengulangi kejayaan drama-drama sebelum ini sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri. Semoga terhibur!”.
Jinggo, Pengarah Drama ‘Ratu Ten Pin‘ berkata,
“Secara keseluruhannya, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan pelakon yang terlibat kerana kesemua mereka telahpun memberikan kerjasama yang sepenuhnya sepanjang proses penggambaran berlangsung.
Proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah mudah. Tumpuan atau penekanan penuh perlu diberikan untuk setiap babak yang ingin dihasilkan kerana ia melibatkan sesuatu yang di luar konteks. Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar sebagai pengarah. Bukan itu sahaja, cabaran untuk menjadikan seorang atlet kepada seorang pelakon dan sebaliknya juga merupakan sebuah kejayaan yang tidak sangka dapat dilakukan dalam tempoh masa cuma sebulan.
Bagi mendapatkan ‘feel’ sebenar, kami turut membawa masuk khidmat atlet luar biasa bertaraf dunia untuk sukan boling iaitu Shalin Zulkifli untuk membantu kami daripada segi teknikal. Kami juga turut mendapatkan bimbingan pasukan bowling yang sebenar untuk melatih barisan pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak Nampak seperti dibuat-buat.
Pengalaman menyiapkan drama ‘Ratu Ten Pin’ sewaktu pandemik melanda cukup manis dan berharga terutamanya apabila urusan kami turut dipermudahkan. Kami juga amat bernasib baik kerana aktiviti penggambaran untuk drama ini telahpun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat.”
TRIVIA DRAMA ‘RATU TEN PIN’
- Penggambaran drama ‘Ratu Ten Pin’ mengambil masa 45 hari untuk diselesaikan di sekitar Kuala Lumpur dan Rembau.
- Drama ‘Ratu Ten Pin’ juga turut dilatari dengan single ‘Kuasa Juara’ dendangan KRU sebagai runut bunyi. Lebih manis lagi, lagu tersebut juga merupakan lagu tema yang dipilih bagi membakar semangat kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-28 di Singapura sekitar tahun 2015.
- Shalin Zulkifli yang merupakan penasihat untuk drama ini turut berada di set sepanjang penggambaran berlangsung untuk memberi tunjuk ajar dan memantau barisan peserta daripada segi teknikal yang melibatkan cara bermain boling.
- Menerusi drama ‘Ratu Ten Pin’, pelakon Elisya Sandha yang membawakan watak Norma, seorang pemain boling kebangsaan yang handal. Namun secara realiti, Elisya sebenarnya tidak pandai bermain boling dan baru sahaja belajar bermain untuk menjayakan drama tersebut. Pada awalnya, beliau tidak berapa gemar sukan tersebut tetapi setelah menjalani latihan demi latihan, minat tersebut tiba-tiba datang kerana Elisya sudah dapat menguasai skil dan teknik yang betul.
- Walaupun karakter Norma merupakan seorang yang ringkas, ia merupakan cabaran buat Elisya untuk mewarnai watak tersebut dengan caranya yang tersendiri. Beliau juga turut mengambil masa tiga bulan untuk membuat persediaan rapi termasuklah mengambil alternatif mencari jurulatih peribadi serta melakukan kajian dan penyelidikan untuk memantapkan pembinaan watak.
- Bagi memberikan kelainan daripada segi penampilan, Elisya sanggup memotong pendek rambutnya untuk menjayakan watak dalam drama ini.
- Walaupun Jinggo dan Sheila Rusly merupakan bakal mentuanya, Elisya tidak pernah diberikan sebarang layanan istimewa dan sering ditegur sekiranya melakukan kesilapan di set.
- Manakala pengalaman Syaidatul Afifah yang membawakan watak Sandra pula agak berbeza dengan Elisya. Ini merupakan drama pertama lakonan Syaidatul selepas beliau meninggalkan skuad kebangsaan tahun lalu setelah 11 tahun mengharumkan negara dan menyumbang pingat kepada negara dalam acara sukan boling.
- Menurut Syaidatul, tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan selepas bersara daripada sukan boling. Segalanya bermula apabila Sheila Rusly menghantarkan mesej menerusi laman Instagram untuk menawarkan watak utama kepadanya dalam drama ‘Ratu Ten Pin’.
- Walaupun dalam drama ini watak Sandra yang dilakonkan oleh Syaidatul adalah sebagai seorang atlet sukan boling, namun ia masih merupakan sebuah cabaran yang besar kepadanya kerana ia bukanlah karakternya yang sebenar. Beliau juga turut menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana berkesempatan untuk mendapatkan tunjuk ajar dan ilmu mengenai selok belok dunia lakonan daripada barisan pelakon dan pengarah yang amat berpengalaman sewaktu di set.
- Dalam masa yang sama, Syaidatul juga turut turun padang untuk melatih barisan pelakon yang lain berkenaan sukan boling sebelum penggambaran dijalankan.
- Ini merupakan kali pertama pelakon Fify Azmi yang membawakan watak Reezs bekerjasama dengan produksi JS Pictures. Buat Fify pula, watak Reezs merupakan sebuah karakter yang berat kerana secara realitinya dia bukan seorang yang berperwatakan tomboy ataupun kasar. Cabaran untuk membawakan watak sebegitu sehingga habis penggambaran bukanlah sesuatu yang mudah. Fify turut terbawa-bawa karakter tersebut sehingga terbabit dalam sebuah kemalangan ketika mahu ke tempat penggambaran.
PECAHAN WATAK ‘RATU TEN PIN’
ELISYA SANDHA sebagai Norma
SYAIDATUL AFIFAH sebagai Sandra
FIFY AZMI sebagai Reezs
HAZEEQ DEAN sebagai Khalid
NAZIM OTHMAN sebagai Arief
SHEILA RUSLY sebagai Maria
NASZ SALLY sebagai Nurin
EIZLAN YUSOF sebagai Dato’ Idris
ALEEZA KASIM sebagai Datin Marissa
ESMA DANIEL sebagai Razak
LISDAWATI sebagai Maznah
Drama ‘Ratu Ten Pin’ mengisahkan tentang tiga wanita muda yang berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, mengejar gelaran Ratu Tenpin Negara.
Walaupun datang dari keluarga berpendapatan rendah, zaman kanak-kanak Norma penuh dengan botol kaca kosong dan buah kelapa yang dijadikan sebagai alat permainan boling. Disebabkan selalu dan pandai bermain boling, dia dikenali sebagai pemain boling yang sangat berbakat di kalangan kawan-kawannya di kampung. Apabila sudah dewasa, dia berpindah ke Kuala Lumpur bersama sahabat baiknya dan mula bekerja untuk membantu keluarga dalam menampung perbelanjaan di kampung. Nasib Norma berubah apabila dia menjejakkan kakinya buat pertama kali di pusat permainan boling.
Reesz yang datang dari keluarga sederhana, dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Sebagai anak perempuan bekas juara boling, Maznah menaruh harapan tinggi agar Reesz mengikuti jejak langkahnya. Namun, Reesz lebih berminat dalam bidang reka bentuk grafik dan permainan mudah alih.
Di rumah, Reesz berhadapan dengan keganasan rumah tangga apabila bapanya masih sukar untuk menerima hobi ibunya dalam sukan boling sehingga merasakan dirinya diabai. Pergaduhan itu berlarutan sehingga melibatkan penderaan fizikal. Reesz membuat keputusan untuk belajar bermain boling untuk menggembirakan ibunya.
Dilatih secara professional, Sandra mempunyai pengalaman yang paling banyak di antara mereka bertiga dan pernah memenangi kejohanan boling bawah umur peringkat kebangsaan. Dibesarkan dalam gaya hidup serba mewah, dia sudah terbiasa untuk mendapatkan apa yang dia inginkan.
Dia merasakan yang dia berhak dipilih untuk skuad kebangsaan boling walaupun prestasinya tidak konsisten. Sikap dan agendanya yang tersembunyi ini boleh menjadi halangan untuk merosakkan prestasinya dalam skuad kebangsaan boling nanti.
Untuk memenangi gelaran “Ratu Ten Pin Negara” bukan lah sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan. Ketiga-tiga wanita muda itu bertanding walaupun terpaksa berhadapan dengan konflik sendiri dalam masa yang sama.