Drama “Ramadan Jangan Ambil Nyawaku†yang menampilkan lakonan berkesan Amar Baharin, Tasha Shila, Fadilah Mansor, Khairil Anwar, Allana Amir dan Afiq Hussain antara drama menarik yang menjadi pilihan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menemui penonton setia salurannya pada 19 Julai 2013, jam 10.30 pagi mengisi slot Nurani di TV1 pada bulan Ramadan ini.
Berlatarkan situasi yang berlaku dalam bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan, drama ini berkongsi plot kisah watak kewibawaan Johari dalam korporat memang tak dinafikan lagi, kerana dalam usia yang masih muda Johari sudah berdiri sebaris dengan tokoh korporat terkenal lain. Beruntung baginya kerana arwah ayahnya, Dato Haris tinggalkan dia empayar perniagaan yang sudah stabil. Johari pula berusaha keras meluaskan lagi empayar perniagaannya hingga ke luar negara.
[pullquote align=”right”]Drama “Ramadan Jangan Ambil Nyawaku†Kisah Peluang Kedua Untuk Bertaubat pada 19 Julai 2013, jam 10.30 pagi mengisi slot Nurani di TV1[/pullquote]
Kerana nikmat diulit kemewahan jugalah menyebabkan Johari tak tahan dengan perkahwinannya dan bercerai. Sebagai duda kaya, berpangkat, agak kacak, pandai bermain kata, pastinya Johari menjadi rebutan ramai wanita dan Johari senang begitu. Dia mudah bertukar ganti wanita dalam hidupnya.
Namun satu hari, semua kemewahan, semua kenikmatan duniawi itu bagaikan terbang menghilang bila Johari disahkan hanya mampu hidup selama dua bulan saja lagi kerana tumor otak peringkat kritikal. Dunia Johari gelap seketika. Johari mengamuk dan trauma. Hanya pemandu dan pembantu rumahnya, Sudin dan isterinya, Liza membantu Johari. Kawan Johari, Rizal menggalakkan agar Johari habiskan masanya dengan menikmati syurga dunia sementara masih berbaki sisa hidupnya. Namun seminggu Johari berfoya-foya, mabuk-mabuk tetapi Johari tetap akan menangis sendiri kerana takut menanti kematiannya yang bakal tiba.
Sudin nasihatkan agar bertaubat tapi kena marah semula. Johari yang tak terurus mula mimpi dia dikafankan dan kedatangan orang tua berjubah serta ibunya, Mariam. Johari mencari Mariam di kampung. Johari meminta ampun pada Mariam yang pernah dihalaunya dari hidupnya dulu kerana kesilapan Mariam yang dianggap curang pada ayahnya. Walhal semua itu salah faham. Mariam juga sering menegur perbuatannya membawa balik perempuan, menyebabkan Johari bertambah bengang dan tak teragak-agak menghalau Mariam.
Kedatangan Johari melutut padanya membuatkan Mariam pilu dan kecewa bila ingatkan semula tindakan Johari menghalaunya dulu. Mariam pada mulanya tak dapat menerima Johari, namun atas nasihat anak angkatnya, Lili, Mariam akhirnya mengampunkan Johari.
Johari mula menyesal kerana melarang bekas isterinya dulu ingin mengandung. Jika tidak, pasti dia sudah punya zuriat untuk mewarisi segala hartanya. Mariam nasihatkan Johari bertaubat nasuha dan mencadangkan agar Johari berkahwin segera untuk mendapatkan waris. Johari yang masih kecewa dan takut akan kematiannya, tak tahu nak buat apa. Johari tetap menyalahkan ayahnya kerana mewariskan dia penyakit barah padanya. Johari banyak menghabiskan masa di pantai dan menangis sendiri. Lili banyak memberi dorongan dan kata-kata yang menginsafkan. Akhirnya Johari bertaubat dengan bimbingan Ustaz Fadhil. Johari sudah mula berjinak-jinak dengan masjid, tambah lagi bulan penuh keberkatan itulah masa yang paling sesuai untuk bertaubat. Satu hari, Johari menyuarakan hasratnya untuk bernikah dan cuba menghasilkan zuriat.
Johari memilih Lili untuk melahirkan zuriat bersamanya kerana rasa terhutang budi dengan Lili. Lili terkesima. Dia tak cintakan Johari, malah benci dengan sikap Johari yang pada awal pertemuan dulu amat sombong dan riak. Namun Lili tak dapat menolak ketentuanNya dan rayuan Mariam yang mengambilnya dari rumah anak yatim dulu. Lili pasrah dan terpaksa berkorban demi lelaki yang baru dikenalinya, Johari.
Biarpun mungkin hanya seketika, Lili dan Johari cuba mengenali masing-masing dan menikmati hubungan suami isteri dengan seharmoni mungkin di kampung. Nyata, Johari tak pernah sebahagia itu. Dibelai wanita selembut Lili dan sentiasa tenang sujud dan beribadat dalam suasana aman. Lili mula cintakan Johari. Johari pula walaupun makin hari makin lemah dan selalu menangis menanti kematiannya, namun tenteram dengan Lili di sisi. Johari bermimpi lelaki jubah mengajaknya ke sebuah tempat yang indah dan nyaman.
Johari kemudian membawa Lili dan emaknya balik ke Kuala Lumpur. Keesokannya, selesai pemeriksaan, doktor meminta maaf kepada Johari. Lili mengenggam tangan Johari beri kekuatan kepada Johari yang lemah menanti keputusan doktor. Namun semuanya berubah apabila doktor meminta maaf kerana tersilap info. Sebenarnya ketika Johari menjalani pemeriksaan dua bulan lalu, mesin pengimbas di situ rosak. Dan semua pesakit yang diimbas dengan mesin rosak itu dikesan mempunyai tumor otak padahal tidak. Longlai lutut Johari mendengarnya dan menangis gembira. Lili dan Mariam menasihat Johari banyakkan bersedekah pada Ramadan itu kerana diberi peluang untuk hidup lagi oleh Allah. Johari hanya menurut.
Namun pegangan Johari mengamalkan ajaran Islam tergugat dengan kehadiran Rizal mengajaknya kembali berpoya-poya. Dia mula mengabaikan Lili dan Mariam hingga kedua insan yang banyak berbakti kepadanya itu memutuskan untuk pulang semula ke kampung dan meninggalkan Johari. Masihkah ada ruang keinsafan kedua buat Johari?