SLOT PINTU HIDAYAH MENGHIDANGKAN SELEKSI DRAMA TERBAIK SEPANJANG SEPTEMBER 2008 DI RTM1.
Sepanjang September ini, Slot Pintu Hidayah menghidangkan tiga buah drama dari seberang yang bisa mendidik umat Islam agar berpegang teguh kepada ajaran Islam dan juga mengamalkan budi pekerti yang luhur. Tiga drama ini diharap dapat membersihkan jiwa seterusnya menerbitkan rasa keinsafan di lubuk sanubari para penonton. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjanjikan kepada semua umat sejak azali lagi bahawa balasan pahala bagi mereka yang tidak jemu-jemu melakukan kebajikan. Begitu juga balasan dosa kepada mereka yang tidak serik-serik melakukan kejahatan.
Slot ‘Pintu Hidayah’ yang kebiasaannya akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 3.05 petang telah membariskan tiga drama yang sarat dengan mesej berguna buat tatapan anda semua. Antaranya, ‘Derita Kakakku Yang Stress’, ‘Hidayah Ramadan’ dan ‘Kisah Si Kikir dan Uang Sedekahnya’.
Tirai akan dibuka pada 12 September 2008 (Jumaat) menampilkan drama bertajuk ‘Derita Kakakku Yang Stress’. Drama ini mengisahkan tentang Chika yang berhadapan masalah akibat kakaknya yang mengalami masalah jiwa kerana tidak dapat meneruskan persekolahannya. Hinggakan Chika dilarang untuk berniaga di sebuah sekolah kerana kakaknya selalu membuat kacau di situ.
Chika berasa amat sedih melihat keadaan kakaknya itu. Gita merupakan seorang pelajar yang pintar tetapi dia mula berubah sejak kematian ayahnya manakala ibu mereka kerap sakit. Gita tertekan hingga mengalami tekanan perasaan yang agak kritikal.
Pada suatu hari Gita tersesat ke sebuah masjid. Di sana dia telah bertemu seorang ustaz . Ustaz tersebut tidak mengetahu asal-usul Gita lalu membawanya menetap di sebuah sekolah pondok dan merawatnya. Ustaz tersebut sedikit demi sedikit cuba menenangkan jiwa Gita. Akibat sering menghadiri kelas pengajian dan bergaul dengan pelajar sekolah pondok keadaan Gita sudah beransur pulih.
Lalu, ustaz membawa Gita pulang ke rumahnya. Ibunya juga Chika berasa amat gembira dengan perubahan positif yan berlaku pada Gita. Gita sudah bertudung dan ustaz menawarkannya bersekolah di sekolah pondok tanpa perlu membayar sebarang yuran.
Barisan pelakon hebat yang terlibat dalam drama ini adalah Alyssa Soebandono, Amanda, Hanna Hasyim dan Riyanto.
Menyusul pada 19 September 2008 (Jumaat) sebuah drama berjudul ‘Hidayah Ramadan’. Kisah ini menyenaraikan barisan pelakon seperti Alyssa Soebandono, Raya Kohandi, Eeng Saptahadi, Anna Pinem dan Rizal Djibran.
‘Hidayah Ramadan’ mengisahkan tentang Dana seorang anak gadis yang taat beribadah. Malangnya dia lahir di dalam sebuah keluarga yang tidak menekankan soal agama. Ayahnya, Ramli melarang Dana beribadat hingga dia mengarahkan adik Dana, Lia mengawasi perlakuan Dana. Dana turut dilarang berpuasa.
Namun begitu, Dana tidak mahu melanggar suruhan agama. Dia berpuasa dan mengerjakan solat tarawih secara sembunyi-sembunyi. Dana sering dihukum apabila ayahnya mendapati dia berpuasa. Ramli yang merupakan ketua di sebuah projek pembinaan dan mengamalkan rasuah.
Melabuhkan tirai pada 26 September 2008 sebuah drama bertajuk ‘Kisah Si Kikir Dan Uang Sedekahnya’. Sebuah drama yang menceritakan tentang Jupri, seorang orang kaya baru. Jupri yang merasakan dirinya anak yatim piatu, tiba-tiba mendapat wasiat dari ayah kandungnya yang baru saja meninggal dunia. Ibu bapanya bercerai sewaktu dia masih kecil lagi.
Sejak itu dia tinggal dengan ibunya sudah lama meninggal dunia. Selepas berpisah dengan ibunya, ayah Jupri berkahwin lagi dan memperolehi anak bersama isteri barunya. Namun begitu, dia mendapat semua anak perempuan memalui perkahwinannya yang baru. Oleh yang demikian, mengikut hukum Faraid Jupri layah mendapat dua bahagian dari peninggalan ayahnya. Malangnya, kekayaan yang dimiliki sekelip mata ternyata mengubah Jupri menjadi seorang yang amat kedekut.
Barisan pelakon yang menjayakan drama ini adalah Tarzan, Cici Tegal, Yanto Tampan, H. TB Maulana Husni, Anita Kusuma Dewi dan Dziqrul.
Pastikan anda tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menonton semua drama menarik dan bermanfaat yang disajikan khas untuk anda semua menerusi RTM1, Saluran Inforia Anda.Â