in ,

Drama Pesan Mak Lakonan Zizie Ezette, Faizal Yusop

KONGSI KISAH MENARIK ”PESAN MAK” DI TV2

“Kata mak, pilih yang cantik, pilih yang baik, bijak, pandai berdandan, pandai memasak dan anak dara.” Kata-kata itu menjadi pegangan watak Radzi dalam memilih jodoh yang dilakonkan oleh Rusdi Ramli mengisi plot drama Pesan Mak bergandingan dengan pelakon lain antaranya Faizal Yusop, Kartina Aziz, Zizie Ezette, Kismah Johar, Ropie Cecupak, Kencana Dewi dan Bustamam Harun yang bersiaran pada 13 November 2009 (Jumaat), jam 8.35 malam di TV2.

Lengkap dengan adegan suka, duka dan paling utama pengajaran yang berguna, Pesan Mak terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd berkongsi kisah Radzi kematian ibunya 15 tahun yang lalu. Tapi pesanan ibunya agar dia mencari isteri yang sesuai masih menghantui dirinya. Hingga umur Radzi hampir mencecah 40 tahun dia masih gagal mencari gadis seperti yang dipesan oleh ibunya. Dan pesan ibunya lagi, kalau lelaki tak berubah selepas umur 40 tahun dia akan kekal begitu selama-lamanya. Kenyataan itu membuatkan Radzi bingung apatahlagi umurnya bakal mencecah 40 tahun.

Radzi memiliki seorang sepupu merangkap pembantu peribadinya bernama Kamil. Kamil, anak yatim piatu sering melawat dan menjaga ibu Radzi. Kerana itu Kamil turut memainkan peranan mengingatkan Radzi tentang pesanan ibu Radzi. Seboleh-bolehnya Kamil turut mahu Radzi mencari isteri seperti yang dipesan oleh ibu Radzi. Sebenarnya Kamil turut bimbang kalau Radzi kahwin, Radzi akan mengetepikannya. Radzi juga ada seorang kawan perempuan yang dikenalinya sejak di sekolah menengah bernama Syira. Dua hari selepas berkahwin, Syira mengikuti suaminya ke luar negara. Radzi kehilangan kawan yang banyak memberikannya kegembiraan.

Radzi pulang ke kampung ketika bakal menyambut usianya yang ke 40 tahun. Sewaktu dia termenung di tangga rumah mengingati ibunya, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di laman rumah. Ketika itu Radzi benar-benar terperanjat bila melihat seorang perempuan cantik turun dari kereta.

Dalam terpinga-pinga Radzi disapa oleh perempuan itu. Rupa-rupanya perempuan itu adalah Syira yang sudah 5 tahun tidak ditemuinya. Syira sudah bertukar wajah. Dari gadis tak cantik bertukar sebaliknya. Setelah diselidiki barulah dia sedar rupanya Syira sudah menjanda. Radzi terus memberitahu Kamil yang dia mahu kahwin dengan Syira. Kamil mula panik.

Untuk mengetahui kesudahan pada penghujung drama ini, usah ketinggalan menyaksikan Pesan Mak pada 13 November 2009 (Jumaat), jam 8.35 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Hujan Mencari Konklusi di Live Centre KL

Audition ULTIMATE POWER GROUP Season 2