Dalam 13 episod terbitan Rd Pictures Sdn.Bhd arahan Mohamad Saridan Popeye ini, penonton dikongsikan dengan pelbagai kisah dalam dunia perubatan dan penyakit yang dihadapi dan cara menanganinya.
Menariknya, setiap episod akan menampilkan pelbagai topik berkenaan kesihatan dan juga situasi dengan dilakonkan oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air termasuklah Fauziah Nawi, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Zarina Zainuddin, Zamarul Hisham, Joey, Zizan Nin, Cat Farish, Puteri Sarah Liyana, Zarul Hussin dan Riena Diana.
Ia bermula dengan memaparkan konflik berlaku dalam watak Fauziah yang nekad untuk mengurniakan zuriat kepada suaminya, Herman. Walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko kesihatan disebabkan faktor usianya yang lanjut, segalanya sanggup dilakukan bagi menggembirakan hati suaminya itu.
Seterusnya kisah Fariz yang gemar bermain badminton telah mengalami kecederaan pada ligamen lengannya dalam sebuah pertandingan. Isterinya, Marliya lakonan Riena Diana yang taasub dengan rawatan tradisional, memaksa suaminya supaya diurut walaupun telah dinasihati oleh Dr.Syafiq supaya menghindarinya.
Ikuti juga cerita Rama yang sering tertekan kerana mengalami masalah mati pucuk. Walaupun acap kali didesak oleh isterinya, Kamala untuk berjumpa doktor, beliau tetap berdegil dan memilih untuk mengambil ubat yang tidak mendapat kelulusan pihak kesihatan sebagai jalan singkat.
Dilema turut dihadapi watak Dr. Michelle dan Dr. Fira. Dr. Fira yang disahkan menghadapi penyakit leukemia mengalami tekanan emosi tetap sentiasa diberi sokongan dan harapan dari sahabat baiknya. Keadaan mula menjadi kekok apabila Syamil, suami kepada Dr. Fira muncul.
Sama-sama ikuti paparan kisah pesakit bisul dalam episod seterusnya dimana Rizuan seorang pengarah tersohor, sering mengalami penyakit bisul kerana tidak mengutamakan kebersihan diri walaupun acap kali dinasihati oleh isterinya, Marisa. Dia beranggapan bahawa penyakit ini tidak serius. Rizuan juga malahan enggan merujuk kepada pihak kesihatan sehinggalah beliau terpaksa dikejarkan ke hospital.
Seterusnya perkongsian cerita watak utama Sofea yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita. Ia mengetengahkan masalah Sofea yang sedang hamil dilanda kemurungan akibat pengabaian suaminya, Zamri. Ia berlaku gara-gara Zamri termakan hasutan ibunya, Datin Azlina yang masih enggan menerima Sofea sebagai menantu. Lalu apakah kesudahannya?
Untuk mengetahui pelbagai lagi kisah yang dapat dijadikan teladan dan panduan bagi semua, luangkan masa menyaksikan program ini di saluran Okey. Bagi anda yang terlepas untuk menonton rancangan di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).