DRAMA PEREMPUAN TEMUI PENONTON KHAS HARI RTM KE-65 TAHUN PADA 1 APRIL INI
Drama Perempuan yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Drama TV Terbaik dan Anugerah Skrip Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) lalu dalam majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Februari lalu bakal menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pernah mengalahkan pesaing terdekat iaitu drama Sebelum Akhirat (TV3), Sekudus Doa Arisya (RTM – TV2), Denai Berbisik (Astro Prima) dan Anak-Anak Lorong (Astro Prima), telemovie yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Dira Abu Zahar, Syed Ali, Zoey Tan, Tony Eusoff, Syed Aiman, Rozie Rashid, Azri Iskandar, Khatijah Tan dan Zila Bakarin ini disiarkan sempena meraikan sambutan Hari RTM ke-65 pada 1 April depan, jam 1.30 petang menerusi TV2.
Drama arahan Mohd Fahmi Sarindi ini mengisahkan tentang dua perempuan yang mempunyai latar belakang kehidupan berbeza, berlainan agama dan dugaan dalam hidup mereka. Dua perempuan ini telah dipertemukan dalam ruang perasaan secara rohani, namun tidak pernah bersua secara nyata. Dua perempuan ini pada hakikatnya ingin mencari bahagia dalam kehidupan masing-masing.
Namun, Ramadan tahun itu memberi hidayah serta petunjuk kepada mereka. Pengalaman yang dilalui selama ini telah menjadi pengajaran bagi dua perempuan ini.
Apakah pengalaman lalu benar-benar akan merubah hidup dua perempuan ini? Kehadiran Syawal begitu dinantikan oleh dua perempuan ini dan Syawal sebagai hari kemenangan telah mengubah hakikat diri mereka berdua secara keseluruhan. Satu perubahan yang diredhai, yang diserikan oleh hidayah dari Allah pastinya diinginkan oleh mereka.
Jangan lepaskan peluang menonton kesudahan drama ini yang pasti akan meruntun jiwa anda. Ikuti drama khas disiarkan meraikan sambutan ulangtahun ke-65 RTM ini yang bersiaran pada hari Jumaat, 01 April 2011, jam 1.30 petang di TV2.