in

Drama Parut Asyikin Lakonan Erra Fazira & Eman Manan

Selepas kejayaan telefilem Sanggul Beracun di Anugerah Skrin 2011 baru-baru ini melalui anugerah Drama Terbaik; Skrip Terbaik; Videografi Terbaik dan Pengarah Terbaik, Balang Rimbun Sdn Bhd sekali lagi mempertaruhkan sebuah lagi karya yang dijangka mampu diangkat ke tahap yang lebih membanggakan; PARUT ASHIKIN arahan Sabri Yunus yang akan bersiaran menerusi slot Blockbuster Ahad di saluran Astro Citra (saluran 131) pada 17 Jun ini, mulai jam 10 malam.

Istimewanya, karya ini juga akan bersiaran secara serentak di saluran definisi tinggi Mustika HD (saluran 134).

Drama Parut Asyikin Lakonan Erra Fazira & Eman Manan

Karya hebat ini menggandingkan pelakon hebat Eman Manan dengan primadona filem Melayu Erra Fazira buat kali pertama selain dibantu oleh Haryanto, Along Ezendy, Bohari Ibrahim dan Liza Abdullah.

SINOPSIS DRAMA Parut Asyikin

Parut Ashikin mengisahkan percintaan antara Muas lakonan Eman dan wanita muda bernama Ashikin (Erra). Tanpa pengetahuan Ashikin, Muas menyimpan satu rahsia besar yang sangat dikesalinya.

Ketika muda, Muas dan sahabat karibnya, Lazim (Bohari) bersembunyi dalam rumah bagi mengelakkan ditangkap penduduk kampung.

Mereka membunuh pemilik rumah itu dan ketika menguruskan mayat, ada wanita yang menunggu masa melahirkan bayi dalam kandungan menjerit di muka pintu. Wanita itu terkejut melihat kehadiran dua lelaki tidak dikenali menguruskan mayat suaminya.

Muas sedar sampai masa wanita itu bersalin dan membantu wanita itu biarpun ditegah Lazim. Muas memenuhi permintaan wanita itu supaya mengiqamatkan bayi yang dilahirkan.

Ketika itu Muas terdengar bisikan supaya melakukannya dengan ikhlas kerana bayi itu adalah jodohnya. Selesai memenuhi permintaan itu, dia terdengar lagi bisikan supaya menjaga anak itu dengan baik kerana kematiannya nanti berpunca daripada gigitan labah-labah hutan.

Muas tiba-tiba naik angin lalu mengambil kerambit dan mengelar bayi itu. Orang ramai yang mendengar jeritan menerpa ke rumah itu. Muas berjaya melepaskan diri, tetapi Lazim berjaya ditangkap.

Selain Parut Ashikin, Balang Rimbun yang ditubuhkan Syahid Johan, Sabri Yunus dan Wahab Hamzah kini rancak menyiapkan siri Mind Your Arabic Language serta Hari Hari Terakhir Seorang Seniman.

KEJAYAAN telefilem Sanggul Beracun terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd menggondol trofi Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik dan Videografi Terbaik dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) membuka mata orang ramai terhadap kreativiti pelakon, pelawak dan pengarah, Sabri Yunus dalam penghasilan karya bermutu.

Terbaru, anak jati Pantai Timur ini mempertaruhkan satu lagi telefilem yang dijangka mampu mengangkat namanya serta barisan pelakon ke tahap lebih membanggakan.

Karya berjudul Parut Ashikin yang akan bersiaran di Astro Citra pada 17 Jun ini, jam 10 malam, menggandingkan pelakon hebat, Eman Manan dengan primadona alaf baru filem Melayu, Erra Fazira buat kali pertama. Pelakon lain, Haryanto, Along Ezendy, Bohari Ibrahim dan Liza Abdullah.

Biarpun pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, Erra gementar apabila digandingkan dengan Eman sebagai pasangan suami isteri. Tidak dinafikan, sudah lama dia teringin beraksi di samping Eman tetapi apabila bersua muka pada hari pertama di lokasi, dia diburu perasaan bimbang apabila memikirkan mampukah menyeimbangkan lakonan dengan aktor hebat itu.

“Saya berterima kasih dengan abang Sabri kerana sudi mengundang saya sekali lagi berlakon dalam karya arahannya. Lebih bermakna, kali ini saya digandingkan dengan hero Malaya yang sangat saya kagumi. Dia aktor yang berkarisma, malah banyak menyumbang idea untuk mencantikkan lagi penceritaan. Dia tidak bergerak sendiri, sebaliknya memastikan semua yang terbabit sama-sama mengangkat karya ini. Dia sangat menjaga keterampilannya dalam lakonan, malah auranya sangat hebat hinggakan ada ketikanya saya bimbang andai persembahan saya jauh ketinggalan.

“Daripada pemerhatian saya, abang Eman tegas orangnya dan sangat profesional ketika bekerja tetapi apabila habis penggambaran, dia boleh bergurau dan ketawa dengan semua orang. Saya suka cara dia bekerja.

“Banyak ilmu lakonan dapat saya belajar daripadanya. Daripada awal saya berpesan kepadanya, andai ada kekurangan dalam persembahan saya, tegurlah. Selesa bekerja dengan abang Eman sebab kami akan berlatih sebelum penggambaran. Cara itu memudahkan dan buat kita lebih yakin beraksi di depan kamera.”

Mengenai cabaran dihadapi, kata Erra, dia perlu belajar menyesuaikan diri apabila berada dalam kelompok seniman sejati yang banyak berbicara soal seni. Pendedahan baru itu secara tidak langsung membuka mindanya untuk turut sama mempelajari bahasa digunakan kelompok ini.

Dia juga terpaksa mengetepikan perasaan kekok untuk menjayakan babak mesra suami isteri bersama Eman dan paling gemuruh, babak memandikan aktor itu.

“Drama ini mengisahkan kasih sayang antara Muas dan isterinya, Ashikin. Untuk menggambarkan perasaan kasih dan cinta itu, ada beberapa babak bermesra. Sejujurnya, saya rasa janggal tetapi terpaksa ketepikan perasaan itu kerana abang Eman sedang menjiwai watak. Saya harus pastikan lakonan saya nampak jujur dengan batas yang digariskan. Saya sedar dia juga kekok. Sebelum melakonkan babak itu, kami berbincang terlebih dulu untuk pastikan aksi itu nanti nampak jujur tetapi tidak berlebih-lebih.

“Paling gementar, babak saya kena mandikan abang Eman. Saya tak biasa buat begitu dalam hidup seharian, jadi memang kekok. Bayangkanlah waktu itu kaki saya terkena buluh tapi tak terasa sakit sebab terlalu gemuruh. Sedar-sedar, kaki dah luka.

“Dalam cerita ini juga ada babak Muas mengajar Ashikin mengaji. Abang Eman sangat menitikberatkan tajwid dan cerewet. Sebelum penggambaran, saya berterus-terang dengannya saya boleh mengaji tetapi tajwid tidaklah sempurna. Dia faham dan suruh saya perbetulkan bacaan. Saya berlatih dan ingatkan balik hukum tajwid dalam bacaan,” kata Erra.

Selain menyajikan jalan cerita menarik, Erra berkata, daya tarikan utama Parut Ashikin latar belakang lokasi indah. Paling unik pada mata bekas ratu cantik ini adalah rumah rakit yang dibina khas di tengah tasik di Temerloh.

“Permukaan tasik itu penuh dengan pokok teratai dan dalamnya ada banyak lintah serta pacat. Rumah itu dibina dengan buluh dan tak dapat menampung ramai orang. Kalau ikutkan, jarak tidak jauh untuk ke rumah rakit itu tetapi pengangkutan ke situ agak leceh. Kita kena naik sampan. Saya pula memang geli dengan pacat dan lintah. Bila dimaklumkan ada penggambaran atas rumah rakit, daripada awal saya singgah di farmasi untuk membeli ubat dan minyak yang boleh elak digigit pacat dan lintah.

“Secara keseluruhannya, saya suka penggambaran ini. Abang Sabri masih mengekalkan ‘feel’ klasik seperti Sanggul Beracun, malah konflik ditonjolkan jarang kita dengar dan nampak.

“Berbeza dengan pengarah lain, untuk drama berat, abang Sabri lebih suka tampilkan karya yang luar daripada kebiasaan dan misteri. Pembikinan kali ini juga lebih teliti.

“Jika Sanggul Beracun diangkat daripada kisah mitos yang diubah suai, Parut Ashikin 100 peratus karya abang Sabri. Saya berharap telefilem ini dapat mengangkat nama abang Sabri sekali lagi,” katanya yang terharu dengan layanan baik penduduk kampung di Temerloh, malah ada yang memberikan madu asli sebagai buah tangan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Harga Samsung Galaxy SIII & iPhone 4S Maxis

Halim Devotees Lancar Single Lagu Message Undelivered