Membawa anda menghayati satu dunia kecil yang kita sering terlepas pandang dalam menempuh kehidupan yang mencabar di ibu kota, saksikan kepayahan hidup mereka ini dalam Drama Panggung RTM bertajuk “Makbul, Sekerdil Doa”, istimewa Hari Raya ini pada 6 Julai 2016, pukul 10.00 malam di TV2.
Drama Panggung RTM Khas Raya, “Makbul, Sekerdil Doa” di TV2
Menampilkan pelakon Dato’ Jalaluddin Hassan, Yushazizi Yusof, Kartina Aziz, Rashid Jaafar, Badrulshah Abdul Manan, Mohd Azrin Sahab dan Mohd Afiq Fikri Firdaus, drama arahan Ade Hasnoor Ibrahim, Unit Drama TV RTM ini ternyata memberikan kesegaran yang berbeza berbanding drama-drama yang pernah disiarkan di RTM dengan mengangkat kisah mengenai doa.
Disiarkan khas kesinambungan kepada drama bersiri bertajuk “Makbul, Sebuah Cerita Tentang Doa” yang pernah menemui penonton sebelum ini, drama ini mengekalkan pelakon utamanya Yushazizi Yusof membawakan dengan berkesan watak Bol, lelaki lurus yang baik hati. Begitu juga Datuk Jalaludin Hassan membawa watak Anuar dengan bersahaja tetapi berkesan dan Kartina Aziz watak isteri Anuar, seorang isteri yang baik hati. Tetap menghormati suaminya walaupun menyedari kelemahan suaminya dalam agama.
Elemen dan mesej dakwah yang diangkat dalam Makbul termasuklah sabar, rasa takut kepada Allah dengan dosa-dosa yang telah dilakukan, bertawakkal dengan setiap ujian daripada Allah, sifat berkasih sayang sesama manusia, saling menghormati, perbuatan jahat dan menganiayai orang lain tidak mendapat keberkatan dalam hidup, solat merupakan kewajipan setiap muslim, dan yang menjadi tunjang cerita Makbul iaitu sentiasa berdoa demi keberkatan hidup.
“Makbul, Sekerdil Doa”, berkongsi memaparkan kisah Bol yang telah kematian isteri terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anaknya sendirian. Bol yang tidak pernah keluar dari Kedah sepanjang hidupnya mahu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
Lalu dengan rasa berat hati menyerahkan anaknya kepada Anuar dan Jameah untuk dijaga sebagai anak angkat. Ini kerana dia sudah memutuskan mahu ke Kuala Lumpur mencari kerja dan mengubah nasib mereka dua beranak.
Bol menyangka hidupnya di Kuala Lumpur semudah hidupnya di kampung. Namun hakikatnya begitu berbeza kerana di bandar dia tersepit dengan tuntutan kebendaan. Di sana dia telah tersesat dan bertemu dengan sekumpulan orang-orang kerdil yang disangkanya kanak-kanak sekolah yang ponteng sekolah.
Bol bergantung pada ‘sekerdil doa’ bagi melepaskannya dari konflik dan cabaran hidup di Kuala Lumpur. Berjayakah Bol mencapai hasratnya beroleh pekerjaan seperti diharapkan? Ataukah dia berputus asa dengan desakan hidup di bandar dan pulang semula ke kampung?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.