in , ,

Sinopsis Drama OSMAN BAKU Arahan Rahim Razali

13 Episod “Osman Baku” Ajak Penonton Betulkan Bahasa Secara Santai Di TV2

Bayangkan semasa anda berjalan lalu terpandang kain rentang yang pasang di tepi jalan yang tertulis “Kempen Menderma Dadah”. Apakah yang bermain di minda anda? Pastinya ia membawa maksud negatif sedangkan hakikatnya penyebaran makluman mahu mengajak orang ramai melakukan kebaikan dengan menderma darah.

Cuba mengajak orang ramai peka terhadap kesalahan ejaan dan bahasa rojak yang dianggap memudahkan dalam kehidupan seharian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan drama rantaian bertajuk “Osman Baku” yang menemui penonton mulai 2 Oktober 2012, setiap Selasa, jam 9.30 malam menerusi saluran TV2.

Dilakonkan watak utamanya oleh Dato’ Rahim Razali yang membawa watak Osman Baku, drama 13 episod ini turut menampilkan pelakon Nur Maslina, Kaza, Sheila Mambo, Achong, Jegan, Tan Ting dan Syawal AF.

SINOPSIS DRAMA OSMAN BAKU

Mengisahkan pesara guru Bahasa Melayu, Osman Baku yang menjalani kehidupan sehariannya setelah bersara daripada mengajar. Sudah menjadi aktiviti rutinnya untuk ke warung kopi Ali Mamak sambil ditemani dua teman baiknya, Chan dan Samy.

Sesuatu yang menjadi kepantangan bagi Osman Baku apabila ada orang yang menggunakan bahasa rojak atau bahasa slanga dalam perbualan mahupun ejaan. Sebagai guru Bahasa Melayu, dia selalu menggunakan bahasa baku hingga dia mendapat gelaran Osman Baku oleh Kudin, pemuda yang selalu mencetuskan kacau bilau di kampung mereka.

Satu hari Osman Baku mengamuk besar setelah mendengar perbualan orang kampung yang duduk di kedai kopi menggunakan bahasa rojak dan slanga berbual sesama mereka. Maka bertempiaranlah semua orang bila melihat Osman Baku mengamuk termasuklah Kudin yang termasuk ke dalam longkang lalu ditertawakan teman-temannya. Itulah titik mulanya Kudin menyimpan dendam terhadap Osman Baku.

Chan dan Samy bimbangkan soal Osman Baku yang sukar mengawal kemarahannya lalu memperkenalkannya dengan seorang pakar psikiatri, Dr. Jaapar. Meskipun pada mulanya dia berkeras tidak mahu namun akhirnya hati Osman Baku terpujuk juga untuk berubat.

Pada masa sama Osman Baku berperang dengan perasaan sendiri bila anak gadisnya, Milah nekad melarikan diri bila Osman Baku menolak pilihan hatinya, Manap yang datang meminang. Apatahlagi sebelum ini beberapa orang pemuda yang meminang Milah juga mengalami situasi sama. Semuanya berpunca daripada sikap ego Osman Baku yang mahukan jodoh anaknya menggunakan bahasa Melayu yang tepat dalam kehidupan seharian. Milah nekad tinggal di bandar apatahlagi dia sudah diterima mengajar di sana.

Kudin pula tidak sudah-sudah membuat angkara. Dia sengaja menaburkan pelbagai fitnah mahu memburuk-burukkan Osman Baku. Osman Baku yang sedang runsing tidak dapat melakukan apa-apa. Kemarahan Kudin tambah membuak bila Timah, wanita yang diminatinya seringkali bertegur sapa dengan seterunya itu. Hakikatnya Timah simpati dengan nasib menimpa Osman Baku dan berniat mahu menyatukan semula lelaki itu dengan anaknya, Milah.

Kemuncaknya bila Kudin cuba ‘memerangkap’ Osman Baku dan Milah yang dikatakan berdua-duaan di rumah. Namun sebenarnya ketika itu Manap yang tanpa diduga merupakan anak Timah turut berada dalam rumah. Tindakan Kudin nyata memalukan dirinya sendiri. Lalu apakah kesudahannya?

BABAK DALAM OSMAN BAKU
babak ketika Osman Baku bertemu Pakar Psikiatri
watak Milah dan Manap
Osman_Baku_Poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pertandingan Futsal Neon Cabaran Skor Dashing

Butik Uniqlo Dibuka di Sunway Pyramid & Paradigm Mall