Nilai Persahabatan Dalam Drama “Olin dan Ecan” Lakonan Rykarl Iskandar dan Azma Aizal Yusoof di TVi
RTM menerusi saluran TVi menjanjikan telemovie menarik berjudul “Olin dan Ecan” pada 20 Disember ini, pukul 9.00 malam yang mempertemukan pelakon Rykarl Iskandar dengan Azma Aizal Yusoof sebagai pelakon utama.
Drama ini mengisahkan tentang seorang kanak kanak bernama Ecan dibesarkan di kampung oleh ibunya Sue. Ecan hanya mengenali bapanya, Abdullah menerusi sekeping gambar lama ibu dan bapanya.Ecan bagaimanapun tahu bahawa bapa kandungnya itu masih hidup. Malangnya, Sue tidak pernah tahu dimanakah Abdullah berada.
Turut tinggal di kampung sama kakak Sue yang bernama Miah dan suaminya Hussin. Miah dan Sue tidak berbaik kerana Hussin pernah jatuh cinta dengan Sue namun takdir menjodohkannya dengan Miah.
Hinggalah pada satu hari, Sue maut dalam kemalangan jalan raya. Ecan diambil dan dibesarkan oleh Miah dan Hussin. Hussin amat menyayangi Ecan seperti anaknya sendiri namun tidak bagi Miah yang membenci anak kecil itu.
Akibat sering dihina dan terasa dengan segala sindiran ibu saudaranya, Ecan nekad melarikan diri ke Kuala Lumpur untuk mencari bapanya, Abdullah.
Di Kuala Lumpur, Ecan bertemu dengan Olin, seorang remaja lembam yang yatim piatu dan bekerja di bengkel milik Abang Dol. Mereka berkawan baik dan Olin, walaupun lembam, tidak pernah putus asa untuk membantu Ecan mencari bapa kandungnya.
Telefilem ini memfokuskan nilai persahabatan sebagai intipati utama penceritaannya menerusi karakter yang dipersembahkan oleh Azma dan Rykarl. Selain elemen persahabatan, nilai kekeluargaan dengan konflik antara suami isteri turut diselitkan dalam drama ini.
Mampukah pautan persahabatan yang cukup erat antara Ecan dan Olin berjaya menemukan Ecan dengan ayahnya? Pelakon lain yang turut membintangi telefilem ini ialah Eida Moin, Azhan Rani, Roy Azman, Fiza Elite, Lan Siro dan Sharisa Haris.