in

DRAMA NOVEL LATIFAH LAKONAN MARISSA YASMIN, SITI FAZURINA, BELL NGASRI

NOVEL LATIFAH MENGISI SLOT SUTERA MULAI 19 NOVEMBER 2008, SETIAP ISNIN HINGGA KHAMIS, JAM 11.05 PAGI DI RTM1

Slot Sutera yang mewarnai RTM1 sememangnya istimewa kerana menyajikan himpunan drama-drama terbaik khas mengetengahkan ketabahan dan kegigihan golongan wanita yang pastinya mampu memberikan pengajaran dan manfaat berguna kepada kaum wanita dalam meniti cabaran hidup.

Justeru terbaharu menerusi slot sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan kisah dua wanita yang komited dan gigih memperjuangkan takdir hidup mereka yang malang disatukan menerusi drama bersiri terbaharu Novel Latifah mengisi slot Sutera, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.05 pagi di RTM1 mulai 19 November 2008 ini.

Fazurina dan Normah Damanhuri

Novel Latifah menerusi 13 episod menarik siarannya ini mengisahkan plot cerita berlatarkan khayalan gadis bernama Latifah yang mewujudkan watak-watak menarik dalam karya novel terbaru yang dihasilkannya melibatkan erti perjuangan hidup dua oorang wanita dalam meniti perjalanan hidup yang sukar dengan tabah.

Novel Latifah bermula dengan wanita bernama Laila yang satu petang bertembung dengan seorang gadis ketika keluar daripada butiknya. Di situlah perkenalan antara mereka terjalin. Simpati dengan cerita dibawa gadis dikenali panggilan Latifah itu berkelana sendirian di ibukota untuk mencari suaminya, Laila lantas mempelawanya pulang ke rumah.

Hubungan mereka mula akrab hingga Laila sanggup menghulurkan bantuan mahu menghantar Latifah pulang hingga ke kampungnya. Di sana Laila dihambat rasa sedih melihat keadaan ayah Latifah yang buta dan ibunya yang tidak sihat. Justeru dia mencadangkan agar Latifah menurutnya ke bandar dan bekerja di butiknya. Di samping itu dapat menyambung pengajiannya secara sambilan.

Namun hasratnya itu ditolak mentah-mentah oleh Laila. Apatahlagi bila mengenangkan keadaan kesihatan orang tuanya yang kurang memuaskan dan memerlukan perhatiannya di kampung itu. Mujur Pak Latiff dan Mak Diah merestui niat wanita itu. Mereka berbesar hati mahu Latifah menerima tawaran Laila yang sekaligus diyakini mampu mengubah masa depan mereka sekeluarga kelak.

Sementara itu, di Kuala Lumpur Rahimi kebimbangan kerana Laila sudah lama tidak datang ke butik. Sebaik menerima khabar wanita yang dicintainya itu pulang, Rahimi segera mendapatkannya. Malah mendesak Laila menerima cinta dan seterusnya menerima lamarannya. Tetapi Laila berbohong mengatakan dia tidak menyintai pemuda itu.

Di samping sibuk menguruskan butik yang dikongsi bersama Rahimi, Laila juga meluangkan masa mencari Manaf, suami Latifah. Apatahlagi bila mengenangkan Latifah yang berbadan dua pasti mengharapkan kemunculan suaminya. Perkara itu merunsingkan Rahimi yang ketika itu didesak oleh keluarganya untuk disatukan dengan pilihan mereka sementara Laila terus-terusan mahu menjauhkan diri daripadanya.

Berkat nasihat Laila, Latifah mula mendaftarkan diri ke kelas komputer dan juga kelas bahasa Inggeris. Tetapi panas yang diharapkan hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari apabila satu hari mereka terserempak dengan Manaf bersama wanita lain. Terjadi pergaduhan antara Latifah dan Manaf yang akhirnya menyebabkan kandungan Latifah keguguran. Latifah kesedihan dan menyimpan benci terhadap Manaf dan memaksa lelaki itu menceraikannya.

Sementara itu Latifah mula menyedari perubahan yang berlaku pada diri Laila yang sering dilihat kurang sihat. Dia menasihati kakak angkatnya itu supaya menjalani pemeriksaan doktor sebaliknya Laila memberikan pelbagai alasan untuk tidak ke klinik sebaliknya mengajak Latifah pulang ke kampung melihat ayah Latifah yang kurang sihat.

Latifah hanya akur dengan permintaan Laila. Malah dia begitu mengagumi kesungguhan Laila yang semakin hari bertambah mudarat kesihatannya tetapi masih berusaha mengumpulkan modal mahu membuka kedai jahitnya sendiri setelah Rahimi memutuskan untuk menarik diri daripada menjadi rakan kongsi butik mereka.

Apakah sebenarnya penyakit yang dideritai Laila? Mengapakah dia menolak cinta Rahimi sedangkan pada masa sama dia amat menyintai pemuda itu. Bagaimana pula kesudahan perjalanan hidup Latifah yang berdepan dengan dugaan mencabar itu?

Novel Latifah terbitan Television Airtime Services ini menyaksikan lakonan berkesan Marissa Yasmin, Siti Fazurina, Bell Ngasri, Haeriyanto Hassan, Normah Damanhuri, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Latifah Rahmat.

Jangan ketinggalan menyaksikan kesudahan Novel Latifah, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.05 pagi di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Show My Starz LG Bertemakan Movie Soundtrack

MUSIC AGAINST RACISM CONCERT MENARA KL