NILAPURA SEBUAH EPIK CINTA PENUH AKSI, KONFLIK DAN EMOSI
Menyusuli Super Mak, sebuah drama bersiri epik cinta, NILAPURA pula akan mengisi slot Aksi bermula 31 Oktober, setiap hari Isnin jam 9.00malam. Mengisahkan tentang pengorbanan cinta Puteri Ratna Emas Lela untuk berkahwin dengan Putera Rangga selepas negara Bimasakti tewas kepada Nilapura dalam sebuah peperangan. Masing-masing sudah mempunyai kekasih dan saling membenci, apakah perkahwinan antara Ratna dan Rangga akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara?
Memilih Kellie’s Castle di Perak dan sekitar negeri Kedah sebagai lokasi penggambaran, drama bersiri 13 episod terbitan KL Motion Picture diarahkan oleh Wan Hasliza yang juga penulis skripnya, telah berkampung di bangunan bersejarah tersebut sejak 20 September 2011. Antara pelakon-pelakon handalan tanahair yang membintangi drama bersiri ini ialah Jue Aziz, Ryzal Jaafar, Amar Asyraf, Memey Suhaiza, Ramli Hassan, Zarina Zainuddin, Rosnah Johari, Razib Salimin, Adam Shah, Ramona Zam Zam, Hafiz Halim dan Aidil Aziz.
Dindra lakonan Ryzal Jaafar & Dayang Ningsih lakonan Memey Suhaiza
Putera Rangga (Amar Asyraf) merupakan anak kedua kepada Sultan Zainal Abidin dari negara Nilapura. Setelah abangnya, Raja Murtaza dibunuh dalam peperangan, Rangga menjadi harapan tunggal bagi ayahandanya untuk mewarisi takhta. Namun, Rangga merupakan seorang yang suka berfoya-foya dan sering mengabaikan tanggungjawabnya.
Rangga mempunyai hubungan sulit dengan Ulia, isteri kedua kepada Pembesar Sata, pegawai tinggi dalam kerajaan Nilapura. Selepas Rangga ditangkap oleh pengawal Pembesar Sata ketika memanjat keluar dari bilik Ulia, Sultan Zainal Abidin bertitah untuk mengahwinkan Rangga kepada anak Raja Bumida Bimasakti. Rangga terpaksa menurut titah ayahandanya walaupun tidak rela hati.
Puteri Ratna Emas Lela (Jue Aziz) pula merupakan puteri bongsu kepada Raja Bumida Bimasakti yang berjiwa rakyat dan gemar melakukan kerja-kerja amal. Ratna sangat rapat dengan Dindra (Ryzal Jaafar), seorang pengawal diraja. Bagi menjaga kepentingan negaranya, Ratna sanggup mengetepikan perasaan cintanya terhadap Dindra dan bersetuju dengan perkahwinan diplomatik yang diaturkan.
Walaupun Ratna cuba berbaik dengan Rangga tetapi Rangga masih meneruskan hubungan dengan Ulia serta mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bakal pemerintah negara Bimasakti. Maka, Ratna terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut untuk memerintah Bimasakti.
Hubungan Ratna dengan Rangga mula berubah selepas Rangga diserang hendap oleh Ghulam untuk merampas kuasa. Rangga menjadi lumpuh dan terpaksa merawat di istana Bimasakti. Dalam kesibukan untuk mentadbir negaranya, Ratna harus bertolak ansur dengan perangai suaminya yang degil dan kuat mengamuk. Akhirnya, Rangga terharu dengan kebaikan Ratna dan mula menguatkan semangat untuk sembuh. Rangga mula menyukai Ratna dan berasa cemburu dengan Dindra.
Rangga telah ditabalkan sebagai pemerintah negara Bimasakti dan mula menjalankan tanggungjawabnya. Apakah cabaran yang sedang menanti Rangga? Bagaimanakah Rangga berhadapan dengan musuhnya? Apakah kesudahan bagi cinta tiga segi antara Rangga, Ratna dan Dindra?
Nantikan kemunculan NILAPURA di slot Aksi, mulai 31 Oktober 2011, setiap hari Isnin jam 9.00malam, tentunya di TV3!
Adam Shah, Hafiz Halim, Hilal Azman & Aidil Aziz
Memey Suhaiza sebagai Dayang Ningsih
Zarina Zainuddin sebagai Permaisuri Bimasakti
Ramona Zam Zam sebagai Ulia
Jue Aziz sebagai Puteri Ratna Emas Lela
Jue Aziz (Ratna), Ryzal Jaafar (Dindra) & Amar Asyraf (Rangga)