in

Drama Merdeka Songkok Hitam Lakonan Razali Hussain & Namron

Drama Merdeka : Songkok Hitam Papar Aksi Persilatan Antara Razali Hussain dan Namron Mengisi Slot Panggung 1 di TV1

Kisah peperangan dan pengorbanan seringkali menjadi pilihan stesen TV untuk disiarkan kepada penonton dalam mengembalikan semula ingatan dalam diri masyarakat kita tentang perjuangan dilakukan pejuang-pejuang kemerdekaan negara terdahulu.

Namun pendekatan berbeza diambil Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama bertajuk Songkok Hitam diterbitkan oleh Rohaizulfarridz Salleh (Unit Drama TV RTM) yang mengangkat plot kisah drama pertarungan dalam aksi persilatan antara dua rakan seguru yang kembali bertemu untuk menentukan siapakah yang paling handal antara keduanya dalam menyemarakkan sambutan Merdeka tahun ini.

SONGKOK HITAM

Disiarkan pada 1 September 2012, jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 Khas Merdeka, drama yang membariskan pelakon utama Razali Hussain, Zarina Zainuddin, Namron dan Pak Lah Cecupak ini mengisahkan Alang, seorang guru silat yang disegani cuba sedaya upaya menghalau bekas rakan segurunya, Sani dari kampung halaman mereka. Ini kerana Sani merupakan satu-satunya individu yang mampu menggugat cita-cita Alang untuk menjadi Ketua Kampung.

Naratif Songkok Hitam bermula apabila kedudukan Alang sebagai orang terhormat di kampung mula tergugat dengan kepulangan semula Sani. 20 tahun lepas, Sani merupakan penuntut ilmu persilatan yang paling berbakat dan berhati mulia, kehebatan Sani membayangi rakan segurunya, Alang. Alang sentiasa tidak berpuas hati kerana Sani sering mendapat perhatian Tok Guru mereka. Dia jemu menjadi orang kedua dibelakang Sani.

Konflik bermula apabila Tok Guru memilih Alang sebagai pewaris keris pusakanya. Keris yang sangat didambakan Sani. Kecewa dengan keputusan Tok Guru, Sani membawa diri meninggalkan kampung. Alang mula bongkak, tiada siapa yang mampu mencabarnya selepas ketiadaan Sani, tambahan pula, keputusan Tok Guru menghadiahkan keris pusaka kepadanya adalah satu bukti, dia lebih baik daripada Sani.

Sani pulang ke kampung untuk menghabiskan saki baki hidup dan rindunya di kampung. Kepulangan Sani tepat pada masa dilema penduduk kampung untuk memilih calon ketua yang baru. Alang mula tidak senang duduk, perhatian kini bukan lagi padanya. Lebih menyakitkan hati apabila isterinya, Fatimah, turut teruja dengan kepulangan abang seguru mereka. Perasaan pedih dalam hatinya 20 tahun lepas bertunas kembali.

Dia menjadikan isu-isu lama untuk mengajak Sani bertempur dengannya. Hanya dengan cara itulah, dia dapat menghalau Sani daripada kampung. Alang akhirnya mempunyai alasan kukuh untuk bertempur dengan Sani, dia menuduh Sani cuba mempengaruhi Fatimah untuk merampas keris pusaka Tok Guru mereka. Seakan menemui jalan buntu, Sani menyahut cabaran Alang.

Tiba masanya Sani dan Alang berada di dalam satu gelanggang. Alang berpuas hati dendam dan kesumatnya untuk beradu tenaga bersama Sani yang sudah berada di depan mata. Akhirnya peluang berada di depan mata untuk melunaskan dendam yang sudah 20 tahun bersarang di hati.

Pertempuran bermula namun kesudahannya Sani tewas di tangan Alang. Alang sangat berpuas hati kerana dapat melunaskan dendamnya. Namun di sebalik kemenangan itu, dia kehilangan jati diri sebagai anak murid Tok Guru. Pada masa sama, isterinya Fatimah menghilangkan diri dan meninggalkan satu puisi lama arwah ayahnya.

Melalui puisi itu, Alang sedar dan insaf, dia jauh menyimpang dari segala tunjuk ajar Tok Gurunya. Masalah yang diperturunkan kepada mereka bertiga melalui pemilikan keris dan cinta hanya mampu diselesaikan oleh mereka sendiri, bukannya melalui keputusan Tok Guru 20 tahun yang sudah. Alang menunduk akur, dia telah tewas kepada Sani dalam mengenal erti sebenar ilmu yang telah diperturunkan kepada mereka berdua.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Hollywood Terbaru di Astro Best & Astro B.yond VOD

Gambar Aaron Aziz Berkemban Super Seksi