in , ,

Drama Merah Itu Cinta Dalam Slot Cerekarama Sabtu Ini

Sejauh Manakah Kekuatan Cinta Mereka?
Cinta tidak mengenal waktu, memerlukan dua insan untuk memahami dan memberi tanpa mengharapkan pengembalian. Drama bergendre kekeluargaan ini menceritakan pertemuan dua insan dalam keadaan yang tidak diduga juga kehadiran cinta serta kekuatan diperlukan untuk mengharungi ujian dalam mempertahankannya. Drama ini akan ditayangkan pada 28 Mac 2008, 10.00 malam mengisi slot Cerekarama.

riezman

MERAH ITU CINTA diwarnai oleh  barisan pelakon-pelakon berbakat seperti Riezman Khuzaimi, Zizi Ezette, Ropi Cecupak, Datuk Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid, Ifa Raziah, Corinne Adrienne, Ezad Indra De Zid dan Darling Ngasri. Kisah cinta ini adalah hasil sentuhan kreatif sutradara Zek Zukry dan ditulis oleh Saudara Loh. Drama yang mencuit hati dengan beberapa adegan komedi ini diterbitkan oleh Pena Creative.

Sinopsis Drama Merah Itu Cinta
Drama Merah itu Cinta ini mengisahkan tentang kisah cinta Haris (Riezman Khuzaimi) dan Liya (Zizi Ezette) yang bermula dengan pergaduhan berpunca dari kemalangan jalan raya. Namun jodoh mereka yang kuat menyebabkan mereka sering bertemu. Cinta mula berputik dan Haris merasakan Liya calon yang sesuai lalu dipertemukan dengan orang tuanya.

Semua ahli keluarga dan rakan sekampung mereka gembira dan amat mengkagumi Liya kecuali Yusri (Ezad Indra) yang anak saudara Saodah (Ifa Raziah). Yusri pulang dari luar negara untuk mencari calon isteri. Yusri mempunyai personaliti yang menarik dan juga kelebihan iaitu pandai bermain silap mata. Saodah sungguh kecewa apabila mendapat berita bahawa Haris memberikan cincin pertunangan kepada Liya.

Dalam melayari hari-hari sebelum disatukan pelbagai halangan terpaksa mereka harungi. Masalah menjadi lebih besar apabila Haris dan Liya mula berselisih pendapat hanya disebabkan sebuah motorsikal. Ditambah pula dengan rancangan Saodah untuk merengangkan hubungan mereka supaya Liya dapat bersama Yusri. Oleh kerana komunikasi yang kurang Haris menjadi marah lalu meninggalkan Liya begitu sahaja. Kesal atas sikap Haris itu dan juga kerana tidak pandai memujuknya, Liya memulangkan cincin kepada Haris dan mahu dia mencari jalan menyelesaikan masalah itu.

Liya mencari Yusri untuk berkongsi masalahnya dan juga untuk meminta pendapat. Yusri menyatakan kedua-dua pihak bersalah dan bersikap ego. Kehadiran Yusri hanyalah sebagai teman dan tidak berniat untuk merampas Liya dari Haris. Ianya bukanlah seperti yang diharapkan oleh Saodah.

Haris buntu lalu merujuk kepada ibunya mengenai masalah itu. Ibunya menyambut dengan senyuman lalu menceritakan kisahnya dahulu menyebabkan pergolakan rumah tangga hanya kerana obses ayahnya dengan “Gee” sebuah set kayu golf. Namun kasih sayang mereka lebih kuat menyebabkan ayahnya meninggalkan segalanya dan berpindah ke kampung.

Haris menemui Saodah untuk memohon maaf atas tindakannya, namum Saodah menyatakan Haris mengingatkan dirinya kepada bekas suaminya yang seorang  pemalas dan berlagak kaya. Haris tidak mahu Saodah mempunyai anggapan begitu terhadap dirinya dan dia mengakui belum mengenali Liya sepenuhnya.

Sementara itu Liya yang masih lara membuat keputusan untuk mengikut Yusri pulang ke Perth bagi menenangkan fikirannya. Berita itu disambut gembira oleh Saodah yang sentiasa menginginkan mereka bersama. Adakah Liya akan mengikut Yusri pulang ke Perth? Sejauh mana kekuatan cinta Haris dan Liya? Mampukah mereka mengharungi segala halangan dalam perhubungan mereka sehingga mengecapi kebahagiaan rumah tangga? Saksikan kesudahan kisah cinta mereka pada hari sabtu ini jam 10.00 malam dalam slot Cerekarama, hanya di TV3!

[tags]drama merah itu cinta, slot cerekarama, Riezman Khuzaimi, Zizi Ezette, Ropi Cecupak, Datuk Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid, Ifa Raziah, Corinne Adrienne, Ezad Indra De Zid, Darling Ngasri, sinopsis drama merah itu cinta[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Album Sheila Abdull

Lirik Lagu Ular – Anita Sarawak